Beberapa Pembaikan dan Penambahan Lagi
7. Beberapa Pembaikan dan Penambahan Lagi:
Dalam PEJYD terdapat beberapa aturan mengeja yang lain lagi yang bertujuan membaiki dan mengemaskan sistem ejaan Jawi Lama.
i) Dalam penulisan kata pinjaman daripada bahasa Inggeris, aturan pengejaan gugus konsonan diadakan yang bertujuan memudahkan pembacaan dan penyebutan, terutama istilah pinjaman daripada bahasa Inggeris. Gugus konsonan di akhir kata ditulis dengan memisahkan huruf yang bergugus itu. Contohnya: Teks تيك س .
ii) Pengejaan kata ulang diselaraskan menjadi dua cara supaya tidak salah baca, iaitu (i) menggunakan tanda angka dua bagi menulis ulangan keseluruhan kata, dan (ii) menggunakan tanda sempang (-) apabila mengulang sebahagian kata (18) .
iii) PEJYD memantapkan aturan ejaan kata pinjaman dan serapan daripada bahasa Arab yang dikategorikan kepada penggunaannya dalam konteks agama dan bukan agama. Ini sama dengan ejaan Jawi Za'ba. Perincian:
a) Kata-kata istilah agama Islam dieja seperti bentuk asalnya (dalam ejaan Arab).
b) Kata-kata serapan daripada bahasa Arab yang sudah lama digunakan sebagai kata umum dalam bahasa Melayu dieja seperti ejaan bahasa Melayu.
iv) Satu rumusan yang agak menarik perhatian kita dalam PEJYD ialah tentang penulisan huruf singkatan. Pedoman ini menetapkan penulisan singkatan dalam huruf Jawi yang didapati selaras dengan cara menulisnya dalam ejaan Rumi dari segi penggunaan tanda titik, tetapi singkatan yang digunakan ialah huruf-huruf dalam abjad Jawi, dan bukan nama huruf-huruf tersebut.
v) Ciri khusus dalam PEJYD ialah pengekalan aturan-aturan ejaan lama dan pengejaan beberapa kata yang sudah mantap penggunaannya. Kata-kata tersebut ialah kata-kata yang asalnya dieja menurut kaedah baris (19) .