Taqwim Hisab Rukyah

TAQWIM HISAB RUKYAH:

Taqwim hisab rukyah yang berdasarkan kepada kemungkinan penglihatan hilal mudah dibuat dengan menggunakan data yang tersedia untuk 50 tahun kehadapan yang terkandung di dalam buku "A Modern Guides To Astronomical Calculations of Islamic Calendar, Times & Qibla" . Contoh data ini ada diberikan pada Lampiran 1.

Cara menentukan tarikh syamsiah bagi mulanya satu-satu bulan hijriah ialah dengan mencatitkan di atas sebuah peta dunia. Dua putaran, lokasi di mana terdapat kemungkinan penglihatan hilal. Kesemua lokasi-lokasi ini dihubungkan dengan saru garisan. Garisan ini ialah GTBA untuk bulan itu. Garisan-garisan untuk bulan-bulan selainnya boleh dicatitkan dengan cara yang sama.

Lampiran 2 menunjukkan empat GTBA bagi bulan-bulan Sya'ban, Syawal dan Zulhijjah tahun 1406H.

Bagi menentukan awal Sya'ban, kita dapat lihat daripada GTBA No. 783 di Lampiran 2, bahawa tarikh yang paling awal hilal kemungkinan kelihatan ialah pada 09hb April dan kawasan-kawasan yang terawal dapat melihat hilal adalah bermula daripada barat Amerika. Bila GTBA itu melintasi Garis Bujur 180° maka berlakulah perubahan tarikh ke 10hb. April. Demikian juga halnya dilihat bahawa untuk Malaysia, kemungkinan besar hilal itu dapat dilihat pada malam 10hb. April. Ini bermakna 01hb. Sya'ban bermula pada 11hb. April.

Cara yang sama dilakukan untuk menentukan tarikh awal Ramadhan. Dapat dilihat (GTBA 784) bahawa kawasan Amerika adalah yang terawal dapat melihat hilal itu pada 09hb Mei 1986. Ini bermakna kemungkinan besar hilal itu dapat kelihatan pada malam 10hb. Mei dan dengan itu 01 Ramadhan jatuh pada 11hb. Mei.

Di antara kedua-dua tarikh ini dapatlah ditentukan jumlah hari di dalam bulan Sya'ban dan mengikut kiraan ini adalah 30 hari. Cara yang serupa digunakan untuk menyediakan tarikh awal bulan-bulan yang lain.

Lampiran 3 menunjukkan taqwim rukyah mengikut sistem GTBA dan perbezaannya dengan taqwim hakiki.

Lampiran 4 adalah kiraan daripada pihak Jabatan Ukur bagi kedudukan hilal pada beberapa bulan di dalam 1985/1986 di Teluk Kemang, Negeri Sembilan.

Rukyah hilal mesti dilakukan pada 29hb Sya'ban dan mengikut panduan taqwim rukyah ini adalah pada malam 09hb Mei 1986. Ada kemungkinan hilal dapat dilihat jika cuaca baik. Walaubagaimanapun jika cuaca tidak mengizinkan, boleh digenapkan Sya'ban sampai 30 hari dan 01 Ramadhan berlaku pada 11hb Mei 1986.

Mengikut sistem hakiki, rukyah dicuba pada malam 08hb. Mei kerana itu adalah malam ke 29 bagi bulan Sya'ban. Jelas daripada data di lampiran 4 bahawa pada waktu ghurub malam itu hilal belum ada kerana belum lagi berlaku ijtimak!

Perkara yang sama telah berlaku pada akhir Ramadhan. Mengikut taqwim rukyah, 29hb Ramadhan adalah pada 08hb Jun dan menurut hisab, hilal itu kemungkinan besar dapat dilihat. Walaubagaimanapun, rukyah telah dicuba pada malam 07hb Jun pada masa mustahil untuk merukyah hilal itu.

Maka adalah jelas bahawa taqwim rukyah ini adalah lebih hampir kepada amalan rukyah itu sendiri, kerana tarikh-tarikh taqwim ini berdasarkan kepada kemungkinan penglihatan rukyah.

Taqwim rukyah ini dapat dengan mudah menampung perubahan di dalam jumlah hari di dalam satu-satu bulan, iaitu daripada 29 ke 30 atau 30 ke 29 hari, jika rukyah dilakukan pada bulan-bulan tertentu seperti Ramadhan dan Syawal.