|
ISLAMISASI:
Adalah tidak wajar, kalau kita melupakan bahawa dalam RME ada beberapa usaha untuk mengislamisasikan beberapa institusi ekonomi. Diantaranya yang sudah sampai keperingkat matang ialah penubuhan Bank Islam.
Adalah diterima bahawa usaha-usaha ini adalah baik. Tetapi adalah juga tidak wajar kalau dibuat penekanan bahawa dengan usaha-usaha ini bahawa RME secara khusus dan DEB secara umum sudah menjadi Islam secara total.
Setiap perseorangan individu seharusnya menerima usaha-usaha ini dengan terbuka sebagai titik tolak dan persediaan kepada ekonomi Islam. Dengan ini seseorang individu mestilah berasa bertanggungjawab memberikan atau menerima sumbangan fizikal dan mental untuk memenuhi ruang-ruang kosong dan memperluaskan lagi usaha-usaha ini.
Berbalik kepada Bank Islam yang telah diluluskan aktanya oleh Parlimen pada 8/12/1982. Dalam menunggu dan menerima kelahirannya setiap perseorangan individu seharusnya bersedia menerima kenyataan bahawa keujudan Bank Islam ini adalah banyak didorong oleh motif yang berteraskan persekitaran masyarakat yang sama-sama menerima perkembangan yang mahukan sistem ekonomi Islam sebagai satu penyelesaian. Kejayaan penubuhannya banyak bergantung kepada daya usaha yang dihormati dari beberapa orang tokoh tanah air.
Satu perkara amat perlu disentuh di sini, iaitu kejayaan Bank Islam adalah bergantung kepada keupayaan organisasi pentadbiran yang sesuai dengan nilai-nilai mengikut perspektif Syariah Islam.
Dalam konteks sekarang pengawalan organisasi ini banyak bergantung kepada Lembaga Pengarah yang merupakan kuasa tertinggi dalam pyramid pentadbiran Bank Islam. Dan begitu juga Lembaga Syariah yang bertanggung-jawab kepada Lembaga Pengarah dalam memberikan hukum Syariah Islam dalam setiap persoalan yang berkaitan dengan Bank Islam.
Maka kedudukannya sebenar adalah merupakan lembaga yang mempunyai otonomi mutlak dalam bidang tugasnya di atas.
Keadaan ini menghendaki dalam menentukan fungsi yang sebenar kedua-dua lembaga di atas supaya anggota Lembaga Pengarah terdiri dari pakar ekonomi (khususnya bank dan perniagaan) yang iltizam dengan Syariah Islam bagi membolehkannya menerima dengan terbuka setiap hukum yang diberikan oleh Lembaga Syariah. Dan anggota Lembaga Syariah pula hendaklah terdiri dari pakar dalam Syariah Islam, khususnya dalam bidang yang berkaitan dengan Bank Islam. Pengetahuan yang ada bagi mereka yang berhubung dengan Bank Islam, dan begitu juga persediaan mereka yang cukup untuk mengikuti perkembangan Bank Islam dan menguasainya adalah merupakan kriteria yang mesti diambil kira dalam pemilihan calun bagi anggota Lembaga Syariah, kerana hanya mereka sahaja yang benar-benar dapat memikul beban dan menjalankan fungsi Lembaga Syariah, sebagai pepandu kepada Bank Islam agar ia tidak merupakan sekadar sebuah bank yang tidak mengamal riba (interest), ini hanya satu dari berbagai-bagai ciri dalam Bank Islam.
RME secara khusus dari DEB secara umum mestilah menjadikan ini sebagai polisinya, bukan sahaja dalam masalah Bank Islam tetapi dalam semua persoalan dalam usaha-usaha mengujudkan institusi-institusi ekonomi yang berteraskan prinsip-prinsip ekonomi Islam, seperti institusi insuran yang juga merupakan persoalan besar dalam masyarakat Malaysia, dan institusi gadai yang menimbulkan pelbagai tekanan kepada masyarakat.
|