Langkah-langkah Yang Perlu Diambil

8. Langkah-langkah Yang Perlu Diambil:

8.1. Matlamat utama gerakan menghidupkan semula pelajaran ilmu Falak di Sekolah-sekolah Agama dan di Institusi-institusi Pengajian adalah untuk melahirkan satu Kumpulan Pelajar Islam yang mempunyai pengetahuan asas mengenai ilmu Falak. Ini adalah satu cara untuk melahirkan generasi Islam yang mempunyai pengetahuan bersepadu. Kaedah bersepadu ini adalah satu kaedah yang merujuk kepada zaman kegemilangan Islam di mana sebahagian tokoh-tokoh sains adalah juga tokoh Agama dan begitulah juga sebaliknya.

8.2. Dalam hal ini satu langkah yang perlu diambil oleh pihak berkuasa Sekolah-sekolah Agama seperti Jabatan Agama Islam Negeri atau Yayasan Pendidikan Islam yang bertanggungjawab mengendalikan hal ehwal Sekolah-sekolah Agama supaya memasukkan semula mata pelajaran ilmu Falak ke dalam kurikulum Sekolah-sekolah tersebut. Satu skim latihan kepada guru-guru Falak hendaklah diadakan bagi tujuan ini. Kursus ini mungkin boleh diadakan di Maktab Perguruan Islam.

8.3. Satu bidang yang perlu ditingkatkan ialah kerjasama yang erat di antara tokoh-tokoh astronomi dengan tokoh-tokoh Falak Syarie. Ini adalah satu langkah yang amat baik bagi menyelaraskan hasil-hasil kajian dan penentuan sesuatu perkara yang berkaitan dengan Falak. Antara tujuan kerjasama ini juga ialah supaya sebarang keputusan mengenai Falak hendaklah dirujuk kepada sumber-sumber Islam dan juga sebarang keputusan tersebut seharusnya berada di tangan orang Islam.

8.4. Pihak Kerajaan perlu memberi galakan yang kuat ke arah memajukan ilmu Falak. Jaminan YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Yusof Noor bahawa sebuah Planetorium yang akan didirikan di Bangi Selangor di sebuah tapak yang akan disumbangkan oleh NADI (Nadwah Akedemik Islam). Adalah satu petanda baik ke arah kemajuan dan perkembangan ilmu Falak di negara ini. Dengan terdirinya planetorium diharap akan menguatkan minat umat Islam dibidang ini demi akan mengembalikan zaman kegemilangan ilmu Falak sebagaimana kegemilangannya di zaman Pemerintahan Baghdad di mana beberapa buah 'obervatorium' (balai cerapan) telah didirikan di beberapa daerah Islam pada masa itu.