Penyebaran Penggunaan Ejaan Jawi (PEJYD)
8. Penyebaran Penggunaan Ejaan Jawi ( PEJYD ):
8.1- PEJYD sudah disebarkan kepada masyarakat umum sejak tahun 1986 lagi. Penjelasan tentang sistem ini dibuat melalui tulisan-tulisan di dalam majalah-majalah keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka, dan ceramah yang diadakan untuk tujuan penyebaran. Akhbar Utusan Melayu juga turut menerbitkan tulisan yang menjelaskan PEJYD secara bersiri walaupun akhbar tersebut belum menggunakan sistem baru ini secara menyeluruh. Dewan Bahasa dan Pustaka terus menyebarkan maklumat tentang PEJYD ini apabila diperlukan oleh masyarakat.
8.2- Dewan Bahasa dan Pustaka tidak terlibat dengan perancangan dan kawalan pelaksanaan penggunaan PEJYD di sektor pendidikan kerana perkara ini terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri. Dewan Bahasa dan Pustaka juga bukanlah pihak yang secara tidak langsung bertanggungjawab melaksanakan penggunaan PEJYD dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah atau maktab perguruan.
8.3- Pada umumnya, tugas dan tanggungjawab DBP dalam pembinaan dan pengembangan ejaan Jawi adalah, antara lain, seperti yang berikut:
i) DBP bertanggungjawab menyediakan pedoman PEJYD dan menerbitkannya untuk kegunaan masyarakat.
ii) DBP bertanggungjawab memantapkan pedoman tersebut dari semasa ke semasa supaya sesuai dengan perkembangan bahasa Melayu, perkembangan Ilmu, dan perkembangan sistem pendidikan yang maju.
iii) DBP menerbitkan buku-buku yang dalam tulisan Jawi dengan menggunakan PEJYD . Buku-buku yang diterbitkan ialah buku agama, dan akan menerbitkan beberapa buku umum dan buku kanak-kanak.
iv) DBP mengadakan kegiatan penyebaran maklumat tentang PEJYD untuk masyarakat, serta membantu pengguna mempelajarinya dan menyebarkan penggunaannya.
8.4- Kerjasama DBP dengan pihak pelaksana PEJYD di sektor pendidikan:
i) Semenjak PEJYD diterbit dan disebarkan pada tahun 1986, tidak ada masalah besar yang dihadapi oleh DBP berkaitan dengan pedoman tersebut. Hanya dalam tahun 1991 ini sahaja baru timbul masalah yang agak besar apabila Maktab Perguruan Islam membuat ulasan terhadap PEJYD itu.
ii) Usaha untuk menyelesaikan masalah yang dibangkitkan oleh Maktab Perguruan Islam dibuat dengan mengadakan mesyuarat khas di DBP pada 24 Julai 1991. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh DBP dan hampir semua pihak di Kementerian Pendidikan Malaysia yang bertanggungjawab melaksanakan penggunaan ejaan Jawi di sekolah dan maktab perguruan, iaitu Bahagian Pendidikan Guru, Bahagian Pendidikan Islam, Pusat Perkembangan Kurikulum, dan Maktab Perguruan Islam. Setelah membahaskan masalah yang dikemukakan oleh Maktab Perguruan Islam, mesyuarat merumuskan empat perkara sebagai persetujuan bersama (seperti di perenggan 8.5 di bawah).
8.5- Keputusan Mesyuarat pada 24 Julai 1991 di DBP tentang pelaksanaan penggunaan PEJYD di sektor pendidikan (dipetik sepenuhnya daripada Minit Mesyuarat yang berkenaan):
"5.1- Semua Bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan penggunaan ejaan Jawi bersetuju melaksanakan penggunaan Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan yang dirumuskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (Pedoman 1986, Daftar 1989). Bahagian-bahagian yang terlibat itu ialah Bahagian Pendidikan Islam, Bahagian Pendidikan Guru, dan Pusat Perkembangan Kurikulum. Oleh sebab itu, Maktab Perguruan Islam juga bersetuju mematuhi dan akan melaksanakan Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan ini dalam pengajaran dan pembelajaran di maktab tersebut."
"5.2- Dipersetujui supaya kaedah mengajar di Maktab Perguruan Islam, khususnya, diubahsuai supaya dapat menyampaikan pedoman Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan ."
"5.3- Dipersetujui bahawa cadangan untuk meneliti semula beberapa aturan tertentu dalam Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan dengan tujuan memantapkannya akan dibuat secara berasingan. Dewan Bahasa dan Pustaka akan mengadakan kegiatan ini setelah mendapat maklumat yang lengkap daripada pihak-pihak yang ingin mencadangkan pemantapan pedoman tersebut. Perkara ini tidak ada hubungannya dengan persetujuan untuk melaksanakan Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan yang sudah dipersetujui."
"5.4- Dewan Bahasa dan Pustaka akan menulis satu kertas ringkas tentang latar belakang, kaedah dan penjelasan tentang Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan untuk diedarkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat Kurikulum yang akan bersidang pada 14 Ogos 1991 yang akan datang."