بسم الله الرحمن الرحيم
إن الحمد لله نحمده و نستعينه ونستغفره, ونعوذ بالله من شرور أنفسنا و سيئات أعما لنا من يهده الله فلا مضلَّ له ومن يضْلل فلا هاديه له, و أشهد أن لا َّاله إلا الله و حده لا شريك له وأشهد أن محمداً عبده ورسوله.
يأيها الذين أمنوا التقوا الله حق تقاته ولا تموتن إلا وانتم مسلمون (آل عمران: 102)
يأيها الناس اتقوا ربكم الذي خلقكم من نفس واحدة وخلق منها زوجها وبث منهما رجالا كثيرا و نساء وتقوا الله الذي تساءلون به والأرحام إن الله كان عليكم رقيبا (النساء: 1)
يأيها الذين أمنوااتقوا الله وقولوا قولا سديدا يصلح لكم أعمالكم و يغفر لكم ذنوبكم ومن يطع الله ورسوله فقد فاز فوزا عظيما (الأحزاب:70).
أمِّا بعد:
Sebenar-benar kalam ialah kalam Allah (Al-Quran) dan sebaik-baik pertunjuk
ialah pertunjuk Muhammad Salallahualaihiwasalam dan
seburuk-buruk perkara ialah perkara yang direka tanpa berdasar pertunjuk Allah
dan rasul,dan setiap perkara yang direka tanpa pertunjuk Allah dan rasul ialah
bid'ah. Dan setiap bid'ah itu sesat dan setiap yang sesat itu di neraka.
Ketika memulakan penulisan ini saya amat berasa sedih dan sangat kecewa di hati
apabila melihat dan mengenangkan waqi (keadaan) umat Islam pada hari ini. Di
sana sini berlaku kerosakan akhlak dan moral muda-mudi yang semakin hari
semakin menggila. Remaja Islam kini membuta tuli mengikut barat dan disesatkan
kuffar sepuas-puas mereka dari pelbagai aspek baik dari sudut perhubungan
lelaki perempuan yang sudah bebas dan gila, hiburan yang melampau dan pelbagai
budaya baru yang membawa penyakit. Pemikiran umat Islam sudah disesatkan dahulu
secara perlahan dan kini secara laju tanpa tertahan. Mentaliti umat Islam sudah
diracuni barat baik melalui pendidikan, pemikiran, pergaulan dan muamalah serta
budaya dan tradisi.
Melalui pendidikan, umat Islam kini memandang barat dan kufar sebagai golongan
yang bijak dan moden lalu perlu dicontohi maka tak hairan saban tahun kita
menghantar pelajar kita ke sana bagi mengambil ilmu dan peradaban konon dari
bangsa barat yang dianggap maju. Tidak cukup dengan itu kita bahkan sampai
mengimport pula lagi sistem-sistem mereka supaya kita pun turut sama dapat
menjadi seperti mereka.
Melalui pemikiran kita sudah lama dihasut dan dipengaruhi supaya memandang
semua dari barat dan kuffar sebagai berkualiti dan hebat. Lihat sahaja nilai
kasut buatan tempatan dan jenama barat tentu sahaja jauh beza nilainya. Remaja
Islam kini bangga memakai pakaian dan baju mereka yang berjenama barat dan
sudah tentu tidak kurang pula gambar artis-artis kesayangan pujaan barat
tertera di baju mereka sebagai tanda bangga konon mungkin satu hari nanti dia
dapat menjadi seperti si kafir itu. Fesyen dan pakaian pun direka oleh
pakar-pakar fesyen menurut gaya dan acuan barat, sebab itu seronok perempuan
Islam kita memakai pakaian terbelah sana sini menampakkan keputihan gebu tubuhnya
dan berjalan penuh bergaya dengan nama fesyen baru bernilai ratusan dan ribuan
ringgit. Ditambah sedikit make-up dan bedak-bedak pelbagai warna gincu merah
sebagai menampakkan kelainan dan segar (istilah mereka) konon moden.
Barat juga sudah masuk dalam tradisi dan budaya Islam kita sehingga pergaulan
bebas sudah menjadi biasa. Sehinggakan seorang hafizah (perempuan yang
menghafaz qur’an) pun kini sudah mempunyai handphone dan di dalam telepon
tangannya itu jika diperiksa pasti akan penuh mesej-mesej (sms) cinta dan
jiwang dari lelaki maka jika ditanya akan dijawab olehnya bahawa “Kami tidak
buat apa-apa yang salah, kami sekadar berkawan J “ !!! Ya, berkawan itu tidak
salah maka itulah puncanya lahir anak luar nikah semakin ramai, pembuangan bayi
di tepi jalan, rogol dan pemerkosaan sampai tidak mengira siapa, zina dan
maksiat bahkan saya sendiri semasa belajar di Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia di Gombak pernah mendengar keluhan rakan bahawa untuk mencari
perempuan yang dara sekarang pun susah sekali apatah lagi mencari perempuan
suci yang menjaga diri dan peribadi dari maksiat dan terdedah kepada lelaki.
Bayangkan umur 12 tahun sudah pandai nak bercinta dan mencari erti cinta dari
si lelaki dan lelakinya pula mencari cinta dari perempuan dan juga nikmat badan
perempuan. Siapa yang mengajarnya ? tentu tidak kurang peranan televisyen dan
filem-filem barat yang menyajikan kemanisan cinta dan perhubungan bebas kepada
berlakunya gejala yang menimpa remaja kita. Tidak perlu kepada filem lucah dan
filem seks barat sudah cukup filem biasa dari barat untuk mampu merosakkan
remaja Islam kita . Apakah ciuman dan kucupan dalam televisyen oleh pelakon
lelaki dan perempuan, pakaian mengoda, pelukan dan ditambah gambar pasangan
bergerak-gerak di atas katil mengeluarkan keluhan nikmat tidak membawa kesan
dan perasaan apa-apa pada remaja ?
Lalu tidak inginkah remaja kita mencubanya, berkenalan sesama lain jantina
dengan peluang percampuran bebas yang disediakan oleh sistem pendidikan yang
ada dan suasana budaya masyarakat kita ? Lalu mencuba keluar “dating” dan
menonton wayang, bersama berjalan membiasakan diri memegang tangan tentu sahaja
seronok dan lembut lalu mencuba memegang yang lain pula dan tentu sahaja nafsu
tidak mendiamkan diri dan syaitan apatah lagi.
Begitulah sistem sosial masyarakat kita yang sudah dirosakkan barat, sangat
mengecewakan saya apabila hari ini Islam kita sudah terbalik lintang pukang dan
entah di mana saya harus menyebut kemulian Islam dalam masyarakat Islam. Apakah
pada mereka yang menipu dan menyeleweng dalam ekonomi demi mencapai kesenangan
duniawi tanpa mengira haram dan halal ? Pada percampuran bebas kaum lelaki dan
wanita di tempat kerja sehingga seorang isteri boleh dihantar pulang oleh
lelaki lain dan masuk ke rumah tanpa izin suaminya atas alasan sosial dan “open
minded ” (fikiran terbuka) ? Atau saya ingin menyebut kemuliaan Islam kepada
remaja yang hanya hidup dalam keseronokan dan hiburan tanpa mengenal Allah
mahupun sepatah ayat Al-Qur’an dalam kepala ?
Itu belum dicampur penyelewengan agama yang semakin berleluasa seimbang dengan
kejahilan dan kemodenan. Tiap detik dan waktu setiap hari semakin bertambah
pendustaan kepada agama dengan kelahiran ahli-ahli agama yang menyesatkan
manusia dan umat Islam dengan ilmu dan kefahaman yang menyeleweng yang
bercanggah dengan Al-Qur’an dan Sunnah. Tanpa perlu ke tempat yang jauh lihat
sahaja ke negeri saya di Kedah, banyak sangat seruan kononnya kita mengikut
Al-Qur’an dan Sunnah tapi Al-Qur’an tidak dibukanya sebaliknya jika berlaku
masalah dia (orang tua ini) akan ke rumah ustaz-ustaz dan tok gurunya
bertanyakan hukum dan pendapat. Sunnah pun rasanya yang dia maksudkan ialah
memakai serban, jubah dan bersugi lalu menghidupkan motor buruknya dan ke surau
lalu menghidupkan aktiviti bid’ah mengatas-namakan sunnah.
Saya yakin baik dia dan ustaz-ustaznya tadi dan tok-tok gurunya bila menyeru
orang kepada Al-Qur’an dan As-sunnah maka yang akan dibuka oleh mereka ialah
kitab kuning karangan tok-tok guru kepada tok-tok guru mereka dan ustaz kepada
ustaz-ustaz mereka juga. Masih belum pun juga membuka Al-Qur’an dan melihat
tafsirnya oleh para ulama tafsir muktabar diakui ulama sepanjang zaman seperti
tafsir At-Tabari oleh Imam Ibn Jarir at-Tabari, tafsir Ibn Katsir oleh Imam Ibn
Katsir, tafsir Jami Ahkam Qur’an oleh Imam Qurtubi dan lain-lain.
Maka samalah juga ketika menyebut sunnah, yang dimaksudkan oleh mereka ialah
memakai serban, memakai jubah, bersugi dan makan sambil duduk dan jika disebut
hadith yang difahami oleh mereka ialah melihat dan membaca hadith tentu sahaja
hadith-hadith yang ditulis oleh guru-guru mereka yang buta hadith dan hukumnya
dalam kitab kuningnya itu. Bukan sangka buruk tapi memang pun mereka jahil
hadith lihat sahaja amalan yang mereka amalkan apabila ditanya dalilnya mereka
pun mengemukakan hadith-hadith yang palsu dan yang perekanya bertaraf dajjal.
Kitab-kitab hadith seperti Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, An-Nasaie, Ibn
Majah, Muwatha, Musnad Ahmad sangat asing bagi mereka tentu sahaja mereka mahir
arab tapi pada nahu dan sarafnya bukan pada kebolehan membaca kitab arabnya.
Bolehlah i’rab kitab dan perkataan arab tapi faham apa yang dibaca tentulah
tidak.
Ditambah pula dari mereka sebahagiannya lahir golongan sesat yang sangat jauh
sesatnya. Apabila mereka ini melibatkan diri dalam lapangan aqidah dengan
berfalsafah dan ilmu kalam. Sungguh mereka ini jahil dan bodoh yang enggan
berkongsi bodoh dengan orang lain, membolot semua kebodohan untuk diri mereka.
Kaedah mengenal Allah, mereka menurut jalan para golongan sesat yang dimusuhi
ulama sunnah. Mengunakan akal dan logik sambil berfalsafah tanpa sedar dan
enggan mengaku bahawa mereka berfalsafah. Ilmu kalam sebagai ilmu wajib bagi
mereka sedang ulama Ahlul Sunnah Wal Jamaah menolak ilmu kalam. Sedih sekali
saya, mereka ini tenyata enggan sedar diri, sudahlah diri itu bodoh dengan
pencapaian dalam akademik pun tidak memberangsangkan sehingga hanya dapat
mengambil bidang agama sahaja kemudian pelajari agama pula yang bukan agama
Islam yang sebenar yang dibawa oleh Al-Qur’an dan As-Sunnah tetapi mahu pula
melibatkan diri dalam ilmu kalam dan mantiq’ , berfalsafah mengenal Allah
dengan akal yang bodoh itu. Sifat Zat dan sifat atas sifat, sifat qadim itu
baginya zat dan zatnya itu merupakan tempat bagi sifat. Maka ramailah yang
tidak faham, apa lagi mereka ini pun berkata “ Wah, alimnya guru kita ya, sebab
dia mahir dalam ilmu yang susah untuk kita faham itu ”. Kasihan mereka ini
kerana guru itu pun dulunya sehingga sekarang tidak memahami apa yang
diajarkannya dan dia pun mengagungkan gurunya lantaran tidak faham dan merasa
kagum dengan gurunya yang mampu dan mahir mengajar apa yang dia tidak faham.
Lalu tidak hairan di pondok atau tempat pengajian ini wujud golongan yang
berpuluh tahun belajar masih tidak faham dan memahami.
Sayang sekali mereka ini, jahil akan
Al-Qur’an dan As-Sunnah walaupun baginda nabi salallahualaihiwasalam pernah
memperingatkan umatnya akan tinggalannya dengan sabdanya : “ Al-Quran itu hujah
bagi kamu dan hujah ke atas kamu.” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no.223 ) dan
perintah supaya kita menuruti Al-Qur’an dan Sunnah seperti sabdanya :
تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما كتاب الله وسنة رسوله
" Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang
kepadanya tidaklah kamu akan sesat selamanya iaitu kitab Allah
(Al-Quran) dan sunnah rasulnya." (Hadith Hasan, riwayat Malik dalam
Muwatho (no 898), Hakim dalam Mustadrak no.63). Bukankah Allah swt telah
menyebut kepada kita bahawa Islam itu mudah dan sesuai untuk semua lapisan
masyarakat dan golongan serta peringkat umur ?
يريد الله بكم اليسر ولا يريد بكم العسر"( البقرة: 185)”
“Sesungguhnya Allah mengehendaki kemudahan bagi kamu dan tidak mengehendaki
kesusahan bagi kamu" (Surah Al-Baqarah :185). Mengapa perlu berfalsafah
dan berbelit-belit mengenal Allah swt dan sifat-sifatnya ? Bahkan jika hal
ini dibuat dan diamalkan oleh para ulama muktabar seperti Imam-imam yang empat
dan lain-lain ulama’ Islam tidak mengapalah juga ini tidak bahkan ilmu mengarut
dan aqidah falsafah dan ilmu kalam ini hanya diamalkan oleh mereka dan tok-tok
guru mereka sahaja dan segolongan yang sesat dari kalangan mereka.
Walaubagaimanapun tidak cukup dengan itu, ditambah pula lagi seleweng umat
Islam ini dalam agama mereka dengan lahirnya pula golongan sesat yang membawa
ajaran baru dalam Islam dengan mendekat diri kepada Allah tidak menurut
Al-Qur’an dan As-Sunnah berdasar kaedah yang sahih. Lahirnya sufi, tareqat dan
muncul serta popular pula wali-wali dan keramat-keramat yang bermacam-macam.
Wujud istilah wali autad, wali abdal, wali itu dan ini bahkan cerita wali ini
sampai dibukukan dan dijual serta disebarkan konon untuk mengambil pengajaran.
Celaka benar umat Islam apabila Al-Qur’an dan Sunnah di depan mata tidak
diambil pengajaran tetapi mereka mencari selainnya sebagai pertunjuk dan
hidayah nyata sekali tingkah ini seperti golongan Yahudi yang dicela oleh Allah
swt.
Apabila dikatakan kepada mereka bahawa amalan mereka ini bid’ah dan baru serta
tidak pernah pun wujud di zaman nabi salallahualaihiwasalam dan para sahabat
serta salaf soleh yang disebut sebagai sebaik-baik zaman berdasarkan sabda
baginda dalam riwayat Aisyah ra bahawa baginda bersabda : خير الناس القرن الذي أنا فيه ثم الثاني ثم الثالث Sebaik-baik kurun manusia ialah kurun aku berada di
dalamnya dan kemudian kurun kedua (Sahabat) dan kurun ketiga
(Tabi'ien)" ( Hadith Sahih, riwayat Muslim no.1965 Jilid 2, Abu Daud no.
44 Jilid 5) Maka mereka akan menjawab bahawa sesungguhnya mereka melakukan
zikir-zikir karut itu, bertareqah, bersuluk dan lain-lain amalan dengan turut
berhujah kepada Al-Qur’an dan Sunnah. Malangnya mereka berhujah dengan
Al-Qur’an namun Al-Qur’an sendiri bebas dari tuduhan palsu dan dusta mereka.
Mereka mengaku menurut sunnah namun sunnah dan nabi salallahualaihiwasalam
serta para sahabat dan salaf soleh bebas dari mereka.
Tentu sahaja, mereka menafsirkan Al-Qur’an dengan akal mereka, dengan firasat
dan ilham guru-guru mereka yang mendapat pertunjuk syaitan lalu mendakwa dan
berkata “Lihat kami berzikir sesuai dengan ayat Al-Qur’an yang disebut dalam
surah sekian dan sekian.” Sedangkan tafsir ayat yang mereka dakwa sesuai dengan
amalan mereka itu jauh dari hakikat dan dakwaan mereka dan tenyata mereka
beriman dan beramal dengan Al-Qur’an tidak menurut kaedah yang diajarkan oleh
rasulullah dan diamalkan oleh para sahabat ra serta para ulama’ Islam lalu
bagaimana keadaan Islam mereka ini ? Begitu juga mereka mendakwa menuruti sunnah
nabi salallahualaihiwasalam tetapi sunnah itu mereka tafsir dan hadith itu
mereka tafsirkan menurut ajaran mereka dan ditafsirkan supaya membenarkan dan
mengiktiraf ajaran serta amalan mereka. Jauh benar seleweng dan dusta mereka
ini dalam beragama dan mereka menjadikan amalan tareqah mereka (zikir-zikir,
wirid dan lain-lain) sebagai asas dan utama dalam hidup mereka manakala syariat
Islam (solat, puasa, zakat dll) yang dibawa oleh nabi salallahualaihiwasalam
dijadikan hanya sebagai sampingan bahkan lebih teruk terus ditinggalkan.
Begitulah juga dalam masalah Al-Qur’an dan As-Sunnah, mereka bukan pun beramal
berasaskan Al-Qur’an dan As-Sunnah dan apa yang termaktub di dalamnya
sebaliknya membuat pelbagai bid’ah dan amalan khurafat serta karut lalu bila
diserang dan dituduh sebagai sesat maka bergegaslah baru membuka Al-Qur’an dan
mencari hadith yang dapat untuk dijadikan hujah membenarkan amalan mereka.
Ketika itulah akan lahir hadith dhaif dan palsu yang direka membenarkan amalan
mereka, tafsiran-tafsiran ayat Al-Qur’an yang menyeleweng bagi membenarkan
ajaran mereka dan mengiktiraf tareqah dan ajaran tok guru mereka.
Sungguh sangatlah menyedihkan saya apabila melihat dan mengenangkan keadaan dan
nasib umat Islam yang semakin hari semakin malang dan dapat diibaratkan sebagai
“ Sudahlah jatuh ditimpa tangga, dilanggar pula lori diwaktu tengahari”.
Tambahan pula jika kita melihat kepada suasana yang berlaku di dunia ketika
ini, umat Islam sekarang ditindas oleh barat dalam rangkanya untuk menguasai
dunia dan menghancurkan Islam dan umatnya. Untuk menguasai dunia mesti
memerlukan pengorbanan manusia dan sudah semestinya umat Islam yang akan
menjadi korbannya. Mereka (yakni barat) sekarang sudah memulai kempen melabel
negara umat Islam sebagai pengganas. Lalu tekanan demi tekanan dikenakan kepada
negara umat Islam, baik ekonomi, senjata dan pelbagai lagi. Apa yang berlaku
ialah negara umat Islam yang ditekan pun kerana takut dan bacul kepada barat
disebabkan mereka beriman bahawa tuhan ialah barat dan yang akan menyuapkan
mulut mereka dengan makanan dan minuman ialah barat, yang memberi mereka
pakaian mahal dan kereta mewah dan kekuasaan ialah barat lalu negara-negara ini
pun lantas menekan pula gerakan Islam dan usaha dakwah di dalam negaranya
kerana takut dilabel sebagai pengganas dan mahu menghentikan label pengganas
sebaliknya mahu digelar sebagai liberal, sebagai aman dan negara yang boleh
dijadikan kawan oleh barat. Maka kerana itu agama di tindas, pendakwah
ditangkap, pengajian agama ditutup dan dilarang takut membawa ajaran pengganas.
Lebih malang dan bodoh mereka ini kerana mereka ditipu oleh barat secara
terang-terangan namun masih mereka terpedaya dalam perangkap barat. Mereka ini
seolah ibarat kata pepatah “ babi hutan yang cuba menghulurkan tangan persahabatan
dengan harimau liar” konon dengan harapan bahawa bersahabat dengan harimau akan
dapat menyelamatkan mereka dari dimakan oleh si harimau itu.
Seluruh dunia sekarang ini dipenuhi kekacauan, peperangan dan pembunuhan yang
tidak berhenti dan mangsanya masih tetap umat Islam. Hairannya, negara-negara
umat Islam dalam keadaan ditindas oleh barat masih tidak mahu bersatu dan
bekerjasama bagi menghadapi barat dan kuffar sebaliknya masing-masing berebut
dan berlumba-lumba mendapat tempat sebagai sahabat dan rakan kepada barat.
Namun dalam pada segala ombak dan gelombang dahsyat yang menyerang Islam dan
umatnya saya agak sedikit terhibur dan gembira di hati apabila melihat wujudnya
sekarang ini pelbagai gerakan dan usaha menegakkan Islam dikalangan pemuda-pemudi
Islam dan munculnya harakah (gerakan) dan jemaah yang memperjuangkan Islam dan
bersemangat mahu membela Islam. Usaha gigih pelbagai gerakan dan jemaah ini
cuba membawa dakwah Islam dalam pelbagai lapangan membuatkan saya terharu dan
bersyukur kepada Allah swt.
Walaubagaimanapun setelah
diperhatikan agak lama dan dilihat akhirnya kebangkitan ini dan suasana
gerakandan jemaah yang membawa Islam ini akhirnya semakin mengarut dan menjadi
seleweng apabila ianya tidak seimbang dengan ilmu dan kefahaman menurut
Al-Qur’an dan As-Sunnah. Sudah tentu saya tidak dapat berdiam diri dan tidak
selesa dengan fenomena ini yang perlu segera diperbetulkan agar tidak menjadi
barah yang menambah lagi masalah umat Islam. Apabila disebut mengenai jemaah
dan harakah Islamiyah saya merasa cuak dan kurang percaya terhadap kebenarannya
kerana saya tidak yakin dan tidak mempercayai kematangan ilmu dan kefahaman
agama umat Islam hari ini khususnya di Malaysia.
Alasan mengapa saya tidak dapat mempercayainya ialah lihat sahaja para golongan
agama yang bercambah dalam masyarakat kita hari ini banyak yang termasuk
sebagai golongan agama yang menyeleweng. Contoh mudah boleh kita lihat dengan
tersebarnya dan berkeliarannya hadith-hadith palsu dan dhaif yang diamalkan
oleh masyarakat kita tanpa sedar dan yang menyebarkannya pula ialah mereka yang
merupakan golongan agama. Baru hari ini kita melihat usaha memurnikan hadith
nabi salallahualaihiwasalam muncul dan agak baru bertapak di Malaysia dan
inipun baru bermula dan menyebabkan ramai terpingga-pingga rupa-rupanya hadith
yang diamalkan sebelum ini ialah dusta dan palsu !! Bahkan lihat sahaja
persoalan aurat dan tudung, baru dalam era 70 an dan tahun 1980 an pemakaian
tudung dan menutup kepala bagi perempuan mula mendapat tempat dan menjadi
tersebar. Sebelum ini soal menutup aurat, tudung bagi wanita tidak diendahkan
bahkan tidak diketahui walau pun oleh orang yang dianggap sebagai ahli agama
dan alim. Isteri-isteri tok-tok guru pondok, para ustazah zaman dahulu pun
kebanyakannya tidak memakai tudung kerana tidak mengetahuinya buktinya saya
sendiri pernah melihat gambar ustazah Kolej Islam Klang ketika zaman awalnya
yang tidak memakai tudung !! Nah, jika persoalan aurat yang merupakan perkara
fardhu ain dan kewajipan yang sepatutnya diketahui umat Islam ini pun masih
baru masyarakat kita ketahui apatah lagi persoalan dakwah, tarbiyah dan negara
Islam satu hal yang jauh lebih besar dari itu ! Kerana itu saya tidak dapat
mempercayai gerakan dakwah dan jemaah di masyarakat Melayu kerana kejahilan
ilmu dan kefahaman. Itu belum dilihat kepada pengamalan feqah yang berasaskan
taqlid buta dan jahil, semua bersandar kepada mazhab syafie tapi langsung tidak
punya hujah dan dalil apakah benar ia dari mazhab syafie ataukah ianya rekaan
guru-guru agama yang jahil lalu demi menutup kejahilannya dan enggan banyak
persoalan ditujukan padanya lantaran tidak tahu menjawabnya maka segera ditutup
perbahasan dengan mengatakan “Ini mazhab syafie, kita orang melayu ikut syafie
, kita orang awam kena taqlid pada ulama’ pada imam-imam yang empat dan kita
ambil syafie sebab dia paling bagus dan mazhabnya sederhana kalau mazhab lain
macam Maliki dan Hambali agak ketat dan susah.” Demikianlah jahilnya makhluk
Allah ini kerana sangat jauh sesatnya dan jauh bodohnya sehingga tidak simpan
sedikit pun kebodohan itu untuk orang selainnya.
Pertama, apa hujahnya untuk menyandarkan sesuatu pendapat itu pada mazhab
syafie ? Entah-entah itu pendapat gurunya yang mengaku mengikut mazhab syafie
lalu disampaikan kepadanya maka apakah pendapat itu mewakili mazhab syafie ?
Jauh sekali pendapat itu dari keluarkan oleh Imam Syafi’ie ra dan juga
ulama’-ulama’ muktabar yang menurut qaul dan usul Imam Syafi’ie dan digelar
sebagai ulama’ mazhab syafie. Maka dustalah dia pada imam syafi’ie dan pada
mazhab syafi’ie itu sendiri dan jika sekalipun benar itu sememangnya mazhab
syafie’ie iaitu apabila qaul dan pendapat itu menjadi pegangan jumhur ulama’
syafi’ie dengan riwayat yang sahih maka kita tidak juga terima secara melulu
bahkan diteliti dan diperiksa apakah pendapat itu benar dan selari dengan
Al-Qur’an dan sunnah menurut kaedah yang sahih kerana para imam dan ulama’
tidak maksum.
Seterusnya apa kaitan melayu dengan mazhab syafi’ie ? Bukankah Imam Syafi’ie
itu orang arab dan bukan melayu ? Adakah berdosa dan salah jika penduduk Kedah
dan Perlis mahu mengamalkan mazhab Maliki ? Ini tidak lain, berpunca dari bodoh
dan lembabnya akal orang agama apabila mereka tidak boleh berfikir akan hal ini
dengan terus menerus taqlid buta. Memanglah sejarah melayu mengisahkan bahawa
Islam yang datang ke tanah Melayu membawa mazhab Syafi’ie dan seterusnya
diterima pakai secara menyeluruh. Walaupun begitu apakah bermakna sampai kiamat
mesti ikut mazhab Syafi’ie ? Apakah salah jika seseorang itu alim dan mengetahui
bahawa wujud salah dan silap dalam beberapa qaul syafie dan bercadang mengambil
qaul pendapat dari mazhab lainnya ? Mengapalah mereka tidak boleh berfikir,
bahawa mereka selama ini bermazhab syafi’ie pun hanya disebabkan ianya dibawa
masuk ke tanah melayu oleh pedagang-pedagang arab yang membawa Islam dan
membawa ajaran feqah bermazhab Syafi’ie. Apakah jika andainya yang dibawa masuk
oleh pedagang arab dahulu bukan mazhab syafi’ie tetapi mazhab zahiri (Imam Ibn
Hazm Az-Zahiri) maka pakat menjadi Zahirilah semua orang Melayu sampai ke hari
ini ?
Malangnya orang Melayu, dalam perkara
yang memerlukan mereka menggunakan akal dan kebijaksanaan mereka enggan pula
tetapi dalam bab aqidah dan perkara keimanan kepada Allah yang sepatutnya
mereka hanya ikut dan taat berdasarkan Al-Qur’an dan As-sunnah maka di situ
pula yang mereka begitu beriya-iya menggunakan akal dan berfalsafah dan
bermantiq dan mengunakan ilmu kalam. Ini semua kebodohan yang tiada ubat
melainkan memerlukan usaha rawatan dan dakwah serta pembentukan semula generasi
baru berasaskan ilmu dan kefahaman.
Lalu setelah hal ini berlaku dan masih berterusan berlaku bagaimanakah saya
dapat mempercayai golongan agama, ustaz-ustazah, tok-tok guru yang memimpin
usaha dakwah dan gerakan Islam di Malaysia ini ? Sedang perjuangan Islam ialah
satu perjuangan yang besar dan agung namun dibawa oleh golongan yang banyak
caca merba ini ? Mampukan perjuangan Islam dibawa oleh mereka yang jahil akan
sumber Islam itu sendiri iaitu Al-Qur’an dan hadith dan mereka ini tidak mampu
pun mengetahui apakah sumber Islam ini (hadith ) sahih atau pun tidak, palsu
atau pun dusta ? Sudahlah begitu mereka juga tidak memahami Al-Qur’an yang
merupakan sumber pertama dan pun juga tidak mampu menafsirkannya menurut
kefahaman yang sahih bagi mendapatkan maklumat dan pengajaran yang sebenar
menurut kehendak Allah swt dan apa yang diajarkan oleh baginda nabi
salallahualaihiwasalam. Lalu bagaimana ini ? Apakah dengan Aqidah yang
menyeleweng dari manhaj Ahlul Sunnah Wal jamaah dan dipenuhi khurafat dan ilmu
kalam serta dikotori falsafah dan akal, dengan kejahilan terhadap Al-Qur’an dan
Sunnah dan seterusnya dengan feqah yang berasaskan taqlid buta namun mengaku
bermazhab syafi’ie ini maka kita masih mampu berkata kita hendak membawa perjuangan
Islam ? Sungguh melucukan satu gerakan yang membawa dakwah Islam yang syumul
namun apabila tiba persoalan feqah maka Islamnya tidak lagi syumul sebaliknya
menjadi mazhab Syafi’ie !! Apakah saya harus menyebut mereka ini ialah mereka
yang membawa dakwah Islam aliran syafi’ie ? Kasihan mazhab lain kerana tidak
dapat menyertai mereka ini kerana berlainan mazhab J . Apabila ditanya mengata
Islam yang syumul itu tapi mazhabnya ialah syafie’ mereka akan cuba membela
bahawa perjuangan Islam syumul tapi perkara ibadah dan feqah ialah soal yang
lain maka apakah mereka tidak merasa malu dilabel sebagai golongan yang
menbezakan dan menjuzukkan ajaran Islam yang syumul setelah mereka melabelkan
golongan yang memisahkan politik dengan agama sebagai sekuler dan kafir ?
Lebih malang dan menyedihkan, tidak cukup dengan kejahilan dan kelemahan umat
Islam Melayu dalam memahami agama Islam, kini sistem pendidikan yang ada pula
menambah parah dan deritanya lagi. Wajarkah dalam kejahilan umat Islam hari ini
kita masih lagi boleh berbangga dengan lahirnya golongan agama 4 tahun ?
Logikkah mengaji agama hanya 4 tahun di Universiti atau jamiah dengan silibus
yang terhad dan guru-guru serta pensyarah yang terhad untuk memahami agama
Islam seterusnya keluar menjadi ustaz dan dimartabatkan sebagai ulama ?
Ditambah wujudnya cuti, sikap malas dan mengaji hanya semata–mata untuk lulus
peperiksaan maka bolehkah kita berbangga ? Sudah tentu mereka ini (para ustaz
dan ustazah) hanya membaca buku dan kitab yang berkaitan dengan silibus dan
itupun terhad apa yang akan masuk dalam peperiksaan ! Waktu lapang harus diisi
dengan perkara lain, tentu sahaja masing-masing punyai aktiviti dan bidang
agama ini sebagai bidang pengajian untuk kerjaya dan mencari pekerjaan selepas
belajar seperti bidang-bidang lainnya iaitu dibina demi memenuhi permintaan
dari sektor pekerjaan. Kerajaan juga bijak terlebih kadang-kadang apabila ingin
memenuhi permintaan semasa dengan mengurangkan silibus agama sebaliknya
menambah dalam silibus pelajar dengan subjek-subjek yang bukan bidang agama
sebaliknya bidang komersil seperti komputer, psychology dan lain-lain bagi
membantu pelajar itu mudah mendapat pekerjaan selepas tamat belajar nanti.
Baguslah dan tahniah diucapkan kepada para golongan agama yang bercambah di negara
kita hari ini sehingga mereka juga seperti orang lainnya dan seperti bidang
lainnya belajar untuk mendapat ijazah supaya beroleh pekerjaan demi menyara
hidup. “ Wah, bidang agama sekarang jika belajar betul-betul, sampai ke Phd,
dapat beroleh kerjaya pensyarah, lumayan gajinya, dan jika berceramah dalam
satu jam boleh mendapat ribuan ringgit !!!”. Inilah kegilaan yang berlaku
kepada aliran dan bidang agama. Bagaimanakah golongan ini yang akan membawa
perjuangan Islam dapat memandu gerakan dan jemaah menurut landasan yang benar
menurut Al-Qur’an dan As-Sunnah ? Sungguh pemikiran, mentaliti dan pengajian
mereka sendiri sudah haru biru dari awal-awal lagi. Bagaimana dapat memahami
Islam dengan silibus yang terhad ? Itu belum dicampur kewujudan bidang tertentu
yang semakin menyempitkan skop pengajian agama seperti bidang syariah,
Al-Qur’an dan usuluddin. Belum lagi dibahaskan panjang apakah pengajian mereka
menurut manhaj dan akedah yang benar menurut manhaj Salaf soleh dan berdasar
kaedah ilmu ulama’ Ahlul Sunnah Wal Jamaah.
Selain dari golongan yang bergelar
ahli agama 4 tahun tadi, wujud pula golongan yang belajar agama tanpa menurut
sistem dan kaedah yang tersusun. Mereka mengaji berjenis tallaqi (mengadap guru
atau syeikh) dan menghabiskan kitab dari kulit ke kulit dengan guru tersebut
sehingga beroleh ijazah syeikh di madrasah tertentu atau pondok tertentu.
Mereka ini pun serupa juga bermasalah apabila akal menjadi benak dan tumpul
serta ta’asub kepada aliran mereka sahaja dan kepada guru-guru mereka sahaja
serta langsung tidak mahu mencelikkan mata membaca pelabagai kitab lain dan
melihat kepada pandangan serta hujah yang lain bagi menilai dan mencari
kebenaran.
Kesimpulannya, umat Islam kini perlu bersatu dan semua yang berkemampuan
wajarlah mencari jalan penyelesaian dan berusaha menyelesaikan masalah umat
Islam. Saya sangat sedih dan merasa letih dengan suasana ini namun dalam
perjuangan sememangnya tiada rehat maka kerana itulah dalam keadaan serba lemah
dan dhaif ini saya berusaha menyusun sebuah buku ringkas bertajuk " Jemaah
dan Harakah Antara benar dan Salah" yang merupakan satu usaha saya untuk
membantu bukan menambah masalah, menolong bukan untuk menyusahkan lagi masalah
umat Islam.
Sesungguhnya buku ini saya tulis dalam keadaan saya yang sangat tertekan dan
lemah, dalam suasana yang sangat mencabar, dengan diri yang sakit, dengan jiwa
dan hati bujang saya yang sangat berhajat kepada isteri, dalam suasana cabaran
dan fitnah yang semakin menambah terhadap saya, dalam waktu kewangan dan poket yang
kosong tanpa isi maka ketika inilah buku ini ditulis dan dihasilkan sebagai
satu usaha membantu dan membawa gerakan dan mereka yang berada dalam perjuangan
Islam untuk mengetahui kaedah yang sahih dan benar dalam perjuangan Islam
menurut manhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah.
Penulisan ini bukanlah untuk memperpanjangkan perbahasan yang sudah lama dibuat
oleh orang terdahulu, atau ianya untuk mempersalahkan golongan tertentu, atau
pun untuk membenarkan pihak tertentu pula. Barangsiapa yang benar, maka benarlah
dan sesiapa yang salah maka salahlah dia dan wajarlah dia menginsafi keadaan
dirinya dan kembali kepada kebenaran Islam serta membawa gerakan dan jemaahnya
ke jalan yang diredhai Alah swt.
Harapan saya dalam menulis buku ini ialah supaya biarlah umat Islam dapat
bersatu di atas pertunjuk Al-Quran dan As-Sunnah dan berada dalam manhaj Ahlul
Sunnah Wal Jamaah serta bertemu dalam redha Allah swt. Sungguh saya tidak
berhajat untuk menunjuk pandai dan mengaku diri lebih hebat dari mereka yang
sudah berpuluhan tahun mengabdikan diri di jalan dakwah atau mengaku bijak dari
para ulama' harakah yang bertungkus lumus memimpin gerakan dakwah sebaliknya
dalam keadaan saya yang lemah lagi dhaif ini saya berhasrat membantu dakwah dan
membawa sedikit keinsafan kepada para pejuang Islam supaya menyelidik kaedah
dakwah mereka dan kembali kepada sunnah rasulullah.
Biarlah wujud 10 gerakan atau jemaah yang masing-masing membawa dakwah yang
berbeza, diharapkan apabila salah seorang ahlinya membaca risalah dan buku ini
maka mereka akan beroleh sedikit keinsafan dan mungkin juga panduan dan
tidaklah pula saya harapkan mereka akan menghina saya, menuduh saya
mempersesatkan mereka, memperendahkan dakwah mereka, serta menyalahkan usaha
kerja dan usaha gigih mereka membawa Islam sebaliknya saya mengharapkan selepas
mereka membacanya mereka akan dapat berfikir dan berusaha memusingkan tali kemudi
gerakan dan dakwah mereka supaya menuju kepada panduan Al-Qur'an dan As-Sunnah
dengan pemahaman dan kaedah yang sahih. Biarlah satu hari dengan keinsafan dan
usaha memusingkan tali kemudi gerakan dan dakwah mereka supaya menurut
Al-Qur'an dan Sunnah berdasarkan kaedah yang sahih maka kita akan melihat
sedikit demi sedikit, perlahan atau lambat gerakan dan jemaah yang pelbagai ini
pasti akan menuju ke satu titik pertemuan dan bersatu di atas Al-Qur'an dan
As-Sunnah dengan kefahaman yang sahih yang pasti membawa mereka kepada kesatuan
dan perpaduan.
InsyaAllah waktu itu akan pasti berlaku jika kita bersedia membuka hati kepada
kebenaran. Hari itu pasti akan tiba dan muncul di mana kita akan dapat bersatu
dan bersepakat mengabung tenaga dan kekuatan berhadapan dengan musuh-musuh
Islam bagi menewaskan mereka seluruhnya supaya agama dapat ditegakkan dan dunia
ini menjadi kepunyaan Islam dan dinaungi oleh kalimah Allah semuanya sehingga
tiada yang tersisa melainkan kebenaran dan keadilan.
Yang benar,
Hamba Allah yang mengharap redha-Nya
emran ahmad
Bandar San'a,
Yaman.