Pembinaan Taqwim Qamariah
Untuk Malaysia
Oleh
Abdul Majid bin Abd. Hamid +
Mazlan bt Othman *
Mohd Yunus bin Mohd Yusoff +
----------------------------------------------------
1. Pengenalan
Pembinaan sebuah taqwim yang baik adalah salah satu sebabnya ilmu astronomi telah dipertingkatkan dan dimajukan dengan pesat sekali pada masa-masa yang lampau. Balai-balai cerap yang pertama telah didirikan semata-mata untuk menyelesaikan masalah taqwim. Tetapi hari ini sebab-sebab astronomi yang menjadi asas kepada sistem menyimpan masa (hari, bulan dan tahun), musim, fenomenon pasang-surut, serta terbit dan terbenamnya matahari, bulan dan bintang sering dilupakan. Pulsar, Kuasar, Lubang Hitam dan lain-lain sahaja yang dikaitkan dengan astronomi. Oleh kerana ini ramai orang menyangkakan bahawa astronomi tidak mempunyai kaitan dengan kehidupan seharian.
Sebenarnya taqwim-taqwim yang digunakan hari ini adalah hasil daripada pencerapan dan ujian astronomi yang telah dijalankan beratus-ratus tahun sebelum ini dan merupakan kejayaan astronomi yang utama sebelum penemuan teleskop. Sungguhpun hari ini kita dapat mengukur masa dengan kejituan 10-12s, kejituan yang tinggi ini tidak langsung dapat membantu kita memperbaiki kawalan taqwim. Panjang satu tahun adalah jangkamasa diantara dua pergerakan berturut-turut yang dilakukan oleh matahari melalui Ekuinoks Vernal. Jangkamasa ini masih tidak dapat ditentukan dengan kejituan 10-12s. Kita masih menggunakan nilai untuk satu tahun yang telah digunakan beratus tahun yang lalu yang sudah pun memberi kita taqwim yang memuaskan untuk penggunaan umum.
Kuasa yang ada pada mereka yang mahir dalam hal berkenaan taqwim tidak boleh diperkecilkan. Dalam tamadun Maya, pakar astronominya telah membina sebuah taqwim yang sunggoh rumit sehinggakan hanya mereka sahajalah yang dapat memahaminya. Ini telah meletakkan mereka pada kedudukan yang sangat penting daripada segi pentadbiran negeri.
Nota:
+ Berkhidmat di seksyen Topografi,
Jabatan Ukur dan Pemetaan, Kuala Lumpur.
* Berkhidmat di Jabatan Fizik, UKM.