4. Pembinaan Taqwim di Seksyen Topografi, Jabatan Ukur, Kuala Lumpur.
Di seksyen Topografi di Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah usaha telah dijalankan untuk membina sebuah taqwim yang sesuai untuk Malaysia. Ianya berasaskan bila berlaku ijtima' yang sebenarnya.
Parameter-parameter utama yang dicari ialah garis bujur ketara bulan dan matahari. Kaedah yang diambil adalah secara ringkas seperti berikut:-
Mula-mula garis bujur ketara matahari, (SL) dan garis bujur ketara bulan (ML) dihitung. Perbezaan (SL - ML) adalah positif sebelum lahirnya anak bulan dan negatif selepas itu. Matlamat program adalah untuk mencari waktu apabila SL = ML.
Sebagai langkah pertama perbezaan tiap-tiap jam pada hari sebelum dan selepas lahirnya anak bulan dihitung sehingga SL - ML = 0. Selepas itu perkiraan dibuat dengan perbezaan masa 10 dan satu minit sehingga syarat-syarat berlakunya anak bulan diperolehi. Langkah akhir adalah dengan mengira dalam jangkamasa satu saat. Cara perulangan ini hanya dapat di laksanakan dengan bantuan komputer. Kejituan waktu penentuan anak bulan ini adalah satu saat.
Butir-butir lanjut mengenai kaedah dan atucara komputer adalah seperti di dalam lampiran B dan C.
Setelah waktu apabila anak bulan berlaku diketahui satu lagi atucara digunakan untuk menghitungkan waktu matahari terbenam. Kemudian perbandingan diantara dua waktu ini dilakukan. Perbandingan ini menentukan sama ada bulan qamariah baru akan bermula atau tidak. Kriterion yang digunakan ialah sekiranya ijtima' berlaku sebelum matahari terbenam maka bulan qamariah baru bermula keesokan harinya. Bulan-bulan Ramadhan dan Syawal dikecualikan. Tempat yang digunakan sebagai rujukan untuk seluruh Malaysia buat masa ini ialah Teluk Kemang.
Taqwim yang diperolehi menggunakan kaedah di atas dengan kriterion seperti disebutkan tahun hijrah 1401 hingga 1411 adalah seperti di dalam Lampiran D.