Garisan Tarikh Bulan

GARISAN TARIKH BULAN:

Di dalam sistem taqwim syamsiah atau solar, satu konsep Garisan Tarikh Antarabangsa (International Date Line) telah diwujudkan pada awal kurun ini untuk memudahkan pengiraan tarikh dan hari untuk pengguna taqwim syamsiah. Garisan Tarikh Antarbangsa (GTA) ini terletak di garisan bujur (thul) 180° Barat/Timur. Mengikut sistem ini perubahan tarikh berlaku apabila bermula waktu tengah malam di garis bujur 180° itu. Mengikut konvensi ini GTA ini tidak berubah dan tetap di garis bujur 180° T/B.

Perlunya ada satu garisan tarikh bulan, bagi kegunaan taqwim qamariah di peringkat antarabangsa pernah diutarakan di dalam kertas kerja wakil Indonesia di Muktamar Islam Antarabangsa mengenai Taqwim Islam pada tahun 1978. Walaubagaimanapun pada masa itu seruan tersebut tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Lebih-lebih lagi belum ada kajian untuk mewujudkan konsep garisan tarikh bulan antarabangsa itu.

Dalam tahun yang sama, Dr. Ilyas Mohammad telah pun memulakan satu konsep Garisan Tarikh Bulan Antarabangsa berdasarkan kepada kaedah semasa kemungkinan penglihatan hilal.

Perhitungan untuk menetapkan garisan ini dimulai pada satu garis lintang ( عرض ) dari garis bujur ( طول ) 180° menuju ke Barat secara berselang-selang. Untuk setiap kodinat itu, nilai ukuran sistem edaran matahari-bulan-bumi dihitungkan pada waktu ghurubnya matahari. Ini dilakukan untuk semua garis bujur di garis lintang itu, sehingga terdapat satu tempat di mana kaedah kemungkinan penglihatan hilal itu dipenuhi pada waktu ghurub matahari tempatan. Cara pengiraan ini dilakukan semula untuk semua garisan lintang.

Jika semua lokasi di mana kaedah itu dipenuhi, disambungkan di atas sebuah peta dunia yang berprojeksi segiempat, akan terdapat satu garisan yang dikenali sebagai Garisan Tarikh Bulan Antarabangsa (GTBA).

Di antara sifat dan keistimewaan GTBA ialah:

(1) GTBA ini lazimnya berbentuk lingkungan parabola yang menunjukkan keadaan penglihatan minima dipenuhi lebih jauh ke Barat pada lingkaran lintang yang tinggi.

(2) GTBA berubah-ubah ke hadapan dan ke belakang setiap bulan, tetapi mempunyai bentuk yang hampir serupa. Titik mercu dan paksi parabola turut berubah juga.

(3) Tarikh syamsiah tempatan bagi titik-titik mercu parbola (atau tarikh bagi penglihatan pertama di mana sahaja pada bulan-bulan kemudiannya), hampir berselang 29 dan 30.

Fenomena GTBA ini adalah sesuatu yang semulajadi dan boleh digunakan untuk mewujudkan konsep hari qamariah. Hari qamariah ini bermula di GBTA daripada Barat dan berakhir 24 jam kemudian di Timur GTBA tadi.

Memandangkan bahawa fenomena dan konsep GTBA ini suatu yang baharu, ia memerlukan penelitian di dalam memahaminya.

Di antara kegunaan GTBA ialah untuk menyediakan taqwim qamariah bagi sesebuah negeri atau tempat. Taqwim-taqwim yang disediakan oleh tiap-tiap negeri yang mengikut kaedah tersebut dan berdasarkan GTBA ini akan sambung menyambung di antaranya.