Tengku Muhammad al-Fathani
- Ulama besar Jambi
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
DI DALAM Ruangan Agama, Akhbar
Utusan Malaysia, terbitan
hari Isnin, 22 Mac 2004, Seksyen 3 halaman 9, disiarkan tentang Tengku Mahmud Zuhdi,
Syaikhul Islam Selangor. Hari ini diperkenalkan pula anaknya yang juga seorang ulama besar
dan sangat terkenal di Jambi,
Sumatera. Apabila bercerita mengenai ulama ini, sekurang-kurangnya
akan menyentuh
hubungannya dengan Jambu di Patani,
Mekah, Selangor dan Jambi. Terutama dua nama yang hampir serupa, iaitu Jambu dan
Jambi. Hubungan kedua-dua Kerajaan Jambu dan Kerajaan Jambi telah wujud sejak
lama tetapi belum pernah diungkapkan oleh para penulis. Sampai penghujung abad
ke-19, banyak berlangsung perkahwinan antara orang Jambu dengan orang Jambi.
Nama lengkapnya ialah Kiyai
Haji Tengku Muhammad bin Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman bin Tuanku
Nur bin Raja Belat Ibnu Raja Datu al-Fathani al-Jawi. Beliau dilahirkan di
Mekah pada tahun 1323 H/1905 M. dan meninggal dunia di Jakarta pada hari Ahad,
5 Muharam 1397 H/26 Disember 1976 M. Jenazahnya diterbangkan ke Jambi dan
dikebumikan di Jambi.
PENDIDIKAN
Tengku Muhammad al-Fathani
al-Jambi mendapat pendidikan Islam tiga sistem, iaitu pendidikan Islam
tradisional Patani, pendidikan Islam tradisional mengikut tatacara orang Arab
Mekah, dan pendidikan Islam persekolahan. Pendidikan Islam tradisional sistem
hafalan cara Patani dibimbing oleh ayahnya, Tengku Mahmud Zuhdi sendiri dan
beberapa orang ulama Patani yang berada di Mekah pada zaman itu.
Sistem pendidikan Islam
tradisional Patani adalah secara hafalan matan dan sekali gus menghuraikan
setiap perkataan dan baris kalimat dalam matan dengan cermat dan terperinci.
Setiap perkataan ditimbang dengan timbangan sharaf, sedang kalimat dirujuk
kepada nahwu. Sistem pendidikan Islam tradisional Arab Mekah ialah penekanan
hafalan al-Quran dan hadis tanpa huraian yang mendalam. Selain itu mendengar
guru membaca kitab, terutama kitab-kitab hadis dengan bacaan cepat, tanpa
terikat dengan tanda baca, seperti koma atau pun titik. Sistem ini lebih
mementingkan banyak jumlah kitab yang ditamatkan dan mengambil berkat daripada
seseorang ulama.
Oleh sebab Tengku Mahmud Zuhdi
al-Fathani adalah salah seorang guru di Madrasah Shaulatiyah, maka anaknya Tengku
Muhammad dimasukkan ke madrasah tersebut. Madrasah Shaulatiyah adalah sebuah
sekolah agama Islam di Mekah yang didirikan oleh orang India, dan pada zaman
itu ia merupakan sekolah paling popular. Sistem pendidikannya adalah gabungan
persekolahan cara moden dan sistem pendidikan Islam tradisional India. Daripada
semua yang telah diungkapkan di atas, dapatlah dipastikan bahawa pada diri
Tengku Muhammad tergabung pelbagai sistem pendidikan Islam. Oleh itu cara
beliau mengajar dan berdakwah mempunyai gaya tersendiri.
AKTIVITI
Pada tahun 1929 beliau
berpindah dari Jambi ke Selangor bersama anaknya, Tengku Muhammad. Selain
membantu kerja-kerja ayahnya berkhidmat kepada Sultan Sulaiman, Sultan
Selangor, Tengku Muhammad mendapat pendidikan khusus dalam segala bidang, sama
ada kepentingan ukhrawi mahu pun duniawi. Oleh itu Tengku Muhammad adalah
seorang ulama yang memahami liku-liku pentadbiran.
Untuk menjejaki riwayat Tengku
Muhammad, penulis telah mewawancara ramai personaliti, dimulai dari Kelang,
Selangor menemui Tengku Abdul Hamid, saudara kandungnya (1972), ke Jambu
menemui Imam Tengku Haji Ahmad, juga saudaranya dan ramai lagi. Bulan Disember
1985 penulis mula menjelajah dari Tanjung Pinang ke Tembilahan dan ke Kuala
Enok. Mulai Tembilahan ke Kuala Enok dan seterusnya ke Jambi, penulis hampir
maut dipukul ribut kerana menumpang sebuah bot laju. Di sini penulis sempat
berjumpa salah seorang rakan seperjuangan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, Haji
Juneid Kasang (tahun 1985, berusia 124 tahun) yang berasal dari Ngabang,
Kalimantan Barat. Daripada beliau banyak diperoleh pelbagai maklumat.
Sebab-sebab Tengku Muhammad
bin Tengku Mahmud Zuhdi berpindah dari Kelang, Selangor ke Jambi ialah kerana
masyarakat Islam Jambi memohon kepada Tengku Mahmud Zuhdi, Syeikh al-Islam dan
Sultan Sulaiman, Sultan Selangor, agar Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani kembali
ke Jambi. Sultan Sulaiman tetap mempertahankan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani
tinggal di kerajaan Selangor, namun baginda tidak mahu mengecewakan kehendak
rakyat Jambi, maka sebagai gantinya baginda bersetuju agar Tengku Muhammad,
anak Tengku Mahmud Zuhdi sahaja yang berangkat ke Jambi.
Di Jambi beliau dikenali
dengan nama Kiyai Haji Muhammad Mahmud Zuhdi dan digelar dengan Ulama Jubah
Hitam. Beliau diberi gelaran demikian kerana mempunyai disiplin tersendiri,
iaitu dalam urusan-urusan tertentu dengan pakaian yang rapi dan mencerminkan
seorang ulama yang berwibawa dan hebat. Beliau memakai serban dan jubah hitam
yang khusus. Dalam upacara biasa atau sewaktu mengajar dan berdakwah, beliau
juga memakai jubah hitam tetapi agak berbeza dengan upacara-upacara besar,
rasmi dan tertentu.
Sekitar tahun 1930, Tengku
Muhammad mulai memimpin Madrasah Sa'adatud Darain, Kampung Tahtul Yaman, iaitu
sebuah sekolah agama Islam yang diasaskan oleh Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani
sebelum beliau pindah ke Kelang, Selangor. Sekolah tersebut terpaksa ditutup
pada tahun 1941 kerana darurat perang dunia yang kedua (1939 - 1945).
Tengku Muhammad pernah
mengasaskan satu pertubuhan yang dinamakan Azzuhdiyah di Tanjung Pinang, Jambi
(bukan Tanjung Pinang, di Kepulauan Riau). Pertubuhan tersebut ditangani beliau
sampai akhir hayatnya. Memperhatikan pada nama Azzuhdiyah, dapat dipastikan
bahawa ada hubungan dengan Tengku Mahmud Zuhdi, Syeikh al-Islam Selangor.
Menurut banyak sumber, Tengku
Muhammad adalah seorang ulama besar bukan dalam lingkungan Jambi sahaja tetapi
termasuk tempat rujukan ulama Sumatera, bahkan ulama Indonesia. Dalam
perkara-perkara penting yang melibatkan keIslaman, beberapa ulama dan pemimpin
Indonesia datang menemui beliau di Jambi atau beliau diterbangkan ke Jakarta.
Bukan setakat itu, beliau juga ada hubungan dengan ulama-ulama peringkat
antarabangsa terutama ulama Mekah. Oleh itu beliau sering ke Mekah, terutama
pada musim haji. Tengku Muhammad seorang yang sangat aktif menyampaikan ceramah
dalam kota Jambi, Jakarta dan beberapa tempat lain, termasuk di Mekah. Jika
beliau memberikan ceramah di Mekah atau di Asia Barat di kalangan para
cendekiawan, beliau menggunakan bahasa Arab. Beliau lebih fasih berbahasa Arab
jika dibandingkan dengan bahasa Melayu.
PENULISAN
Walaupun hasil karya Tengku
Muhammad tidak sebanyak karya ayahnya, Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, namun
dapat dicatatkan bahawa beliau termasuk golongan ulama yang sempat menghasilkan
karya yang menjadi tatapan dan mempengaruhi pemikiran para muridnya. Antara
risalah untuk amalan dan pegangan peminat-peminat beliau yang disebarkan ketika
beliau berceramah ialah: Munajat Sebelum Fajar (14 Mei 1966), I'tiqad Ahlis
Sunnah wal Jamaah (10 Julai 1968), Al-Wasilah (Mekah al-Mukarramah, 16 Muharam
1389 H/3 April 1969 M) dan lain-lain. Selain berupa risalah yang tersebut,
terdapat beberapa buah kitab yang diterbitkan oleh Al-Ahmadiah, Singapura,
tahun 1930an. Kitab yang dapat dikesan ialah Badi'uz Zhuhur.
Antara pesanan Tengku Muhammad
yang ringkas tetapi mantap, katanya, ``Ingin selamat, bersihkan diri daripada
maksiat. Ingin berjiwa luhur, munajatlah waktu sahur.''
KETURUNAN
Penulis datang ke Jambi
menemui keluarga ini dua kali, iaitu pada Disember 1985 dan tahun 1986. Penulis
dilayan dengan baik oleh mereka. Beberapa malam penulis tidur di rumah Tengku
Muhammad di Kampung Tahtul Yaman. Rumah tersebut dihuni oleh anaknya yang
bernama Zakaria bin Tengku Muhammad. Kedatangan penulis yang kedua di Jambi,
Zakaria memperoleh seorang cucu daripada anak perempuannya. Menantunya bernama
Mirza. Ketika pasangan itu mendapat anak, Mirza dan ayah mentuanya, Zakaria
meminta supaya anak yang dilahirkannya itu diberikan kepadanya. Selain Zakaria
ada lagi seorang anak Tengku Muhammad yang sempat penulis jumpa.
Salah seorang anak perempuan Tengku Muhammad berkahwin dengan seorang pegawai bank kerajaan di Aceh. Sungguhpun penulis banyak mencatat pelbagai sejarah, namun tidak terlepas
daripada kelalaian, kerana sibuk mencatat
hal-hal lain sehingga nama anak-anak
Tengku Muhammad bin Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani tidak terdapat
dalam catatan penulis. Nama Zakaria dan Mirza tersebut itu pun hanya ada
dalam ingatan, mohon maaf sekiranya
terjadi kekeliruan ingatan.
MENINGGAL
DUNIA
Di dalam
akhbar Ampera No. 129, Tahun ke-VIII, Selasa 28 Disember 1976 tertulis, ``Seorang Tokoh Agama Islam yang terkenal di Jambi Guru Zuhdy,
hari Minggu 26 Disember tutup usia di
Beliau meninggal dunia tanpa menghidap sebarang penyakit. Pada malam dan Subuh
hari meninggalnya, beliau masih sempat
memberi nasihat.
Sumber:
Utusan Malaysia
May 2006