Ilmu Tauhid Berasaskan
Kajian Saintifik
TUJUAN utama penulisan
ini ialah untuk menjelaskan sama ada ilmu Tauhid boleh
diasaskan atau tidak kepada kajian saintifik. Bagi menjawab soalan ini perlu
terlebih dahulu diterangkan apa yang kita maksudkan
dengan ilmu Tauhid dan kajian saintifik serta dijelaskan ruanglingkup masing.
KITA
semua sedia maklum bahawa ilmu Tauhid adalah intisari ajaran agama Islam. Ilmu
ini merujuk kepada hakikat keesaan Allah SWT. Ilmu
Tauhid membicarakan prinsip keesaan Tuhan. Di dalam
ketuhanan Islam, Allah adalah Esa dari segi zat-Nya, Esa dari segi
sifat-sifat-Nya dan Esa dari segi perbuatan-Nya.
Sumber
utama ilmu Tauhid ialah ajaran wahyu seperti yang terkandung di dalam Kitab
Suci Al-Quran. Allah sendiri memberitahu manusia siapa Dia,
apakah sifat-sifat diri-Nya dan apakah aktiviti-aktiviti-Nya. Di dalam
hal ini, peranan akal adalah sekadar untuk
memahami makna butir-butir diri Tuhan yang Dia sendiri telah maklumkan
(tajallikan) kepada kita.
Ayat Al-Quran yang
bermaksud "Katakanlah (wahai Muhammad!) "Allah
Maha Esa (Ahad)", menegaskan keesaan Tuhan dari segi Zat-Nya kerana Allah
adalah nama zat Tuhan. Tetapi ayat yang sama turut menegaskan keesaan Tuhan dari segi
sifat-sifat-Nya dan dari segi perbuatan-perbuatan-Nya (af'al) kerana Allah
adalah nama Tuhan yang serba meliputi. Di dalam nama Allah terhimpun segala
sifat Tuhan atau segala nama-Nya yang lain seperti Al-Rahman, Al-Rahim, Al-Hayy, Al-Qudus dan sebagainya.
Sifat-sifat
Tuhan atau nama-nama-Nya adalah sebenarnya hubungan antara zat Tuhan dan setiap
sesuatu selain daripada-Nya. Dengan kata lain, alam
semesta mempunyai hubungan dengan Allah menerusi nama-nama-Nya. Malahan alam semesta adalah mazahir (manifestasi) nama-nama Tuhan.
Oleh sebab itulah di dalam Al-Quran setiap kali Allah
menerangkan tentang sesuatu kejadian yang dicipta-Nya Dia sudahi keterangan-Nya
itu dengan menyebut satu dua nama-Nya.
Sebagai
contoh, ayat di dalam surah Yasin yang bermaksud "Dan matahari beredar ke
suatu tempat yang sudah ditetapkan baginya; demikianlah ketentuan (Allah) Yang
Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana".
Al-Quran memang
menjelaskan bahawa nama Allah juga meliputi segala
perbuatan-Nya. Keesaan Allah dari segi sifat-sifat-Nya yang
bermakna keesaan Allah dari segi perbuatan-Nya. Menurut
Al-Quran lagi, demikianlah juga sebaliknya. Kesatuan
alam semesta membuktikan keesaan Allah.
Sepotong ayat ayat
Al-Quran mengemukakan hujjah berikut :
لَوْ
كَانَ
فِيهِمَا
آلِهَةٌ
إِلَّا اللَّهُ
لَفَسَدَتَا
فَسُبْحَانَ
اللَّهِ رَبِّ
الْعَرْشِ
عَمَّا
يَصِفُونَ
“Kalau ada
di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain dari Allah, nescaya rosaklah
pentadbiran kedua-duanya. Maka Maha suci Allah, Tuhan yang mempunyai
Arasy, dari apa yang mereka sifatkan”. [Al-Anbiya' : 22]
Ayat
ini menegaskan kepada kita bahawa alam semesta wujud dalam keadaan kesatuan
atau dalam keadaan teratur, bertertib dan terencana kerana yang menciptanya
ialah Tuhan Yang Maha Esa.
Dengan kata lain,
Al-Quran memberitahu manusia bahawa sekiranya mereka mengkaji alam semesta ini
dengan teliti serta adil dan saksama (atau objektif, menurut istilah ahli-ahli
sains zaman sekarang) maka mereka akan dapati alam ini benar-benar merupakan
sebuah kosmos, bukan chaos, yakni alam yang teratur, bertertib dan terencana. Hakikat ini sepatutnya diterima oleh mereka sebagai bukti keesaan
Allah.
Ajaran
agama memberitahu kita bahawa tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahui
tentang zat Allah. Hanya Allah yang mengetahui rahsia zat-Nya.
Bagaimana pun, ada dua aspek diri Tuhan yang boleh diketahui
oleh manusia. Aspek pertama ialah sifat-sifat-Nya dan
aspek satu lagi ialah aktiviti-aktiviti-Nya. Sebenarnya dua aspek ini
tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain. Aktiviti Tuhan mencerminkan sifat-sifat-Nya dan sebaliknya pada
Tuhan menzahirkan sifat-sifat-Nya menerusi aktiviti-Nya.
Di
dalam konteks perbincangan kita tentang hubungan antara Tauhid dan sains,
adalah penting kita merujuk kepada hakikat bahawasanya manusia boleh mengetahui
sifat-sifat dan perbuatan Allah. Suatu soalan yang wajar
ditimbulkan di sini ialah adakah sains berkemampuan mencapai ilmu pengetahuan
tentang sifat-sifat Allah dan perbuatan-Nya tanpa bantuan agama atau wahyu???
Tentang perbuatan Allah yang samalah maksudnya dengan alam
ciptaan-Nya manusia memang mampu mengetahuinya menerusi daya usahanya sendiri,
iaitu dengan membuat pencerapan, menjalankan ujikaji dan analisis rasional dan
berbagai-bagai lagi bentuk pengajian dan penyelidikan ilmiah.
Namun
demikian perlu ditegaskan bahawa tanpa bimbingan agama kemampuan sains untuk
membongkar rahsia alam semesta ini adalah sangat terbatas. Sains akan
memperolehi keupayaan yang lebih besar dan akan mencapai kemajuan yang lebih
seimbang apabila kegiatannya disinari dengan cahaya agama. jangan
sekali-kali pandangan kita dikaburi oleh kejayaan ajaib yang dicapai oleh sains
moden, iaitu sains yang kita ketahui telah membelakangkan agama.
tamadun-tamadun beragama, khususnya tamadun Islam.
Kedua, banyak ahli sains
yang membuat sumbangan besar terhadap perkembangan dan kemajuan sains moden
adalah individu yang mempunyai kepercayaan agama, sekurang-kurangnya kalau
dilihat dari kacamata Islam tentang konsep agama. Tokoh-tokoh sains moden
seperti Johannes Kepler, Isaac Newton dan Albert Einstein dan para pengasas
ilmu fizik kuantum pada kurun ke-20 ini bukan sahaja menyakini kewujudan Tuhan
Yang Maha Esa, malah konsep alam semesta mereka hampir-hampir sama dengan
konsep alam semesta di dalam Islam yang berdasarkan ajaran Tauhid. Mereka ini boleh saya sifatkan sebagai ahli Tauhid tanpa Nabi dan
Rasul dan tanpa syariah. Di dalam kes Einstein, memang
ada hubungan konsep yang jelas antara pemikiran sainsnya dan pandangan Tauhidnya.
Ketiga, sains moden baru
berusia lebih kurang 350 tahun. Ini suatu usia yang
sangat muda barbanding dengan usia sains di dalam kebanyakan tamadun beragama
sebelum zaman moden seperti usia sains Islam yang mampu mempertahankan
kegemilangannya selama lebih kurang lapan kurun. Walaupun usia
sains moden masih muda, tetapi banyak pemerhati masa kini telah mengeluarkan
pendapat yang era sains moden sudah berakhir.
Teori ilmu dan pandangan
alam semesta yang menjadi asas kepercayaan falsafah sains moden sejak
kelahirannya pada kurun ke-17M tidak dapat dipertahankan lagi ekoran daripada
perkembangan-perkembagan dalaman baru yang dicetuskan oleh sains itu sendiri.
Berdasarkan
ketiga-tiga perkara yang saya sebutkan ini saya ingin menegaskan semula
kesimpulan berikut. Walaupun sains mampu menghasilkan penemuan-penemuan saintifik
baru, merumuskan teori-teori sains baru dan menghasilkan berbagai-bagai bentuk
teknologi baru tanpa bantuan agama, namun pencapaiannya tentu lebih besar,
keterangan-keterangannya lebih memuaskan kehendak akal manusia dan kemajuannya
lebih menguntungkan umat manusia sekiranya ia berpadu
tenaga dengan agama.
Dalam hal ini saya ingin
memetik kata-kata masyhur Einstein :
"Agama tanpa sains
buta, sains tanpa agama cacat."
Bagaimana
pula dengan ilmu tentang sifat-sifat Tuhan??? Mampukah
sains menemui sifat-sifat Tuhan dengan bergantung semata-mata kepada kaedah
saintifik yang sudah terbukti sangat berkesan dan berhasil di dalam bidang
pengajian alam lahiriah??? Elok kita bincangkan dahulu
secara ringkas sifat sains dan ruanglingkup kajian saintifik menurut fahaman
umum dewasa ini. Tetapi sebelum itu kita boleh memberi
jawapan berdasarkan ajaran wahyu Islam.
Ilmu
Ilahiyah (metafizik) atau Ilmu Usuluddin memberitahu kita bahawa wahyu adalah
satu-satunya sumber ilmu kita tentang sifat-sifat Allah. Allah
sendiri yang mengajar kita nama-nama-Nya atau sifat-sifat-Nya. Kalau Dia
tidak memberitahu kita tentangnya maka kita tidak akan
mengetahuinya. Adalah di luar kemampuan tabii akal manusia
untuk membuat penemuan sendiri tentang sifat-sifat Tuhan. Tetapi setelah kita diberitahu nama-nama-Nya akal kita mampu
memahami makna yang terkandung di dalam nama-nama itu.
Dan
yang pentingnya, menurut Al-Quran, ilmu kita tentang sifat-sifat Allah boleh
menjadi lebih mendalam dan lebih meyakinkan dengan bertambahnya ilmu
pengetahuan kita tentang alam semesta. Tegasnya, andainya kita
berIman dengan sifat-sifat Allah yang diwahyukan menerusi Al-Quran itu maka
sains boleh membantu meningkatkan ilmu kita tentang sifat-sifat Allah.
Dengan kata lain, ada peranan bagi sains untuk
memantapkan ilmu Tauhid seseorang insan.
RUANG LINGKUP KAJIAN SAINTIFIK
KAJIAN
saintifik adalah berdasarkan pencerapan pancaindera, kaedah ujikaji. kaedah
matematik yang bersifat kuantitatif dan analisis data (maklumat) secara
rasional yang melibatkan fikiran logik (mantik). Bagi tujuan menghasilkan
pengumpulan data atau maklumat seseorang ahli sains akan
menggunakan pancainderanya dengan dibantu oleh peralatan saintifik yang
terkini. Demikian juga dengan ujikaji. Bagi tujuan
membuat pentafsiran data yang sudah terkumpul beliau akan
menggunakan peralatan konsep yang sesuai yang tersimpan di dalam fikirannya dan
teknik-teknik analisis dan sintesis atau teknik-teknik berfikir yang biasa
dikaitkan dengan ilmu mantik.
Pada
umumnya, kajian saintifik terbatas kepada benda-benda atau kejadian-kejadian
yang dapat dialami oleh pancaindera, yang dapat diukur dan disukat (yakni, yang
boleh diberi kuantiti) dan yang boleh dianalisis dengan menggunakan kaedah-kaedah
logik.
Proses pentafsiran dan ujikaji akhirnya akan
membuahkan hukum-hukum atau teori-teori sains yang merupakan idaman utama
ahli-ahli sains.
Maka
jelaslah bahawa kajian saintifik sangat sesuai dan berguna di dalam usaha
mendapatkan ilmu tentang alam lahiriah dan alam kuantiti. Tetapi
kaedah saintifik tidak boleh digunakan untuk mengkaji alam rohaniah, jauh
sekali daripada mengkaji sifat-sifat Tuhan. Alam
rohaniah tidak boleh dialami dengan pancaindera, tidak boleh diberi kuantiti
dan tidak tertakluk kepada hukum-hukum matematik yang bersifat kuantitatif.
Namun demikian kita masih boleh bertanya : Apakah
tidak mungkin akal manusia melanjutkan proses pentafsiran di dalam sains
sehingga menyentuh aspek ketuhanan?
Akal
manusia memang mempunyai kecenderungan tabii untuk membuat pelbagai tafsiran
apabila ianya disuapkan dengan maklumat-maklumat. Tetapi
pentafsiran boleh menghasilkan berbagai-bagai kesimpulan. Kepercayaan yang dianuti seseorang ahli sains boleh mempengaruhi
pentafsirannya. Oleh sebab itulah ada ahli-ahli sains
yang mengemukakan pengetahuan sains sebagai hujah untuk menafikan kewujudan
Tuhan dan menidakkan kebenaran agama.
Tetapi ada pula ahli-ahli
sains yang menggunakan pengetahuan yang sama sebagai
dalil untuk membuktikan kewujudan agama dan kebenaran agama. Nampaknya,
kesimpulan akhir tentang Tuhan dan agama yang dibuat oleh seseorang ahli sains
banyak bergantung kepada kepercayaannya tentang Tuhan dan agama yang sedia ada
pada dirinya sebelum dia membuat kajian saintifik dan pentafsiran terhadap
penemuan-penemuan saintifik.
Jika orang itu sudah
berIman sedikit sebanyak dengan Tuhan dan wahyu maka pengetahuan sainsnya akan menjadi bukti kebenaran kepercayaannya. Sebaliknya jika
dia tidak percaya kepada Tuhan maka pengetahuan sainsnya akan
dijadikannya bukti untuk membenarkan kepercayaannya itu. Walau bagaimana pun,
sekiranya seseorang itu ikhlas untuk mencari kebenaran maka ada kemungkinan
besar pengetahuan sainsnya akan mendorong dirinya
untuk mengubah kepercayaannya yang tidak selaras dengan pengetahuan itu.
Hakikat
inilah yang ditegaskan di dalam Al-Quran. Menurut Al-Quran, orang-orang yang
berIman menerima hakikat bahawa seluruh isi alam ini adalah risalah daripada
Tuhan. Tetapi orang-orang yang menafikan kewujudan Tuhan
berada dalam kebingungan tentang asal usul dan matlamat alam semesta.
Pengetahuan sains mereka lebih banyak menimbulkan tanda tanya
daripada menjawab soalan. Ia tidak membawa mereka
kepada keyakinan tetapi sebaliknya mencetuskan banyak keraguan di dalam diri
mereka. Tegasnya, mereka seolah-olah menemui jalan buntu di
dalam pemikiran mereka tentang alam ini.
HUBUNGAN ANTARA TAUHID DAN SAINS
SEPERTI
yang telah disebutkan tokoh sains seperti Einstein kuat berpendapat bahawa
sains dan agama tidak seharusnya dipisah-pisahkan. Agama
memerlukan sains dan sains memerlukan agama. Seperti
kata beliau, tanpa sains agama menjadi buta. Dengan kata lain, sains mempunyai peranan penting untuk membantu cahaya
agama menjadi lebih bersinar. Kedudukan agama menjadi lebih kuat
dan kukuh apabila penganut-penganut agama itu menghasilkan pengetahuan dan
budaya sains yang tinggi.
Begitu
juga sebaliknya. Tanpa agama sains menjadi tempang. sains tidak boleh berjalan dengan betul sekiranya ia tidak
dibimbingi oleh agama. Itulah yang terjadi sekarang.
Sains membawa banyak manusia zaman moden kepada kesesatan serta meninggalkan
banyak kesan buruk ke atas kehidupan manusia dan alam sekitar kerana telah
disalah-gunakan. Sains moden tempang dari segi teori dan amali kerana ia telah membelakangkan agama.
Khususnya,
sains memerlukan bimbingan Tauhid. Dalam sejarah manusia, sudah
terbukti bahawa ilmu Tauhid adalah punca utama kemajuan sains. Pemikiran Tauhidlah yang memberi inspirasi kepada Einstein untuk
menghasilkan teori-teori sains yang agung pada kurun ke-20 ini. dalam tamadun Islam ilmu Tauhid menjadi asas utama pemikiran
sains.
Tauhid
juga memerlukan sains. Oleh itu ada kewajarannya bagi kita
mengemukakan konsep "Tauhid yang berasaskan kajian saintifik".
Ilmu ketuhanan Islam sendiri mewajarkan konsep ini. Seperti yang telah saya jelaskan sebelum ini, manusia hanya boleh
mengetahui sifat-sifat Tuhan menerusi pengetahuannya tentang alam. Mereka yang belajar "sifat dua puluh" secara
tradisionalnya tentu sedar bahawa alam semesta dan segala isi kandungannya
dikemukakan sebagai dalil atau bukti untuk membenarkan sifat-sifat Tuhan yang
berkenaan. Untuk kita mengetahui Allah adalah perlu
kita mempunyai ilmu tentang "selain daripada Allah". Yang dimaksudkan dengan "selain daripada Allah" ialah
alam semesta.
Salah
satu prinsip yang kita dapati daripada Tauhid ialah prinsip kesatuan alam
tabii.
Prinsip ini menjadi titik-tolak dan juga matlamat sains
Islam. Maksudnya, ahli-ahli sains Islam memulakan
kajian saintifik mereka dengan menerima kebenaran prinsip kesatuan alam tabii
sebagai akibat daripada keesaan Allah SWT. Prinsip itu
juga dikatakan matlamat sains dalam ertikata bahawa ahli-ahli sains Islam ingin
membuktikan kebenaran prinsip ini menerusi sains. Semakin
banyak pengetahuan sains yang dicapai semakin benarlah dan semakin kukuhlah
prinsip kesatuan alam tabii. Dan secara implikasi
prinsip keesaan Tuhan juga menjadi semakin benar dan kukuh dalam pandangan
ahli-ahli sains Islam dan juga masyarakat umum.
KESIMPULAN
MASYARAKAT
Islam perlu menyuburkan ilmu Tauhid dan menjadikan ilmu itu sebagai titik-tolak
pengajian sains. Dengan berbuat demikian kita akan
meletakkan sains di atas landasan pemikiran yang kukuh. Tauhid juga akan menjadi sumber inspirasi utama bagi generasi muda untuk
belajar sains dan mengkaji alam yang luas ini.
Masyarakat Islam perlu
mempunyai kesedaran mendalam bahawa sains
memperkukuhkan ajaran agama Islam itu sendiri. Kajian saintifik perlu
digalakkan sebagai salah satu cara utama yang membolehkan kita memajukan ilmu Tauhid.
Sebarang Kesamaran dan
kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahliu dlam ilmu ini. LAA HAULAWALA QUWWATILLA BILLAH
sumber:
suluk98.tripod.com/index.html