Peningkatan Yang Berpendapatan Kecil

PENINGKATAN YANG BERPENDAPATAN KECIL:

Perbincangan dalam masalah ini kita tumpukan kepada sektor pertanian yang terdiri dari 963.2 (27) isi rumah dalam tahun 1980 saiz isi rumah pada tahun 1980 ialah 4.8 (28) maka penduduk dalam sektor ini ialah 4,623 juta iaitu 41.1% dari penduduk yang berjumlah 11,250 juta (Semenanjung Malaysia). Kadar kemiskinan di kalangan keluarga petani adalah begitu tinggi, pada tahun 1980 masih berada di paras 66.6%.

Kerajaan telah menjalankan berbagai projek bagi meningkat taraf hidup petani dan nelayan. Ini ternyata dari ujudnya berbagai Lembaga yang ditugaskan dengan beban tugas yang tertentu, dan ia telah membuat beberapa kemajuan yang banyak membantu petani yang berkenaan. Umpamanya melalui RISDA penanaman baru getah telah ditingkat dari 76,180 hektar dalam jangka masa 1971 - 75 kepada 115,870 hektar dalam masa 1976 - 1980 dan penanaman semula 172,500 hektar 1971 - 75 kepada dan 105,200 hektar dalam tempoh 1976 - 80 (29) . FELDA pula telah menjayakan penanaman kelapa sawit bagi pekebun kecil dari 83,700 hektar 1970 kepada 461,060 hektar pada tahun 1980. (30) . Disamping ini Lembaga-Lembaga tani seperti FELCRA, TAKDIR dan SALCRA juga menjalankan menjayakan program dan projeknya.

Di samping program dan projek Lembaga-Lembaga di atas beberapa projek lain yang besar juga dijalankan dan dilaksanakan seperti projek pembangunan pertanian yang bersepadu telah menjayakan projek pengairan MUDA, KEMUBU dan BESUT yang memberi faedah kepada 109,000 keluarga dan meningkatkan penghasilan dari 1,448 gantang sehektar dalam tahun 1970 kepada 1,909 gantang sehektar dalam tahun 1980 bagi kawasan MADA dan dari 1,071 gantang kepada 1,369 gantang di kawasan Besut. (31)

____________________________

(27) Rujuk RME, jadual 3 - 2, h. 39.

(28) Ibid, jadual 4 - 3, h. 84.

(29) Ibid, h. 13.

(30) Ibid, h. 14.

(31) Rujuk RME, h. 296.


Kemudahan parit dan taliair juga dibuat dan memberikan kemudahan kepada kira 68,000 hektar tambahan kepada yang sedia ada kemudahan 97,400 hektar. Ini memberikan kemudahan kepada 136,800 sekeluarga . (32) MAJUTERNAK dan MAJUIKAN juga menjalankan program dan projek yang memberi kemudahan kepada penternak dan nelayan. (33)

Program dan projek di atas yang telah dijayakan hingga akhir RME adalah menjadi matlamat RME untuk mempertingkatkannya lagi, misalnya ialah pelaksanaan Fasal 1 projek Kemasin yang mendapat peruntukan $206.4 juga (34) dan juga projek estet padi bagi lebih 1,000 hektar tanah terbiar di Hilir Perak, yang dimulakan pada tahun 1983. (35)

Satu perkara yang perlu dibangkitkan untuk perhatian bagi menjadikan usaha-usaha baik di atas lebih efisyen, iaitu kedudukan pemilikan petani yang pada keseluruhannya berada di antara 1 hingga 1 1/2 hektar (selain dari projek penanaman baru seperti FELDA), dalam keadaan ini walaupun peningkatan keluaran dapat dihasilkan melalui skim tertentu dari program dan projek di atas tetapi ia tidaklah dengan sepenuh dapat membawa tarap pendapatan yang menjangkau tahap yang benar-benar dapat mengatasi masalah kemiskinan. Kita ambil sebagai contoh, pelaksanaan Fasa 1 projek Kemasin. Ia dijangka tamat pada 1987 (dua tahun selepas berakhirnya RME dan bermulanya RME) peningkatan pendapatan petani berlaku kepada $4,042 setahun berbanding dengan 1,010 sekarang. (36) Diakui bahawa peningkatan berlaku kira-kira 4 kali ganda, tetapi dari pendapatan yang begitu teruk sekarang iaitu kira-kira $85/= (sebulan) ia meningkat kepada $340/= sebulan. Kita akui bahawa tanpa peningkatan ini akan membawa kepada bertambah buruk lagi keadaan petani berkenaan, tetapi apakah kita sudah berasa lega dengan hanya mempertahan keadaan atau membaikkannya sedikit, $340/= lima tahun akan datang sama dengan berapa nilai sekarang?

____________________________

(32) Ibid.

(33) Ibid. 299.

(34) Rujuk; Utusan Malaysia 2/12/1982 h. 13.

(35) Rujuk; Berita Harian 10/12/1982 h. 1.

(36) Rujuk; Utusan Malaysia 2/12/1981 h. 13.


Maka beberapa daya usaha-usaha mesti diambil, bagi meluaskan lagi kadar hak milik, semua ada dengan memajukan kawasan terbiar yang berdekatan atau dengan membuka peluang kerja-kerja tambahan dalam sektor perniagaan dan seumpamanya.

Ini dibangkitkan kerana peningkatan yang besar dari projek dan program yang dijalankan sebahagian besar habis bagi menampung inflasi sahaja. Misal dalam satu dekad RMD dan RMT kadar kemiskinan berkurangan dari 73.6% pada 1970 kepada 66.6% pada 1980 (kekurangan 7% sahaja dalam masa 10 tahun). Apakah keadaan ini sudah cukup untuk penyusunan masyarakat yang teguh.