Peluasan Penggunaan Tulisan Jawi Sebagai Lambang dan Hiasan
كونبينشين توليسن جاوي > Keputusan-keputusan Dan Usul-usul Konvensyen Tulisan Jawi>2.0- Menerima usul-usul yang terkandung di dalam kertas kerja kedua yang bertajuk

Peluasan Penggunaan Tulisan Jawi Sebagai Lambang dan Hiasan

2.0- Menerima usul-usul yang terkandung di dalam kertas kerja kedua yang bertajuk:

'Peluasan Penggunaan Tulisan Jawi Sebagai Lambang dan Hiasan'.

Oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.

Usul-usul tersebut adalah seperti berikut:

2.1- Tulisan jawi hendaklah dijadikan salah satu asas keperibadian bangsa dengan cara menetapkan taraf tulisan tersebut iaitu dengan mengadakan akta atau undang-undang khas tentang tulisan jawi.

2.2- Pelaksanaan pengajaran tulisan jawi di sekolah hendaklah benar-benar terancang iaitu jawi hendaklah diberi masa yang cukup dalam matapelajaran Bahasa Malaysia, dan jawi hendaklah diajar kepada semua murid daripada pelbagai kaum.

2.3- Kementerian Pelajaran, khususnya Bahagian Pendidikan Guru dan Maktab-maktab Perguruan hendaklah memastikan bahawa pensyarah yang mengajarkan kurikulum tulisan jawi benar-benar menguasai sistem tulisan jawi serta kaedah pengajaran jawi.

2.4- Masalah kekurangan guru yang mahir mengajarkan jawi di sekolah-sekolah hendaklah diatasi segera oleh Kementerian Pelajaran.

2.5- Kementerian Pelajaran hendaklah memanfaatkan tenaga mahir dalam bidang tulisan jawi yang sudah bersara daripada perkhidmatan kerajaan sebagai tenaga sambilan atau kontrak di institusi perguruan.

2.6- Kementerian Pelajaran perlu mengadakan kursus dalam perkhidmatan khusus tentang sistem dan kaedah pengajaran jawi kepada guru dan pensyarah maktab yang kurang mahir dalam jawi.

2.7- Kementerian Pelajaran didesak memulihkan peranan Maktab Perguruan Bahasa menurut tujuan asal penubuhannya, iaitu sebagai pusat bahasa, supaya dengan demikian Jawi sebagai satu bidang pengajaran bahasa dapat turut dipesatkan.

2.8- Para penerbit hendaklah memperbanyak bahan bacaan dalam tulisan jawi supaya peranan tulisan jawi dapat ditingkatkan dan diperluas, di samping membantu generasi muda membiasakan diri dengan sistem tulisan jawi dan selanjutnya menguasainya dengan baik.

2.9- Dewan Bahasa hendaklah memainkan peranan menerbitkan buku bacaan jawi.

2.10- Kamus umum rumi-jawi perlu disusun segera.

2.11- Kerajaan hendaklah melipatgandakan usaha penyebaran bahan bacaan dalam tulisan jawi melalui prasarana yang sedia ada, seperti perpustakaan bergerak, perpustakaan daerah dan sebagainya.

2.12- Kerajaan hendaklah mengadakan satu skim subsidi kepada penerbit bahan bacaan dalam tulisan jawi sebagai perangsang.

2.13- Institut Dewan, yang mempunyai kepakaran jawi hendaklah sentiasa memberikan bantuan nasihat dan teknik serta sedia memberikan teguran kepada pihak-pihak pelaksana tulisan jawi supaya mutu tulisan jawi dapat dipertahankan.

2.14- Jabatan Kerajaan yang bertanggungjawab dalam hal penamaan syarikat dan peletakan papan tanda hendaklah mengawasi penggunaan tulisan jawi di tempat awam untuk mempertahankan sistem dan seni penulisannya.

2.15- Kerajaan mestilah menyertakan tulisan jawi pada lambang-lambang penting negara seperti pada matawang dan sebagainya, sebagai tulisan utama.

2.16- Media penyiaran kerajaan (RTM) hendaklah memasukkan tulisan jawi pada tempat-tempat yang sesuai, khususnya di televisyen.

2.17- Kerajaan hendaklah memberikan pertimbangan istimewa kepada calon yang menguasai jawi dalam pelantikan ke jawatan kerajaan dan memberikan insentif kepada jurutaip jawi dalam bentuk elaun khas.

2.18- Ketua Setiausaha Negara hendaklah menarik balik pekeliling yang melarang penggunaan jawi pada bangunan dan sebagainya.

2.19- Kerajaan Negeri Terengganu disarankan menggiatkan pelaksanaan jawi supaya dapat menjadi perintis dan contoh bagi negeri-negeri lain dalam melaksanakan penggunaan jawi.

2.20- Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Kementerian Penerangan hendaklah menganjurkan peraduan khat dan tulisan jawi secara meluas untuk peringkat masyarakat umum sementara Kementerian Pelajaran menganjurkan peraduan tersebut di peringkat sekolah.

2.21- Kerajaan perlu mengadakan Hadiah Sastera dalam tulisan jawi yang sama nilainya dengan Hadiah Sastera dalam tulisan rumi.

2.22- Nama tulisan jawi untuk sementara waktu dikekalkan, dengan pengertian bahawa jawi meliputi alam Nusantara, bukan untuk masyarakat Jawa.

Sebelum Berikut