Ilmu Falak Dan Pengajarannya Di Sekolah Agama

5. Ilmu Falak Dan Pengajarannya Di Sekolah Agama:

5.1. Atas kesedaran bahawa ilmu mengetahui waktu atau ilmu Miqat yang menjadi sebahagian daripada ilmu Falak adalah suatu Fardu Kifayah kepada orang Islam maka pelajaran Ilmu Falak atau Miqat telah diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Ilmu Falak di Malaysia di abad moden ini boleh dikatakan dipelopori oleh Sheikh Tahir Jalaludin (Perak) yang mempelajarinya dari Timur Tengah. Di samping itu terdapat juga tokoh-tokoh lain yang mempelajarinya Ilmu Falak dari Mekah seperti Sheikh Abdullah Fahim (Pulau Pinang) dan ramai lagi tokoh-tokoh lain dipelusok negara termasuklah di Kelantan, Terengganu, Kedah dan lain-lain. Ilmu ini diperturunkan oleh tokoh-tokoh tersebut kepada murid mereka yang kemudiannya diperturunkan kepada murid masing-masing melalui pengajian Sekolah Pondok atau Sekolah Agama. Sheikh Tahir Jalaluddin telah berjaya melahirkan seorang murid yang mempunyai reputasi tinggi dalam Ilmu Falak iaitu Tuan Haji Mohd. Khair bin Hj. Mohd. Taib (Perak).

5.2. Sebagai gambaran sepintas lalu mengenai kedudukan pengajian ilmu Falak ini, bolehlah dilihat contoh di Kelantan. Dalam sistem Pengajian Agama di Sekolah-sekolah Agama di Kelantan, pelajaran Miqat telah dimulakan di Maahad Muhammadi, Kota Bharu mulai tahun 1937. Ia diajar mulai kelas Ibtadai (Menengah rendah) hingga Ikdadi (menengah) tetapi tidak diajar diperingkat Menengah Tinggi kecuali atas usaha individu masing-masing. Pelajaran Miqat juga dalam dekad tiga puluhan hingga enam puluhan telah diajar di merata-rata Sekolah Agama Rakyat di seluruh Kelantan. Kaedah yang digunakan umumnya ialah dengan menggunakan kayu robo'. Tetapi kemudiannya buku teks telah disediakan oleh Majlis Agama Islam Kelantan yang mengandungi jadual-jadual dan sifir-sifir bagi pengiraan ilmu Falak.

5.3. Namun begitu ilmu Falak tidak mempunyai tarikan yang kuat untuk dipelajari kerana ianya tidak dianggap sebagai mata pelajaran utama. Ini oleh kerana dalam konsep Pengajian Agama yang digunakan ia bukanlah cabang ilmu Syariat atau Usuluddin atau ilmu alat. Miqat atau Falak lebih merupakan ilmu Sains sebagaimana sains yang lain. Oleh sebab itulah pada tahun 1970 apabila kurikulum baru Sekolah-sekolah Agama di bawah Yayasan Pelajaran Islam Kelantan diperkenalkan pada tahun tersebut maka Pelajaran Miqat tidak dimasukkan. Tambahan pula waktu pelajaran telah menjadi sedikit dengan berrtambahnya mata pelajaran akademik dalam kurikulum tersebut.

5.4. Contoh yang berlaku di Kelantan ini nampaknya berlaku juga di negeri-negeri lain. Akibatnya generasi baru pelajar-pelajar Sekolah Agama umumnya telah menjadi buta Falak yakni ilmu tersebut telah menjadi asing kepada mereka.