FAHAMILAH PERBUATAN TUHAN 15/04/2006

 

Jagalah perhubungan baik engkau dengan Tuhan agar Allah Taala berhubung baik dengan engkau. Sangka baiklah kepada Tuhan mengenai rezeki engkau. Tuhan adalah penjamin rezeki engkau, bertawakallah kepada-Nya dan yakinlah kepada-Nya, hati engkau akan tenang.

Beradablah kepada Tuhan kerana Dia lebih tahu tentang keperluan-keperluan engkau. Ketentuan Tuhan ke atas diri engkau itu kecuali kekufuran, ada mengandungi pelajaran. Redhalah menerimanya, walaupun engkau tidak faham, lambat laun Allah akan memberi faham. Fahamilah perbuatan Tuhan ke atas diri engkau agar engkau tidak salah faham.

Salah faham terhadap perbuatan Tuhan akan merosakkan engkau. Sekali-sekala disakitkan-Nya engkau mesti ada maksud yang tersembunyi oleh Tuhan. Adakalanya engkau dikayakan Tuhan ada tujuan. Di waktu-waktu tertentu engkau dimiskinkan oleh Tuhan mesti ada mengandungi pendidikan. Setiap kali Allah Taala ubah kehidupan engkau berhati-hatilah menerimanya, jangan sampai salah terima.

Engkau tidak beradab dengan Tuhan! Patutkah kita tidak beradab dengan Zat yang Maha Suci Yang Maha Mengetahui Lagi Bijaksana. Daripada sebarang kesalahan dan kesilapan?! Berhati-hatilah dengan Tuhan! Jangan sampai kita tidak bersopan dengan-Nya.

Manusia sudah salah berfikir dan juga sudah terlalu rosak jiwanya. Kerana sudah tidak terasa lagi Tuhan berperanan di dalam kehidupannya. Apa sahaja yang dibuat adalah peranan mereka, tidak terfikir lagi Tuhan ada peranan di dalam usaha mereka. Kerana itulah jika berjaya, mereka megah dan bangga. Kalau gagal, mereka kecewa. Tidak terfikir lagi itu adalah takdir Tuhan.

Tuhan tidak ada dalam kamus hidup mereka. Mereka tidak terfikir lagi Tuhan campur tangan di dalam urusan mereka. Walaupun mereka percaya kepada Tuhan namun pada mereka Tuhan seolah-olah tidak ada peranan. Mereka tidak ambil kira dengan Tuhan. Mereka merasa adanya Tuhan macam tidak ada. Ada dengan tidak ada pada mereka sama sahaja.

Pada mereka Tuhan bukan pencatur hidup mereka. Tuhan tidak lagi dirasakan penentu hidup mereka. Kerana itu mereka tidak perlu kepada Tuhan. Kalau mendapat kejayaan adalah kejayaan mereka. Mereka tidak pula mengaitkan dengan Tuhan. Jika tidak berjaya mereka kecewa. Mereka tidak tahu ini adalah takdir Tuhan. Begitulah majoriti manusia di dunia di waktu kini, Tuhan kepada mereka seolah-olah tidak ada campur tangan dengan kehidupan mereka. Sungguh rosak akidah manusia.

sumber: www.rufaqadaily.com