CADANGAN DAN RESOLUSI
PERSIDANGAN ISLAM SERANTAU SINGAPURA
15 SHA'BAN - 18 SHA'BAN 1406
24th APRIL - 27th APRIL 1986
PERSIDANGAN ISLAM SERANTAU TELAH MERUMUSKAN BEBERAPA CADANGAN DAN RUMUSAN BERIKUT MENGENAI TAQWIM ISLAM ANTARABANGSA:
1. Menyeru negara-negara Islam supaya pengiraan Taqwim Islam itu dibuat berasaskan satu sistem di mana kriteria pengiraannya adalah berdasarkan Program Taqwim Islam Antarabangsa, iaitu dengan cara permulaan terlihatnya anak bulan dan dengan menggunakan kaedah saintifik yang mutakhir untuk tujuan tersebut. Pengiraan Taqwim itu juga adalah untuk kegunaan satu tahun.
2. Menyahut supaya memperkuatkan sokongan kepada Resolusi Persidangan Sains Islam (di Islamabad) pada tahun 1983 anjuran O.I.C, yang antara lain menyatakan bahawa satu program perlu ditubuhkan oleh O.I.C bagi memperkembangkan satu Taqwim Islam Antarabangsa yang sistematik dan seragam, dengan mengambilkira kajian-kajian moden dan data kenampakan astronomi sejagat jangka panjang.
3. Menimbangkan Program Taqwim Islam Antarabangsa yang diusahakan oleh Dr. Mohammad Ilyas untuk dibawa ke pengetahuan Akademi Fiqh Dunia di Makkah Al-Mukarramah sebagai langkah permulaan sebelum program itu dilaksanakan di semua negara Islam.
4. Menimbangkan bahwa, oleh kerana Kaabah sebagai Kiblat Ummah, maka adalah sangat wajar yang Kota Mekah dan 'Custodian of the Haramain' juga terlibat dalam projek menyatupadukan Taqwim Islam ini.
5. Menyeru Pertubuhan-pertubuhan Islam antarabangsa supaya memberikan sumbangan kepada Tabung Projek Taqwim Islam Antarabangsa ini dan seterusnya menyokong pemulihan dan perkembangan ilmu Astromi Islam dan ilmu Sains Islam yang berkaitan.
6. Merakamkan penghargaan ke atas sokongan yang telah diberikan oleh Universiti Sains Malaysia dalam projek Taqwim Islam Antarabangsa, dan Universiti Sains Malaysia adalah satu-satunya universiti di dunia yang sangat berminat dan memainkan peranan yang aktif sekali dalam kajian penggunaan Astronomi dalam menyelesaikan masalah Taqwim Islam ini.
7. Mengharapkan Pertubuhan-pertubuhan Muslim yang lain supaya mencontohi Universiti Sains Malaysia samada dengan memulakan Program Astronomi mereka sendiri atau dengan memberikan bantuan kepada Universiti ini.
8. Mengucapkan tahniah kepada Dr. Mohammad Ilyas kerana pencapaian saintifiknya dalam usaha menggunakan ilmu Astronomi Moden bagi membentuk Taqwim Islam dan menyeragamkannya. Mengucapkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana dengan rahmat Nya Dr. Ilyas dapat menyampaikan kertas kerjanya dalam persidangan ini.
9. Menimbangkan supaya dalam Astronomi Islam dan Taqwim Islam Antarabangsa, pengiraan berdasarkan penglihatan adalah satu cara bagi menyelesaikan perbezaan pendapat dan konflik yang wujud di antara Ummat Islam dalam masalah Rukyah dan Hisab.