Usul
10. Usul:
1. Merujuk kepada persefahaman yang dibuat dalam mesyuarat di DBP pada 24 Julai 1991, khususnya tentang perkara 5.3 petikan minit mesyuarat tersebut, kami ingin mengemukakan beberapa perkara yang bersabit dengan kaedah-kaedah dalam PEJYD yang telah dikenal pasti sebagai kaedah-kaedah yang perlu diperkemas dan dipermantap. Hujah-hujah tentang betapa perlunya kaedah-kaedah tersebut ditinjau semula untuk tujuan pemantapan tidaklah hendak kami sebut di sini secara khusus, tetapi kami suka mencadangkan supaya perkara tersebut dibahaskan oleh sebuah Jawatankuasa Tetap Ejaan Jawi yang ditubuh khusus dengan fungsi untuk berusaha memelihara, membina dan mengembangkan penggunaan tulisan Jawi di Malaysia. Untuk tujuan ini, diperturunkan kaedah-kaedah tersebut:
i) Memperkemas aturan penulisan huruf hamzah supaya huruf hamzah menepati kedudukannya dan fungsinya sebagai lambang bunyi hentian glotis. [Rujuk PEJYD , perenggan II, 4. a, b, c, d; III. 4. iii. 7. iii. v. vi. vii.].
ii) Mengkaji semula penggunaan huruf dan cara penulisan singkatan dan akronim dalam Jawi. [Rujuk PEJYD , perenggan III. 9.].
iii) Memperkemas cara penulisan huruf gugus konsonan di akhir kata atau akhir suku kata supaya lebih memantapkan bentuknya.
iv) Mengkaji semula kaedah yang boleh digunakan bagi meyakinkan pengguna tulisan Jawi bahawa pemilihan huruf qaf adalah paling sesuai sebagai lambang bagi bunyi hentian glotis di akhir kata-kata Melayu jati.
v) Mengkaji semula pengejaan kata yang sudah disenaraikan dengan tujuan untuk mensahihkannya dan mengurangkan kategori kata yang dikecualikan daripada kaedah.
vi) Mengkaji dengan teliti untuk mengadakan peraturan penulisan kata majmuk dalam sistem ejaan Jawi.
vii) Memantapkan beberapa aspek kaedah penulisan kata terbitan dengan awalan.
2. Mengusulkan supaya pihak-pihak yang berkuasa kerajaan dan pihak-pihak lain yang berkenaan atau berkepentingan mengambil langkah melaksanakan Keputusan-keputusan dan Usul-usul Kongres Tulisan Jawi tahun 1984 yang belum dilaksanakan.