Saiyid Abdullah Al-Ghadamsi sebarkan ilmu dari Libya ke
Malaysia
Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
RUANGAN Agama Utusan Malaysia
telah menyiarkan 110 rencana mengenai ulama. Semua ulama yang diriwayatkan
berasal dari dunia Melayu. Ulama ke-111 yang dibicarakan sekarang merupakan
ulama yang berasal dari dunia luar. Beliau berasal dari Libya, tetapi telah
menabur jasa dan keharuman peribadi di Malaysia khususnya dan dunia Melayu
umumnya.
Pada 10 April 2006, Fakulti
Pengajian Quran dan Sunnah, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) dan World
Islamic Call Society (WICS), Libya mengadakan Nadwah Ilmiyyah 2006 bertemakan
Syeikh Abdullah Al-Ghadamsi (Al-Maghribi): Peranannya Dalam Pendidikan Islam Di
Tanah Melayu. Ia diadakan di Hotel Marriot, Putrajaya.
Saya membentangkan salah satu
daripada 10 kertas kerja seminar itu. Kertas kerjanya berjudul Saiyid Syeikh
Abdullah Al-Maghribi: Penulisan dan Penyebaran Ilmu. Kertas kerja tersebut saya
ringkaskan dalam rencana ini dan ditambah beberapa maklumat yang dianggap penting
setelah mengikuti semua pembentangan pada seminar itu. Sebelum saya memasuki
pokok perbicaraan perlu juga saya membuat sedikit penilaian bahawa masih banyak
terdapat perselisihan pendapat dalam penulisan terutama tentang tahun-tahun
aktiviti Syeikh Abdullah Al-Ghadamsi.
Sesuatu yang bersifat andaian
lebih menguasai daripada yang bercorak data dan fakta yang konkrit. Tiga tokoh
yang dikemukakan sebagai tokoh islah ialah Syed Sheikh al-Hadi, Syeikh Tahir
Jalaluddin dan Syeikh Abdullah Al-Maghribi. Ketiga-tiga mereka sering
dibicarakan. Pada pandangan saya kajian secara menyeluruh, adil, ilmiah,
berfakta dan tidak berpihak perlu dibuat dalam penilaian, terutama dalam
menilai dua golongan ketika itu iaitu Kaum Tua dan Kaum Muda (islah atau
tajdid).
PENGENALAN RINGKAS
Nama lengkap ulama yang
diperkatakan ini ialah Saiyid Syeikh al-Qadhi Abu Jabir Abdullah bin Ahmad bin
Ibrahim bin Muhammad bin Abdullah bin Ahmad bin Muhammad al-Qairuani al-Balawi
al-Ghadamsi al-Maghribi. Nama ringkas ialah Saiyid Abdullah al-Maghribi saja.
Beliau dilahirkan di Ghadamas, tahun 1310 H/1892 M (mengikut Dr. Adel Muhammad
Abdul Aziz dalam satu kertas kerja bertarikh 10 April 2006, hlm. 3). Ada
riwayat lain menyebut beliau lahir di Tripoli. Wafat di Mekah pada waktu
Maghrib, 7 Ramadan 1395 H atau 12 September 1975. Sejak kecil telah berpindah
ke Mekah. Antara gurunya selama di Mekah ialah Syeikh Ahmad bin Ali an-Najjar
(lahir di Thaif, 1272 H/1856 M, wafat 1347 H/1928 M).
Menurut Syeikh Umar Abdul
Jabbar, guru bagi Syeikh Ahmad bin Ali an-Najjar ialah Syeikh Rahmatullah bin
Khalilur Rahman al-Hindi al-Utsmani (lahir 1226 H/1811 M, riwayat lain lahir
Jumadil Awwal 1233 H/9 Mac 1818 M, wafat malam Jumaat, 22 Ramadan 1308 H/2 Mei
1891 M). Syeikh Rahmatullah ialah pengasas Madrasah ash-Shaulatiyah di Mekah.
Pada penelitian saya berdasarkan sanad nampaknya tertinggal satu nama yang
tidak disebut oleh Syeikh Umar Abdul Jabbar. Syeikh Ahmad bin 'Ali an-Najjar
bersama-sama Syeikh Ahmad al-Fathani berguru kepada Syeikh Abdul Qadir asy-Syibli
ath-Tharablusi. Sesudah ulama Libya ini barulah naik kepada Syeikh Rahmatullah
al-Hindi itu. Syeikh Ahmad bin Ali an-Najjar juga belajar kepada Saiyid Ahmad
bin Zaini Dahlan.
Memperhatikan tahun lahir
Syeikh Ahmad bin Ali an-Najjar (1272 H/1856 M) bererti ia sama dengan tahun
lahir Syeikh Ahmad al-Fathani (1272 H/1856 M), kedua-duanya sama-sama belajar
kepada Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan (lahir 1232 H/1816 M, wafat 1304 H/1886
M). Kemungkinan Saiyid Abdullah al-Maghribi juga pernah belajar kepada Syeikh
Ahmad al-Fathani atau ulama-ulama dunia Melayu di Mekah lainnya.
Untuk lebih memperkuatkan
hujah, sekiranya beliau tidak belajar kepada ulama dunia Melayu kepada siapakah
beliau belajar bertutur bahkan dapat menulis dengan menggunakan bahasa Melayu?
Hal ini memerlukan penelitian kepada pelbagai sumber. Oleh sebab Saiyid
Abdullah al-Maghribi pernah belajar di Madrasah ash-Shaulatiyah, Makkah,
kemungkinan beliau juga pernah belajar kepada Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani
yang pernah mengajar di madrasah itu sebelum beliau menjadi Syeikh al-Islam di
Selangor.
Banyak pertikaian pendapat
tentang riwayat kedatangan dan tahun Saiyid Abdullah al-Maghribi berhijrah ke
Pulau Pinang. Ada riwayat menyebut bahawa beliau sampai di Pulau Pinang pada
1918 M. Riwayat yang lain pula menyebut setahun kemudian, iaitu tahun 1919 M.
Ada juga riwayat yang menyebut bahawa pada tahun 1919 M itu juga beliau
dilantik menjadi mudir di Madrasah al-Masyhur al-Islamiyah (Abdul Rahman
Al-Ahmadi, dalam Tamadun Islam di Malaysia, DBP, 2000, hlm. 489) di Tek Soon
Street, Pulau Pinang menggantikan tempat Saiyid Syeikh al-Hadi.
Riwayat yang lain pula
menyebut bahawa beliau menjadi mudir di madrasah tersebut pada 1921 M (Abdul
Rahman Al-Ahmadi, hlm. 489) hingga 1927 M (Abdul Rahman Al-Ahmadi, dalam
Tamadun Islam di Malaysia, DBP, 2000, hlm. 492). Tetapi dalam majalah ar-Raja'
terbitan 23 Syawal 1343 H/19 Mei 1925 pada halaman 7 dan 15 terdapat maklumat
bahawa pada tahun terbitan ar-Raja' itu mudir madrasah tersebut ialah Syeikh
Abbas Rafi'.
Pada 1927 M saat-saat sewaktu
akan pindah ke Perak, Saiyid Abdullah al-Maghribi mengasaskan organisasi
Jam'iyah Al-Khalifah Syarif Husein yang bertujuan menyokong kekhalifahan Syarif
Husein Raja Mekah yang mulai tergugat setelah kejatuhan Turki Uthmaniah. Tidak
sampai setahun Saiyid Syeikh Abdullah al-Maghribi mengajar di Madrasah Idrisiah
Bukit Chandan, Perak, pada 1928 M beliau terpaksa berpindah kerana fahaman
agama Islam yang dibawanya dianggap termasuk golongan Kaum Muda sedangkan di
madrasah tersebut masih ramai yang faham sangat tentang selok-belok Kaum Tua.
Informasi yang lain menyebut
bahawa Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Perak itu diasaskan oleh Saiyid
Abdullah al-Maghribi dan beliau menjadi mudir madrasah itu (1928-1932 M). Pada
tahun 1934 M didirikan pula Madrasah ad-Diniyah di Kampung Lalang di Perak.
Selanjutnya pada 1935 M Saiyid Abdullah al-Maghribi mengasaskan madrasah
sendiri yang dinamakan Madrasah Al-Huda di Pulau Pinang.
PENULISAN
Bagi saya, pengesanan awal
ketokohan seseorang sama ada ia berasal dari dunia Melayu sendiri ataupun dari
luar adalah melalui penulisannya. Demikianlah juga dengan ulama yang sedang
dibicarakan ini.
Pertama kali saya mengetahui
nama beliau adalah melalui sebuah karya yang berjudul Kitab Munir al-Afham Pada
Menyatakan Syarah Bulugh Al-Maram (jilid 1). Tidak terdapat tahun penulisan.
Dicetak oleh Al-Huda Press, 27, Cholia Street, Penang. Dicatatkan, ‘Telah
didaftar di bawah nombor 873-1211-1936’. Dalam kitab tersebut ada dicatatkan
maklumat ringkas tentang pengarangnya sebagai berikut: ‘Al-Allamah al-Fadhil wa
al-Muhaqqiq al-Kamil Tuan Syeikh Abdullah al-Maghribi, seorang daripada ulama
Mekah al-Mukarramah dan tuan empunya Madrasah al-Huda ad-Diniyah bagi laki-laki
dan perempuan’.
Pada halaman akhir diiklankan
dua buah karya ulama tersebut iaitu Kitab Pada Menyatakan Tafsir al-Quran dan
Kitab Pada Menyatakan Perjalanan Nabi s.a.w.. Tanpa melengah-lengahkan masa
tentang data kitab tersebut, saya catat nota dalam buku yang sedang saya susun
iaitu Katalog Besar Persuratan Melayu. Kandungan garis besarnya berdasarkan
katalog yang saya tulis itu yang membicarakan segala dalil-dalil hukum syariat
agama Islam bagi mazhab yang empat daripada hadis-hadis Nabi s.a.w.
Daripada maklumat di atas
dapat diambil kesimpulan bahawa Saiyid Abdullah al-Maghribi adalah berbangsa
Arab tetapi berkemampuan menulis dalam bahasa Melayu yang berkembang pada zaman
itu. Yang dibicarakan dalam penulisan tersebut adalah mengenai hadis, iaitu
syarah kitab Bulugh Al-Maram karya Syeikh Ibnu Hajar al-Asqallani. Selain
menulis tentang hadis, ulama Arab kelahiran Libya tersebut juga menulis tafsir
al-Quran dan sirah Nabi Muhammad s.a.w. juga dalam bahasa Melayu. Menerusi
maklumat yang lain nampaknya beliau tekun dan rajin mengikuti perkembangan
penulisan dalam bahasa Melayu kerana aktif dalam PASPAM (Persaudaraan Sahabat
Pena Melayu). Dalam beberapa terbitan PASPAM terdapat tulisan beliau.
Beberapa tulisan dan pendapat
yang menyebut bahawa Madrasah al-Masyhur al-Islamiyah didirikan atau ditubuhkan
oleh Saiyid Sheikh al-Hadi pada 1919 M perlu diselidiki kembali. Saya lebih
menyetujui pendapat yang menyebut bahawa Saiyid Sheikh al-Hadi mereformasikan
madrasah yang tersebut.
Berdasarkan informasi yang
telah ditulis orang, institusi tersebut telah wujud sejak 1914 M dan dinamakan
demikian kerana mengambil sempena nama Saiyid Ahmad al-Masyhur, iaitu salah
seorang ahli jawatankuasa madrasah tersebut yang besar pengaruhnya di Pulau
Pinang. Daripada bahan yang belum saya jumpai dalam penulisan, tetapi cerita
yang bersambung daripada salah seorang keturunan murid dan anak angkat pendiri
madrasah tersebut, dia menyebut bahawa Madrasah al-Masyhur al-Islamiyah Pulau
Pinang adalah didirikan oleh orang-orang Arab.
Yang terpenting di antara
pendirinya ialah ulama bernama Syeikh Muhammad Yusuf al-Manshuri al-Faqih
al-Makki. Barangkali beliau inilah yang dimaksudkan oleh Prof. Dr. Mohd. Sarim
Mustajab dalam kertas kerjanya (10 April 2006, hlm. 2) bahawa di antara 20
orang yang hadir dalam mesyuarat pada 13 Rejab 1332 H/7 Jun 1914 M, terdapat
nama Syed Manshuri. Setelah merintis jalan dan mengajar di madrasah di Pulau
Pinang, Syeikh Muhammad Yusuf al-Manshuri selanjutnya mendirikan sebuah
madrasah yang dinamakan Madrasah Dar-al-Falah di Sungai Bakau Besar, Mempawah,
Kalimantan Barat.
Madrasah
Seterusnya, Syeikh Muhammad
Yusuf al-Manshuri al-Faqih al-Makki mendirikan pula madrasah di Batu Raja,
Palembang, Sumatera Selatan. Diriwayatkan pula bahawa bentuk bangunan Madrasah
al-Masyhur al-Islamiyah di Pulau Pinang, Madrasah Dar al-Falah di Sungai Bakau
Besar, Mempawah, Kalimantan Barat dan Madrasah Batu Raja di Palembang, Sumatera
Selatan adalah serupa.
Sebelum tahun 1930-an Syeikh
Muhammad Yusuf al-Manshuri membawa beberapa anak angkat dan murid beliau dari
Kalimantan Barat ke Madrasah Batu Raja, Palembang dan seterusnya ke Madrasah
al-Masyhur di Pulau Pinang. Baik yang berasal dari Mempawah mahupun yang
berasal dari Palembang ramai yang mengikut Syeikh Muhammad Yusuf al-Manshuri
kerana semua mereka akan diberi latihan khusus di Madrasah al-Masyhur di Pulau
Pinang.
Menurut riwayat, ketika itu
Saiyid Abdullah al-Maghribi masih mengajar di madrasah tersebut. Antara yang
ikut dalam rombongan Syeikh Muhammad Yusuf al-Manshuri ketika itu ialah Haji
Sulaiman bin Sa'ad. Haji Sulaiman bin Sa'ad setelah pulang dari Pulau Pinang
mendirikan sebuah madrasah di Sungai Sahang dan Sungai Cina (nama sekarang
Nusapati). Madrasah tersebut dinamakan Madrasah Taufiqiyah yang masih aktif
sampai sekarang. Sumber ini diperoleh dari Mempawah yang saya yakin kerana ada
beberapa bukti. Saya sendiri sempat mengajar di Madrasah Taufiqiyah pada 1972
hingga 1974.
Sumber:
Utusan Malaysia
May 2006