Ufuk Minda: Kepemimpinan, dakwah perlu dimensi baru 2005
KEDATANGAN tahun baru 2005 memberi kesempatan manusia bermuhasabah atau menilai diri. Proses ini amat penting supaya kita boleh mengetahui sejauh mana kemajuan diri dalam strategi menyumbang ke arah peningkatan kualiti bangsa dan umat.
Bagi warga umat yang insaf akan cabaran terhadap agama, lazimnya mengambil kesempatan menilai kelemahan silam dan merancang kekuatan hari muka.
Isu pokok bagi kita adalah keengganan berperanan sebagai dai dan murabbi atau pendakwah serta pendidik yang sentiasa mempunyai tekad mengajak atau menyeru manusia kepada yang makruf atau baik dan mencegah yang mungkar atau buruk.
Tugas seorang dai dan murabbi amat mulia. Sekiranya dalam masyarakat tidak lagi wujud dai dan murabbi yang menyampaikan sesuatu yang hak dengan kesabaran, tidak mungkin masyarakat dapat dipertahankan kekuatannya mencintai dan menghayati agama.
Kerenah manusia kini amat mencabar iltizam dai dan murabbi. Oleh itu, tahun yang berlalu mengajak dai dan murabbi merenung sejauh mana dengan ilmu yang ada, pendakwahan dan proses mendidik yang berlalu berjaya menarik perhatian sebilangan anggota umat terhadap pentingnya menjaga imej agama. Begitu juga dalam memelihara martabat umat supaya keunggulan Islam itu terlihat pada akhlak, pekerti dan amalan penganutnya.
Pada tahun mendatang ini, mereka tentu mempunyai tekad untuk melipat gandakan usaha dan perancangan untuk menyuburkan kesedaran Islam serta mengajak dan mendidik manusia kembali menghayati agama fitrah ini. Mereka tentu ada tekad untuk mengajak umat Islam berasa syukur menjadi seorang Islam yang mempunyai jiwa muttaqin.
Seorang ibu dan ayah pula harus ada keazaman menilai gelagat anak-anak sama ada kecenderungan mereka terhadap yang baik atau sebaliknya. Keinsafan ini harus membangunkan tekad baru ayah dan ibu untuk mengekalkan kebaikan yang ada pada pekerti anak-anak dan mengatasi gelagat buruk sekiranya ada.
Anak-anak adalah penerus perjuangan ibu dan ayah. Jangan biarkan anak-anak tewas dalam pertarungan zaman remaja dan mudanya hingga sebilangan besar mereka menjadi warga ‘Pusat Serenti'. Kasihani mereka yang belum matang memahami makna hidup dan kerenahnya. Jangan biarkan mereka terjebak dalam kemelut sosial dan menjerumuskan mereka ke lembah pergaulan yang tidak terbatas.
Seorang guru pula harus memiliki keinsafan bahawa generasi terbaik yang mempuyai ilmu dan sahsiah tinggi perlu dibentuk. Hal ini supaya generasi berpotensi ini berupaya menyumbang terhadap kemajuan diri, bangsa dan umatnya.
Bayangkan kalau anak didik ini termasuk ke dalam golongan orang yang tercicir. Negara dan umat bakal diwarisi dengan beban manusia yang bukan saja tidak menyumbang ke arah kemajuan negara dan umat, malah terpaksa menyediakan peruntukan banyak bagi mengambil langkah pemulihan yang tidak ada batas tepinya.
Anak didik memerlukan kasih sayang dan perhatian jernih di kalangan pendidik yang jujur dan ikhlas. Lihatlah mereka seumpama anak sendiri yang dahagakan ilmu dan bimbingan supaya menjadi manusia berguna terhadap bangsa, umat dan negara.
Seorang penerbit atau penulis dalam media cetak dan elektronik harus memiliki keinsafan mendalam. Mereka perlu dapat bertanya kepada diri terhadap sumbangan yang dilakukan terhadap program penerbitannya. Adakah ia menyumbang ke arah memberikan maklumat berguna kepada warga penonton atau berorientasikan hiburan yang mendidik atau drama yang memberikan kesedaran teladan? Adakah ia tidak lebih mengisi ruang menepati sasaran pulangan komersial tanpa mempedulikan nilai kesantunan dan teladanan mendidik berguna? Adakah ia menyebabkan generasi muda dirangsang ke arah pemikiran berfoya-foya hingga akhirnya menjebak mereka dalam suatu kemelut tingkah laku yang juga membebankan negara dan umat?
Begitu juga seorang penulis harus insaf terhadap bahan yang ditulisnya. Apakah yang ditulis menyatakan kebenaran dan kebaikan secara bijaksana? Atau ia adalah sensasi murahan untuk menimbulkan keasyikan, ketahyulan dan rasa 'idola' tinggi terhadap manusia popular hingga wujud kelekaan yang parah terhadap tanggungjawab mendidik bangsa dan umat.
Penerbit dan penulis dalam cabaran media cetak dan elektronik amat penting menyumbang secara bersama ke arah meneguhkan peribadi umat dan mempertangkas keupayaannya untuk terbabit dalam arus perjuangan menempuh gelombang perubahan yang amat mencabar.
Keutuhan dan kekuatan sesuatu bangsa dan umat banyak bergantung kepada kekuatan ilmu serta nilai murni yang mampu dikembang secara kreatif dan bijaksana. Begitu juga dipertahankan secara berhemah dan berhikmah.
Kita dahagakan bahan penerbitan bersifat mendidik, di samping terhibur. Kita juga mahukan bahan tulisan yang meningkatkan kualiti diri dan maklumat, yang menjadikan mereka lebih insaf, sedar dan matang terhadap tanggungjawab bina-bangsa dan umat.
Seorang ketua atau pemimpin tentunya melihat silih gantinya tahun sebagai titik-renung dan fikir terhadap kesejahteraan pengikut dan rakyat.
Umat Islam memerlukan kepemimpinan telus dan tulus serta amanah. Tidak ada syarat lain yang boleh dijadikan landasan dalam memberi khidmat terbaik, melainkan dengan keinsafan yang cukup mendalam terhadap rintihan bangsa dan umat yang mahukan kepemimpinan teladan. Mereka mahukan pemimpin yang sentiasa mempunyai tekad membangunkan bangsa atas jalan bijaksana dan membangunkan umat atas amanah terhadap Tuhannya.
Pada tahun baru ini, kita harus memupuk kesedaran yang mendalam bahawa tidak ada jalan singkat untuk maju dan membangun, apalagi menjadi contoh kepada orang lain.
Jalan yang berliku di hadapan kita harus mampu dilalui dengan ilmu yang meningkat; teladan diri yang dapat dicontohi; ketelusan terhadap amanah dan ketulusan dalam melaksanakan tanggungjawab. Mereka hendaklah sentiasa meletakkan kepentingan bangsa dan umat mengatasi kepentingan peribadi dan kelompok berpandukan keredaan Allah dan teladan Rasulullah.
Sumber Asal :
Sudut Agama | Berita Harian
Oleh Prof Dr Sidek Baba
Pahala Berganda Solat di 3 Masjid
Dalam Islam ada tiga masjid yang mempunyai kelebihan berbanding masjid lain. Hal ini seperti sabda Nabi Muhammad s.a.w bermaksud :
Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid kecuali (untuk pergi) ketiga-tiga masjid (yang berikut) : Masjidil Haram (di Makkah), dan masjid Rasulullah s.a.w (di Madinah) dan Masjid al-Aqsa (di Baitulmaqdis).” (Hadis riwayat Bukhari)
Umat Islam yang ingin berziarah ke luar negara untuk beribadat kepada Allah s.w.t tidak perlu bersusah payah ke tempat lain, selain berziarah ke Tanah Suci, terutama untuk mengerjakan ibadat haji dan umrah.
Tiga masjid yang mempunyai fadilat besar apabila mengerjakan ibadat sembahyang dalamnya adalah :
1. |
Masjidil Haram di Makkah |
|
2. |
Masjid Nabawi di Madinah |
|
3. |
Masjidil al-Aqsa di Baitulmaqdis |
Antara fadilatnya adalah:
| » |
Kelebihan Masjidil Haram adalah mereka yang bersembahyang dalamnya akan mendapat 100,000 (lebih afdal daripada) sembahyang di tempat lain. Dalamnya terletak Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam. |
| » |
Kelebihan Masjid Nabawi pula adalah mereka yang bersembahyang dalamnya akan mendapat 1,000 (lebih afdal daripada) sembahyang di tempat lain. Dalamnya ada makam Nabi dan sebagai sebuah taman daripada taman syurga. |
| » |
Kelebihan Masjid al-Aqsa pula adalah mereka yang bersembahyang dalamnya akan mendapat 500 (lebih afdal daripada) sembahyang di tempat lain. |
Keistimewaannya adalah ia masjid Nabi yang terdahulu dan tempat Israk dan Mikrajnya.
Nabi menggalakkan umat Islam untuk menziarahi ketiga-tiga masjid yang bersejarah iaitu Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa.
Di samping itu, Baginda s.a.w menggalakkan umat Islam sama ada yang menetap di Makkah dan Madinah atau yang datang dari seluruh dunia untuk mengerjakan ibadat haji atau umrah, mengerjakan sembahyang sebanyak-banyak yang dapat di kedua-dua masjid mulia itu bagi mendapat pahala berganda.
Dalam sebuah hadis lagi ada menerangkan secara khusus kelebihan orang yang mengerjakan sembahyang di masjid Nabi s.a.w sebanyak 40 waktu berturut-turut.
Daripada Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: “Sesiapa sembahyang di masjidku sebanyak 40 sembahyang (dengan syarat) tidak ketinggalan dalam satu sembahyang (waktu) pun, nescaya akan ditulis baginya kelepasan daripada api neraka, dan kelepasan daripada azab seksa dan (ia juga akan bersih) daripada sifat munafik.”
Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w mengakui bahawa Masjid Quba' adalah sebuah masjid yang dikasihinya. Baginda s.a.w kerap menziarahi serta sembahyang dalamnya.
Abdullah bin Omar meriwayatkan adalah Nabi s.a.w selalu berziarah ke Masjid Quba'. Satu riwayat lagi menyatakan Rasulullah s.a.w berziarah ke Masjid Quba' setiap Sabtu, kadang-kadang menunggang unta dan berjalan kaki serta menunaikan sembahyang sunat dua rakaat dalamnya.
Usaid bin Zahir pula meriwayatkan sebuah hadis bermaksud: “Satu sembahyang dalam Masjid Quba' diberi pahala seperti menunaikan satu ibadat umrah.”
Sumber Asal :
Sudut Agama | Berita Harian
Perbezaan pengiraan takwim Islam, Kristian
Pengiraan takwim Islam berlandaskan pergerakan dan kedudukan bulan, berbeza dengan pengiraan sistem AD dan CE yang melihat kepada kedudukan dan pergerakan matahari.. Masyarakat Islam kita hari ini, terutamanya generasi muda sering terikut-ikut budaya Barat ketika menyambut tahun baru. Mereka sepatutnya lebih mengutamakan sambutan 1 Muharram.
Perkembangan takwim banyak berhubung kait dengan faktor keagamaan dan sains. Dalam hal ini, ada dua cara pengiraan takwim, iaitu dengan menggunakan matahari (syamsiah atau solar) dan bulan (qamariah atau lunar).
Berkenaan penetapan takwim, Allah berfirman yang membawa maksud: "Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya." (Surah Yunus, ayat 5)
Secara umumnya, orang Rom mempopularkan penggunaan takwim solar dan pada peringkat awal, penggunaan takwim dikira bermula daripada masa bandar Rom diasaskan.
Tarikh yang digunakan ditanda dengan perkataan Rumawi iaitu ab urbe condita (auc) yang bermaksud “dari tarikh pengasasan bandar”. Andai kata tarikh ini masih dipakai hari ini, kita sekarang berada pada tahun 2757 auc.
Apabila Julius Caesar menawan Mesir pada tahun 48 sebelum Masihi, beliau memperkenalkan apa yang dipanggil takwim solar Julian (bersempena dengan namanya) pada tahun 709 auc atau tahun 46 sebelum Masihi.
Takwim ini dikatakan diperkenalkan setelah Julius Caesar meminta seorang ahli falak bernama Sosigenes untuk membuat perubahan kepada takwim yang sedia ada pada ketika itu.
Takwim baru ini mempunyai 12 bulan dalam setahun dengan bilangan hari sebanyak 365 hari dengan tambahan sehari bagi setiap empat tahun.
Namun begitu, sejarah merekodkan bahawa kesilapan berlaku dalam pengiraan takwim Julian ini apabila tambahan satu hari pada setiap empat tahun tidak dilakukan, sebaliknya tambahan ini dilakukan pada setiap tiga tahun.
Ini berlaku antara tahun 43 sebelum Masihi sehingga tahun 10 sebelum Masihi.
Augustus Caesar yang menggantikan Julius Caesar sebagai pemerintah Empayar Rom mengarahkan supaya pengiraan tahun lompat ini dihentikan dan hanya disambung pada tahun empat selepas Masihi.
Augustus Caesar juga membuat beberapa perubahan kepada jumlah hari dalam sebulan. Pada asalnya, dikatakan bulan Februari mempunyai 29 hari dan 30 hari bagi tahun lompat.
Februari kehilangan satu hari kerana pada satu ketika, dua daripada bulan dalam takwim Julian dinamakan Julai (sempena Julius Caesar) dan Ogos (sempena Augustus Caesar).
Pada asalnya Ogos hanya mempunyai 30 hari, namun Augustus Caesar menganggap dirinya sama hebat jika tidak lebih hebat daripada Julius Caesar, maka beliau telah memerintahkan supaya bulan Ogos ditambah satu hari. Ini menjadikan jumlah hari dalam bulan Ogos sebanyak 31 sama seperti bulan Julai.
Kesan pembesaran Empayar Rom menyaksikan penyebaran penggunaan takwim Julian yang kemudian turut diterima pakai gereja Kristian.
Pada tahun 527 Masihi, seorang paderi Rom bernama Dionysius Exiguus memperkenalkan sistem pengiraan takwim yang diberi nama Anno Domini atau AD (yang memulakan tarikh 1 AD sempena kelahiran Isa al-Masih). Orang Islam menggelarkan pengiraan ini sebagai al-Masihiah atau Masihi.
Menariknya, berlaku kekeliruan dengan tarikh lahirnya Nabi Isa apabila Dionysius Exiguus menyatakan bahawa Nabi Isa lahir pada tahun 754 auc tetapi ramai yang beranggapan bahawa kiraan Exuguus tidak tepat dan mempunyai ralat sebanyak beberapa tahun.
Jika ditinjau panjang purata setahun bagi takwim Julian ialah 365.25 hari dengan satu hari ditambah setiap empat tahun, ini jauh berbeza dengan panjang sebenar bagi setahun.
Namun demikian, di kalangan ahli astronomi sendiri, panjang sebenar tempoh satu tahun dipertikaikan.
Pendapat popular berpegang kepada purata tahun tropika iaitu 365.2422 hari dalam setahun manakala satu lagi pendapat mengatakan bahawa panjang purata setahun ialah 365.2424 hari.
Beza nilai ini ialah masing-masing 0.0078 hari (11 minit 13.8 saat) dan 0.0076 hari (10 minit 56.4 saat).
Akibatnya setiap 131 tahun, takwim Julian ini akan berganjak menyebabkan ia tidak lagi selari dengan perubahan musim solstis dan ekuinoks yang merujuk kepada kedudukan matahari dengan bumi dan ini menjadi sumber pengiraan yang penting bagi hari-hari kebesaran Kristian.
Menjelang abad ke-16, tarikh Hari Easter yang sepatutnya berlaku semasa Ekuinoks Musim Bunga telah memasuki musim panas.
Bagi mengatasi masalah ini, Pope Paul III mendapatkan beberapa ahli astronomi seperti Christopher Clavius untuk mencari penyelesaian kepada keadaan gawat itu dan kajian dilakukan sehinggalah Gregory XIII menjadi Pope Gereja Roman Katolik.
Beberapa cadangan dikemukakan dan Gregory XIII memilih cadangan Clavius. Pada 24 Februari 1582, beliau memperkenalkan beberapa perubahan kepada pengiraan takwim dan ini dikenali sebagai "Takwim Gregorian".
Perubahan yang diperkenalkan adalah seperti berikut:
l Sebanyak 10 hari ditolak daripada takwim yang dipakai pada ketika itu menjadikan hari yang menyusul selepas Khamis, 4 Oktober 1582 sebagai Jumaat 15 Oktober, 1582 (5 Oktober 1582 jika menurut kiraan Julian).
l Bagi pengiraan tahun lompat Julian, tahun itu mestilah boleh dibahagi dengan angka 4. Dalam perubahan yang diperkenalkan melalui takwim Gregorian, sesuatu tahun lompat itu hanya dikira jika sama ada boleh dibahagi dengan 400.
Oleh itu, setiap tahun yang boleh dibahagi dengan 4 ialah tahun lompat melainkan jika boleh dibahagi dengan 100 dan tidak dengan 400.
Ini menjadikan tahun-tahun 1600 dan 2000 sebagai tahun lompat tetapi tidak demikian bagi tahun-tahun 1700, 1800, 1900 dan 2100.
l Hari pertama tahun baru ditetapkan pada 1 Januari setiap tahun.
l Hari bagi tahun lompat ditetapkan pada 29 Februari.
Penggunaan takwim berkenaantersebar serta-merta ke negara Roman Katolik seperti Sepanyol, Itali, Portugal, Poland, Perancis dan Luxembourg dan secara berperingkat digunakan di negara seperti Jerman, Belgium, Switzerland, Belanda dan Hungary.
Britain hanya menggunakan takwim ini dalam tahun 1752 dengan perubahan pada tarikh dilakukan pada Khamis 14 September 1752 (tarikh ini ditukarkan daripada 2 September 1752).
Koloni British di seluruh dunia, termasuk Tanah Melayu, turut melakukan perubahan itu.
Akibat daripada penggunaan takwim Gregorian ini, terdapat dua tarikh bagi satu hari yang sama antara abad ke-16 dan ke-18, bergantung kepada takwim mana yang digunakan.
Mengikut konvensyen, tarikh yang menggunakan takwim Julian ditandakan dengan “OS” yakni old style manakala tarikh yang menggunakan takwim Gregorian ditandakan dengan “NS” atau new style.
Negara lain di dalam dunia turut menggunakan takwim Gregorian ini secara berperingkat misalnya Jepun (1873), Mesir (1875), Eropah Timur (antara 1912 dan 1919), Russia 1918) dan Turki (1927).
Ringkasan AD yang diterima pakai bagi pengiraan takwim Gregorian ialah ringkasan kepada “Anni Domini Nostri Jesu Christi” yang bermaksud “dalam tahun Tuhan Kami Jesus Christ.”
Takwim ini mempunyai konotasi kepada agama Kristain, oleh sebab itu mungkin menyebabkan rasa tidak senang hati di kalangan penganut Islam dan Yahudi khususnya, maka ringkasan AD diganti dengan CE iaitu “Christian Era” manakala BC (“Before Christ”) diganti dengan BCE (untuk Before Christian Era).
Namun demikian, di kalangan orang Islam di Malaysia dan rantau Melayu umumnya, ringkasan SM (sebelum Masihi) dan TM (tahun Masihi) lebih kerap digunakan.
Bagi penganut Kristian, sambutan tahun baru mempunyai konotasi keagamaan kerana tahun baru menandakan ulang tahun kelahiran al-Masih namun, kepada orang lain sambutan itu mempunyai konotasi yang berbeza.
Perubahan angka pada tahun hanya berlaku sekali setahun dan semua ini mempunyai kaitan dengan keadaan manusia itu sendiri.
Jika dilihat kepada sejarah, 2004 misalnya menyaksikan banyak pertumpahan darah dan tragedi yang berlaku di Iraq, Sudan, Russia, Thailand dan beberapa negara lain.
Bermulanya 2005 dilihat sebagai satu tanda harapan untuk memulakan kehidupan yang lebih baik tetapi yang menjadi persoalan sekarang, adakah wajar sambutan tahun baru disambut oleh orang Islam dengan pesta, hiburan dan hedonisme? Tiada salahnya menyambut ketibaan tahun baru jika niat yang disertakan adalah untuk membawa perubahan ke arah yang lebih baik.
Sudah tentulah berpesta dan bersuka-ria tanpa mengikut lunas syariat Islam yang dilarang dan ditegah.
Menurut pandangan Islam, peredaran masa ialah satu proses alam yang ditetapkan Allah bagi dunia ini.
Malah di dalam al-Quran banyak ayat yang diturunkan menegaskan pentingnya masa dalam kehidupan manusia.
Jika ditinjau secara logik, 1 Januari hanyalah satu hari dalam setahun yang tidak mempunyai apa-apa signifikan besar kepada kehidupan manusia melainkan hanya menjadi tanda bermulanya era baru berasaskan pengiraan takwim solar yang mempunyai asal-usulnya kepada agama Kristian.
Islam mempunyai kiraan takwim sendiri apabila Saidina Umar al-Khattab menetapkan bermulanya peristiwa hijrah Rasulullah sebagai tahun bermulanya pengiraan takwim Islam.
Pengiraan takwim Islam berlandaskan pergerakan dan kedudukan bulan berbeza dengan pengiraan sistem AD dan CE yang melihat kepada kedudukan dan pergerakan matahari.
Orang Kristian menggunakan pengiraan berdasarkan solar kerana hari kebesarannya banyak membabitkan kedudukan matahari dan pergerakan musim seperti Hari Easter dan seumpamanya.
Golongan muda nampaknya begitu ghairah dengan sambutan tahun baru tetapi sayangnya cara berseronok itu tidak selari dengan kehendak agama Islam.
Sambutan tahun baru perlu dilakukan dengan hasrat untuk berubah ke satu keadaan yang lebih baik malangnya apa yang kita lihat ialah seolah-olah budaya hedonisme yang menerap masuk membawa bersamanya keruntuhan moral dan akhlak.
Satu perkara yang mungkin wajar direnungkan ialah mengapa orang Islam begitu beria meraikan 1 Januari dan pada waktu yang sama seperti tidak mempedulikan 1 Muharam?
Sepatutnya konsep hijrah yang dibawa oleh perayaan Maal Hijrah perlu dihayati oleh setiap umat Islam. Adakah Maal Hijrah setiap tahun hanyalah satu cuti umum dalam kalendar tahunan kita semata-mata?
Sumber Asal :
Shaikh Mohd Salleh
Felo Kanan Pusat Sains dan Teknologi di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). |