Pengejaan Kata Dasar
كونبينشين توليسن جاوي > Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan (1986)>5. Pengejaan Kata Dasar

Pengejaan Kata Dasar

5. Pengejaan Kata Dasar:

PEJYD menyelaraskan dan mengurangkan penggunaan aturan yang berbagai-bagai atau yang banyak bagi mengeja kata-kata dalam sesuatu kategori pola ejaan yang sama yang terdapat dalam Jawi Za'ba/Lama.

5.1- Ejaan Kata Ekasuku:

PEJYD memperkenalkan aturan ejaan kata ekasuku yang berpola KVK yang mudah berbanding dengan ejaan Jawi Za'ba/Lama.

Perincian:

i) Semua kata ekasuku tertutup dengan vokal [a] dieja dengan huruf alif, iaitu bagi semua kata Melayu Jati dan kata pinjaman daripada bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain, kecuali daripada bahasa Arab. Ini menyelaraskan aturan Jawi Za'ba/Lama. Dalam Ejaan Jawi Lama, ada kata yang menggunakan alif, ada kata yang tanpa alif. Contoh: Wang واک , dan دان , jam جام , dam دام (sejenis permainan), kad كاد , plat ڤلات .

ii) Semua kata ekasuku yang berasal daripada bahasa Arab dikekalkan bentuknya yang asal: Sama ada dengan huruf vokal atau tanpa huruf vokal. Contoh: Sah صح , dam دم , mad مد , khas خاص , hal حال , bab باب .

Dengan ini, berertilah bahawa semua kata ekasuku tertutup ditulis dengan huruf vokal, kecuali bagi beberapa kata tertentu daripada bahasa Arab dan beberapa kata Melayu ejaan klasik sahaja (15) . Aturan ini diperlukan kerana sudah banyak terdapat kata ekasuku daripada bahasa asing, terutama daripada bahasa Inggeris, yang dipinjam ke dalam bahasa Melayu (16) . Kata-kata tersebut perlu diperlihatkan bentuk visualnya dalam ejaan Jawi yang seharusnya sejajar cara pelambangan vokalnya dengan bentuk visual dalam ejaan rumi.


5.2- Ejaan Kata Dasar Dua Suku Kata:

Perkara pokok yang menarik perhatian kita dalam sistem ejaan Jawi ialah tentang penggunaan huruf vokal alif, wau dan ya dalam kata dasar dua suku kata, tertutup atau terbuka, yang pelbagai ragamnya dalam ejaan Za'ba/Lama. Yang menjadi masalah pokok yang memperlihatkan ketidakseragaman itu ialah kata yang mengandungi vokal [a]; ada yang menggunakan huruf alif, ada yang tidak. Walaupun, jika diteliti dengan saksama, Jawi Za'ba/Lama itu bersistem atau berperaturan, tetapi sistem atau peraturan itu terlalu banyak ragamnya dan banyak pula mengandungi kekecualian yang berbagai-bagai. Ini semua menjadi beban bagi ingatan dalam proses pembelajaran Jawi dan, akibatnya, pengguna yang tidak peka kerap membuat kesalahan mengeja huruf vokal tersebut.

Sistem yang dirumuskan dalam PEJYD memperlihatkan aturan yang lebih sederhana bentuknya, lebih seragam sifatnya, lebih mudah dimengerti, dan lebih senang menulisnya atau menggunakannya. Kami akan mempamerkan beberapa pembaikan atau penambahan yang dilakukan terhadap ejaan Jawi Za'ba/Lama itu sekadarnya, iaitu berdasarkan jenis vokal (keenam-enam vokal) di kedua-dua suku kata yang terlibat, dan beberapa kriteria yang lain.

5.2.1- Ejaan Kata Dasar Berpola KV-KV

Dalam PEJYD dirumuskan lima aturan pengejaan kata dasar yang berpola KV-KV ini. Perincian:

i) Apabila KV-KV itu [Ka-Ka], huruf alif digunakan di kedua-dua suku kata sekiranya suku kata kedua bermula dengan huruf dal, ra, lam, wau atau nga. Ini sama dengan Jawi Za'ba, iaitu ejaan menurut kaedah dal-ra-lam-wau-nga.

ii) Apabila KV-KV itu [Ka-Ka] juga, huruf alif digunakan di suku kata pertama sahaja sekiranya suku kata kedua tidak bermula dengan huruf konsonan dal, ra, lam, wau atau nga. Ini sama dengan Jawi Za'ba, iaitu lanjutan daripada kaedah dal-ra-lam-wau-nga.

iii) Apabila KV-KV itu bukan [Ka-Ka] (iaitu gabungan vokal berpola [a-i], [a-u], [i-a], [i-i], [i-u], [e-a], [e-o], [u-a], [u-i], [u-u], [o-a], [o-e] atau [o-o]), maka huruf vokal (alif, wau atau ya) digunakan dikedua-dua suku kata terbuka itu. Ini menyelaraskan dan mempermudah pelbagai aturan yang terdapat dalam Jawi Za'ba/Lama.

iv) Apabila KV-KV itu [KV-ka] atau [KV-ga], iaitu suku kata kedua berupa konsonan kaf atau ga, maka huruf vokal (alif, wau atau ya) digunakan di suku kata yang pertama sahaja. Ini sama dengan ejaan Jawi Za'ba/Lama, iaitu ejaan menurut kaedah ka-ga.

v) Apabila KV-KV itu terdiri daripada suku kata pertama dengan vokal pepet, maka huruf vokal (alif, wau atau ya) digunakan di suku kata kedua sahaja. Ini sama dengan ejaan Za'ba/Lama.

5.2.2- Ejaan Kata Dasar Berpola KVK-KV:

Dalam PEJYD dirumuskan lima aturan pengejaan kata dasar yang berpola KVK-KV. Perincian:

i) Apabila KVK-KV itu mengandungi vokal pepet di suku kata pertama, maka huruf vokal (alif, wau atau ya) digunakan di suku kata kedua sahaja. Ini menyelaraskan atau menyeragamkan aturan ejaan Jawi Za'ba/Lama.

ii) Apabila KVK-KV itu [KaK-ka] atau [KaK-ga] (iaitu suku kata kedua mengandungi huruf konsonan kaf atau ga), maka huruf vokal tidak digunakan di kedua-dua suku kata. Ini menyeragamkan ejaan Jawi Lama.

iii) Apabila KVK-KV itu bukan [KaK-ka] atau [KaK-ga] (iaitu gabungan vokal berpola [a-a], [a-i] atau [a-u] dengan konsonan di suku kata kedua bukan kaf atau ga), maka huruf vokal (alif, wau atau ya) digunakan di suku kata kedua sahaja. Ini menyeragamkan ejaan Jawi Lama.

iv) Apabila KVK-KV itu [KVK-ka] atau [KVK-ga] (iaitu suku kata kedua mengandungi konsonan kaf atau ga) dengan vokal [i], [e], [u] atau [o] di suku kata pertama, maka huruf vokal (wau atau ya) digunakan di suku kata pertama sahaja. Ini sama dengan Jawi Za'ba/Lama.

v) Apabila KVK-KV itu bukan [KVK-ka] atau [KVK-ga] (iaitu gabungan vokal berpola [i-a], [i-i], [i-u], [e-a], [e-o], [u-a], [u-i], [u-u], [o-a], [o-e] atau [o-o]), maka huruf vokal (alif, wau atau ya) digunakan di kedua-dua suku kata. Ini menyelaraskan dan mempermudah pelbagai aturan yang terdapat dalam Jawi Za'ba/Lama.

5.2.3- Ejaan Kata Dasar Berpola V-VK, V-KVK, KV-VK dan KV-KVK:

Sejumlah enam aturan pengejaan kata dasar yang berpola KV-KVK dirumuskan dalam PEJYD . Perincian:

i) Bagi pola V-KVK, huruf vokal (alif, alif-wau atau alif-ya) digunakan di suku kata pertama sahaja sebagai pemula kata. Ini sama dengan ejaan Jawi Za'ba.

ii) Apabila KV-KVK mengandungi vokal [a] di suku kata kedua, huruf vokal digunakan di suku kata pertama sahaja sekiranya vokal yang pertama bukan pepet. Ini sama dengan ejaan Jawi Za'ba.

iii) Apabila KV-KVK itu [Ke-KaK], huruf vokal (alif) tidak digunakan di kedua-dua suku kata. Ini sama dengan Jawi Za'ba.

iv) Apabila KV-KVK mengandungi vokal pepet di suku kata pertama, huruf vokal (wau atau ya) digunakan di suku kata kedua sahaja sekiranya vokal di suku kata kedua ini bukan [a]. Ini sama dengan Jawi Za'ba.

v) Huruf vokal digunakan di kedua-dua suku kata KV-KVK bagi pola yang berikut: [a-i], [a-u], [e-e], [e-o], [i-i], [i-u], [o-e], [o-o], [u-i] dan [u-u]. Ini menyelaraskan beberapa pengejaan kata dalam Jawi Za'ba/Lama.

vi) Huruf vokal digunakan di kedua-dua suku kata yang berpola KV-VK (iaitu urutan dua vokal di tengah kata dasar).

5.2.4- Ejaan Kata Dasar Berpola VK-KVK dan KVK-KVK:

Dalam PEJYD dirumuskan sejumlah empat aturan pengejaan kata dasar yang berpola VK-KVK dan KVK-KVK. Perincian:

i) Huruf vokal tidak digunakan di kedua-dua suku KVK-KVK apabila kedua-duanya mengandungi sama ada vokal [a] atau pepet. Ini sama dengan Jawi Za'ba.

ii) Apabila vokal [a] atau pepet terdapat di suku kata kedua sahaja, huruf vokal (wau atau ya) hanya digunakan di suku kata pertama (iaitu pola [i-a], [e-a], [u-a] dan [o-a]).

iii) Apabila vokal [a] atau pepet terdapat di suku kata pertama sahaja, huruf vokal (wau atau ya) hanya digunakan di suku kata kedua (iaitu pola [a-i], [a-e], [a-u], [a-o], [pepet-i] dan [pepet-u]).

iv) Apabila kata yang berpola KVK-KVK tidak mengandungi vokal [a] atau pepet, maka huruf vokal (wau atau ya) digunakan di kedua-dua suku kata tertutup itu (iaitu pola [e-e], [e-o], [o-e], [o-o], [i-i], [i-u], [u-i] dan [u-u]).

v) Bagi pola VK-KVK, huruf vokal (alif, alif-wau atau alif-ya) digunakan di suku kata pertama sahaja sebagai pembuka kata sekiranya suku kata kedua mengandungi vokal [a] atau pepet. Ini menyelaraskan pengejaan beberapa kata dalam Jawi Za'ba.

vi) Huruf vokal digunakan di kedua-dua suku kata VK-KVK sekiranya kata tersebut tidak mengandungi vokal [a] atau pepet. Ini menyelaraskan pengejaan beberapa kata dalam Jawi Za'ba.


5.3- Penghindaran Bentuk Homograf:

Pengejaan kata dasar dwisuku dalam PEJYD telah menampilkan dua rumusan yang memberi manfaat kepada sistem ejaan Jawi ini dan penggunanya dari segi mengurangkan bentuk homograf dengan tujuan untuk menghindarkan kekeliruan bacaan dan pengenalan makna kata. Dua rumusan tersebut ialah (i) penghapusan homograf yang mempertentangkan vokal [a] dengan pepet; dan (ii) penghapusan homograf yang mempertentangkan vokal [i] atau [e] dengan diftong [ai], serta yang mempertentangkan vokal [u] atau [o] dengan diftong [au].

i) Untuk penjelasan tentang diftong, lihat bahagian Pelambangan Diftong. Homograf dihapuskan bagi membezakan bunyi diftong [ai] dan [au] dengan bunyi vokal [i] atau [e] dan [u] atau [o]. Ditetapkan diftong dieja dengan alif-ya [ai] dan alif-wau [au] yang dibezakan daripada vokal ya [i] atau [e] dan wau [u] atau [o]. Contohnya: Homograf yang dieja گولي bagi guli dan gulai dieja semula menjadi:

گولي = guli

گولاي = gulai

ii) Homograf dikurangkan dengan cara membezakan ejaan bagi kata yang berlainan maknanya, iaitu khusus bagi kasus homograf yang mempertentangkan vokal [a] dengan vokal pepet. Contohnya: Homograf لنتيق bagi lantik dan lentik dieja semula menjadi:

لانتيق = lantik

لنتيق = lentik

Pengemasan yang dibuat ialah dengan menggunakan huruf alif sebagai lambang bagi vokal [a] di suku kata tertutup untuk membezakannya daripada vokal pepet yang tidak dilambangkan dengan huruf (17) .


5.4- Rumusan Pengejaan Kata Dasar Dwisuku:

Daripada perincian tentang aturan penulisan huruf vokal dalam kata dasar dua suku kata yang dipaparkan di atas itu dapatlah diringkaskan sistem pelambangan vokal dan penggunaan huruf vokal Jawi pada kata dasar dwisuku terbuka dan tertutup itu kepada kaedah yang berikut:

i) Vokal [a] dilambangkan dengan alif di semua suku kata terbuka, kecuali suku kata akhir dengan kaf atau ga, dan suku kata akhir terbuka menurut kaedah dal-ra-lam-wau-nga. Vokal [a] tidak dilambangkan dengan huruf di semua suku kata tertutup, kecuali apabila membuka kata atau membuka suku kata, dan dilambangkan dengan alif dalam suku kata tertutup untuk membezakannya daripada pepet bagi kasus homograf dalam ejaan Jawi Za'ba.

ii) Vokal pepet tidak dilambangkan dengan huruf di semua posisi tengah terbuka atau di suku kata tertutup. Vokal pepet hanya dilambangkan dengan alif apabila membuka kata, dan dilambangkan dengan ya tanpa titik apabila mengakhiri kata.

iii) Vokal [i], [e], [u] dan [o] perlu dilambangkan dengan huruf vokal di semua suku kata terbuka atau tertutup. Huruf yang digunakan ialah wau, ya, alif-wau, alif-ya atau alif-hamzah menurut kedudukan dan fungsi masing-masing.

iv) Kaedah-kaedah yang disebut pada (i) hingga (iii) di atas merupakan rumusan perkaedahan dalam PEJYD yang menggantikan kepelbagaian aturan dan kaedah yang terdapat dalam ejaan Jawi Za'ba. Rumusan ini dengan sendirinya melupuskan aturan-aturan yang pelbagai dalam kaedah ejaan Jawi Lama itu. Dengan ini, tidaklah terpakai lagi aturan-aturan yang terbukti telah begitu banyak menjadikan sistem ejaan Jawi Lama lebih rumit dan membebankan ingatan. Antara kaedah lama yang dikekalkan dalam PEJYD ialah kaedah dal-lam-ra-wau-nga bagi pola [Ka-Ka] dan kaedah ka-ga bagi semua pola suku kata. Antara kaedah yang lupus itu termasuklah aturan-aturan (i) dal-ra-lam-wau-nga dengan ba, ta; (ii) dal-ra-lam-wau-nga dengan ra, sim, ya; (iii) pola KVr-KV dengan ta, ga, nun; dan KVm-KV dengan ba; (iv) pola Kur-KV dengan ba, jim; (v) pola Ker-KV dengan ta, jim, ba, ca; dan (vi) pola KuK-KuK menjadi [KK-KuK].


5.5- Ejaan Kata Dasar Tiga Suku Kata atau Lebih:

i) Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam PEJYD , kaedah pengejaan kata dasar tiga suku kata atau lebih tidak berbeza dengan kaedah dalam ejaan Jawi Za'ba/Lama. Kaedah yang digunakan ialah dengan menetapkan bahawa aturan penggunaan huruf vokal pada dua suku kata yang terakhir perlulah selaras dengan aturan bagi kata dasar dua suku kata. Penggunaan huruf pada suku kata yang lain harus terikat kepada ejaan yang telah ada.

ii) Yang perlu diperkemas ialah pengejaan semula beberapa kata tertentu supaya sesuai dengan keseluruhan sistem penggunaan huruf vokal bagi kata dasar dua suku kata. Bagi kasus tiga suku kata, buka semua mesti ditulis tanpa huruf vokal di suku kata pertama; pola [Ki-Ka-Ka] atau [Ku-Ka-Ka], sekadar contoh, lebih baik dieja semula dengan huruf ya atau wau di suku kata pertama (kecuali, semestinya, kata pinjaman daripada bahasa Arab).

Sebelum Berikut