Ciri-ciri Utama Dalam Sistem Ejaan Jawi Yang Disempurnakan
كونبينشين توليسن جاوي > Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan (1986)>3. Ciri-ciri Utama Dalam Sistem Ejaan Jawi Yang Disempurnakan (1986)

Ciri-ciri Utama Dalam Sistem Ejaan Jawi Yang Disempurnakan

3. Ciri-ciri Utama Dalam Sistem Ejaan Jawi yang Disempurnakan (1986).

3.1- Dasar penyempurnaan ejaan jawi: Dasar penyempurnaan ejaan Jawi tahun 1986 cukup jelas, iaitu mewujudkan sistem ejaan Jawi untuk keperluan masa kini dan keperluan masa depan dengan berlandaskan sistem ejaan Jawi yang sedang digunakan. Dengan itu, landasan yang digunakan bagi usaha penyempurnaan ejaan Jawi ialah Jawi Za'ba (1941, 1949). Proses penyempurnaan terhadap Jawi Za'ba itu dilakukan dengan lima kegiatan atau perkara (13) , iaitu (i) mengekalkan yang sudah kemas, (ii) melengkapkan yang kurang, (iii) mengadakan yang tiada, (iv) menjelaskan yang kabur, dan (v) mengemaskan yang longgar.

3.2- Dengan landasan yang demikian, rumusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Ejaan Jawi DBP sebagaimana yang diterima oleh Konvensyen Tulisan Jawi (1984) itu "bukanlah menghasilkan sesuatu sistem ejaan Jawi yang baru yang sama sekali menyimpang daripada sistem ejaan sekarang, yakni yang disusun oleh Almarhum Zainal Abidin bin Ahmad (Za'ba). Sebaliknya yang dihasilkan hanyalah Sistem Ejaan Jawi Za'ba yang diperkemas dan dinyatakan semula dengan perkataan baru". (Kertas Kerja 1984, hlm. 1).

3.3- Sebagai kesimpulannya, apabila diteliti PEJYD dengan saksama, ternyatalah kepada kita dua kumpulan maklumat yang baru di dalamnya, iaitu maklumat yang tidak terdapat dalam Jawi Za'ba. Maklumat yang dimaksudkan itu ialah kaedah atau aturan yang berupa "pembaikan" dan kaedah atau aturan yang berupa "tambahan" kepada Jawi Za'ba. Kedua-dua aspek "pembaikan" dan "tambahan" ini disifatkan sebagai kebaikan-kebaikan PEJYD yang disimpulkan sebagai melebihi sistem ejaan lama.

3.4- Dalam kertas kerja ini, kami akan menampilkan kaedah atau aturan yang berupa "pembaikan" dan "tambahan" yang menjadikan Jawi Za'ba itu lebih sempurna sebagaimana yang termaktub dalam PEJYD . Perkara ini dilihat dari sudut sistem huruf sebagai sistem bagi lambang bunyi atau lambang fonem, dan bukan huruf sebagai ejaan atau tulisan semata-mata. Contoh-contoh ejaan lama yang disenaraikan di sini boleh berupa ejaan Jawi Za'ba atau ejaan yang tidak disenaraikan dalam Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi) Za'ba tahun 1949 tetapi digunakan sebagai ejaan Jawi Lama.

Sebelum Berikut