Kriterion Bulan Qamariah Baru

5. Kriterion Bulan Qamariah Baru

Sepertimana disebutkan di atas, kriterion untuk menentukan bulan baru ialah jika ijtima' berlaku sebelum matahari terbenam. Maka bulan baru qamariah dianggapkan bermula keesokan harinya. Masalah timbul apabila waktu ijtima' dan waktu matahari terbenam berbeza beberapa minit sahaja. Misalannya ialah pada 19hb Julai 1993: ijtima' berlaku pada jam 19:24. Matahari terbenam pada 19:26 di Teluk Kemang. Dengan perbezaan masa yang kecil ini haruskah bulan baru dianggapkan bermula keesokan harinya atau perlukah kita mencari kriterion yang melibatkan perbezaan masa terkecil? Atau kriterion yang digunakan untuk bulan-bulan Ramadhan dan Syawal harus digunakan juga supaya kaedah kita seragam ?. Ini adalah satu persolan yang perlu diselesaikan.

Satu lagi masalah yang timbul melibatkan penggunaan Teluk Kemang sebagai tempat rujukan. Misalnya ialah: pada 26hb Sept, 1992 ijtima' berlaku pada 18:40 manakala matahari pula terbenam pada 19:07 (selepas ijtima') di Teluk Kemang dan terbenam pada 1810 (sebelum ijtima') di Tanjung Dumpil, Sabah. Oleh yang demikian, tidak tepat bagi negeri Sabah sekiranya dianggapkan bahawa bulan baru sudah bermula untuk negeri tersebut.

Perbezaan waktu matahari terbenam di titik paling timor dan titik paling barat di Malaysia ialah lebih kurang satu jam. Jelas daripada misalan di atas bahawa ijtima' boleh berlaku dalam masa satu jam ini. Supaya taqwim yang dibina boleh digunakan untuk seluruh Malaysia, maka titik yang paling timorlah yang harus digunakan sebagai rujukan kerana matahari terbenam paling awal di sini. Adakah ini boleh dipersetujui oleh semua pihak ?