Barangsiapa yang menyukai bertemu dengan Allah, maka Allah menyukai untuk bertemu dengannya, dan barangsiap yang benci bertemu dengan Allah maka Allah benci bertemu dengannya
Apabila disebut "Perubatan Islam" ramai orang tertanya–tanya apakah sebenarnya maksud perkataan itu. Ada pula yang cukup berpuas hati dengan fahaman mereka yang tersendiri. Ramai yang tidak menyedari adanya sumbangan–sumbangan penting oleh tokoh–tokoh pengamal perubatan Islam. Masyarakat barat pula mendakwa bahawa perubatan Islam Arab hanyalah tiruan dari tamadun Yunani purba semata–mata, dan peranan orang islam pada masa itu hanyalah sebagai pengawet atau penyimpan ilmu–ilmu purba ini untuk di serahkan kepadamasyarakat barat untuk perkembangan selanjutnya.
Karangan pendek tentang Perubatan Islam ini cuba mengambarkan sejarah perkembangan perubatan Islam dengan ringkas, ciri–ciri perubatan Islam berbanding dengan perubatan moden dan sumbangan perubatan Islam.
Asal Usul Perubatan Islam
Perubatan Islam muncul selepas kerasulan Nabi Muhammad s.a.w dan seterusnya berkembang sepanjang abad–abad ketamadunan Islam itu sendiri. Kategori perubatan ini dikenali juga sebagai "Perubatan Arab".
Perubatan ini sebenarnya berkembang di bawah naungan ketamadunan Islam dan merupakan bahagian yang penting dalam sejarah tamadun Islam (zaman kegemilangan empayar Islam pada abad ke 8M–11M) dan perubatan ini juga turut malap ketika matahari tamadun Islam mula terbenam dan luput dari alam ini. Sebelum kedatangan islam orang-orang Arab tidak mempunyai bidang perubatannya sendiri. Apabila mereka disatukan di bawah pemerintahan Islam mereka telah menjadi kuat.
Kuasa Islam terus bertapak di tebing Sungai Indus sehingga ke pergunungan Caucacus, keseluruh Afrika Utara dan Sepanyol Selatan. Baghdad telah menjadi pusat pengajian yang cemerlang. Selepas itu pula akademik–akademik mula di tubuh di Samarkand, Isfahan dan Damsyik.
Kurikulumnya terdiri daripada semua displin sains dan falsafah ajaran keagamaan serta sains perubatan. Buku–buku yang digunakan untuk pengajian perubatan pada mulanya berupa terjemahan dari bahasa Yunani.
Pada tahun 765M, Khalifah Harun Al Rasyid (763–809M) mula menubuh dan mengembangkan pusat pengajian di Baghdad. Doktor–doktor mazhab Nestorian dan Sabaen (pemuja bintang, ahli falak, dan matematik di Harran Mesopotamia) diterima dengan toleransi oleh Islam dan mereka menterjemah buku–buku teks perubatan terutamanya karya Galen.
Kecenderungan umat Islam terhadap ilmu perubatan telah mencipta suatu sejarah baru dalam perkembangan perubatan berasaskan pengenalan yang tepat tentang gejala–gejala "disisi pesakit". Dengan ini ilmu perubatan mula berkembang semula di bawah naungan Islam mengikut ajaran Hippocrates yang berasaskan bahawa pengalaman dan logik itu jauh lebih penting dari apa yang terdapat sebelumnya melalui cara dogmatik dan spekulasi.