|
MASA DEPAN TAQWIM ISLAM
Oleh: ( Dr. Muhammad Ilyas FRAS )
School of Physics
Universiti Sains Malaysia
P. Pinang, Malaysia
1. Muqaddimah
Taqwim Islam merupakan suatu manifestasi astronomi yang serius, melibatkan beberapa disiplin seperti fizik dinamik dan optik, biofizik dan astronomi bermatematik dan bersfera. Oleh itu amat berguna dibuat kajian sepintas lalu mengenai sains astronomi dalam tamadun Islam. Dengan latarbelakang ini, kita mengharapkan suatu natijah yang baik untuk membandingkan keadaan astronomi sekarang di dalam masyarakat Islam. Ini membuatkan kita menghargai masalah asas disebalik keadaan yang kucar kacir dan perbezaan yang serius bagi menentukan tarikh taqwim Islam -- terutamanya peristiwa-peristiwa penting seperti awal Ramadhan dan Hari-hari Raya -- di antara negara. Masalah yang sama wujud dalam menentukan waktu solat, tetapi hal ini tidaklah begitu ketara kepada orang ramai. Walaupun dengan beberapa halangan seperti yang disebut di atas, suatu program intensif telah dijalankan ke arah astronomi taqwim Islam. Perkara-perkara yang berkaitan dengan sains telah diperbaiki sehingga keperingkat suatu taqwim Islam antarabangsa yang sekata mungkin dilaksanakan di seluruh dunia. Untuk tujuan itu, usaha yang serius diperingkat sains tertinggi sedang diusahakan.
Seperkara yang baik mengenai Taqwim Islam Antarabangsa ialah ia memenuhi keperluan tempatan dan juga keperluan antarabangsa akan suatu taqwim yang dihisab (kira) dan ianya paling tepat dengan nampaknya anak bulan (hilal). Malah kedua-dua sistem ini akan bersatu dan menjadi seiras (identical) bagi kebanyakan tempat di permukaan bumi. Ini telah menimbulkan beberapa perkara yang berkait dengan hukum syara' dan ianya memudahkan lagi kegunaan taqwim Islam antarabangsa ini. Dalam apa hal sekalipun, tekanan utama program ini ialah untuk menghasilkan suatu taqwim yang sekata dan antarabangsa di dalam pemakaiannya seperti kalendar Masehi, betul secara sains, serta mudah dan ianya nanti menjadi suatu sistem warisan yang kekal hidup untuk masyarakat Islam.
|