3. Taqwim Islam
Taqwim Islam terdiri daripada 12 bulan qamariah tanpa pengubahsuaian kepada pergerakan matahari dan oleh kerana ini ia tidak bertindih dengan musim dan hanya kembali kepada musim yang berpatutan setiap 33 tahun.
Taqwim ini mempunyai kitaran tetap sebanyak 30 tahun taqwim supaya ia tidak lari daripada fasa bulan yang sebenarnya. Setiap bulan qamariah mempunyai 29 atau 30 hari yang bermula lebih kurang dengan bulan baru. Oleh kerana satu bulan qamariah purata ialah 29.53 hari dan purata bagi bulan qamariah mengikut taqwim qamariah ialah 29.50 hari, taqwim ini terkeluar daripada fasa bulan yang sebenarnya sebanyak 8 j 38 minit setiap tahun dan lama kelamaan permulaan bulan tidak lagi akan bertindih dengan kejadian bulan baru.
Untuk mengelak masalah inilah maka kitaran 30 tahun tadi diwujudkan. 19+ tahun pertama dalam setiap kitaran memberikan 29 hari kepada bulan Zulhijjah sementara 11 tahun selepas itu bulan Zulhijjah mempunyai 30 hari. Dengan ini bulan qamariah purata ditambah menjadi 29.530556 hari. Ini bererti bahawa taqwim ini akan terkeluar sebanyak satu hari dalam masa 2500 tahun (Supplement to the Astronomical Elhemeris 1961). Dalam taqwim ini Ramadhan bermula pada hari yang ke 237 (A.Katsir 1979) tetapi sebagaimana diketahui, hari di mana ia seharusnya bermula mestilah berasaskan bila berlakunya ijtima' yang sebenar.
Oleh kerana taqwim Islam berasaskan perederan bulan maka ia sangat bergantung kepada pengetahuan kita mengenai bila berlakunya bulan baru. Dan cara-cara untuk meramalkan pergerakan bulan adalah satu perkara yang rumit. Ini diterangkan dalam lampiran A mengenai beberapa aspek anak bulan.
Persamaan-persamaan yang digunakan untuk membuat ramalan pada hakikatnya adalah sama tetapi pemalar-pemalar yang digunakan boleh berubah daripada seorang kepada seorang yang lain dan ini dapat menentukan kejituan ramalan. Ini adalah kerana pergerakan bulan tidak tetap dan pemalar-pemalar tadi merupakan 'fudge factor' yang digunakan untuk mendapatkan ramalan yang paling tepat dengan pencerapan. Ada kaedah menggunakan beberapa pemalar pembetulan sahaja tetapi ada yang menggunakan beberapa ribu pemalar pembetulan.