Mukaddimah

بسم الله الرحمن الرحيم

GERAKAN / HARAKAH ISLAMIAH DAN
TANGGUNGJAWAB ULAMA'

ان الحمد لله ، نحمده ونستعينه ونستغفره ، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا وسيئات اعمالنا ، من يهده الله فلا مضل له ، ومن يضلل فلا هادى له ، وأشهد ان لا إله الا الله وحده لا شريك له ، وأشهد ان محمدا عبده ورسوله ، وبعد :


MUKADDIMAH:

1. AL HAMDULILLAH, kita bersyukur ke hadhrat Allah kerana dengan limpah taufiq dan hidayahNya ummah Islamiah di seluruh dunia termasuk sebahagian masyarakat Islam di negara kita kini sedang menyaksikan dan menghayati zaman kebangkitan Islam. Suasana keghairahan terhadap Islam dapat disaksikan gejala-gejalanya dalam berbagai bentuk rupa amalan dan penghayatan lahiriyah dan kerohanian.

2. Ramai orang dari berbagai peringkat dan golongan daripada yang terpelajar kepada orang-orang biasa dan daripada yang alim kepada yang jahil masing-masing tidak mau ketinggalan memperkatakan tentang dakwah Islamiah dan gerakan atau harakah Islamiah, meskipun mungkin mereka masing-masing mempunyai tujuan-tujuan yang berlainan. Pada masa kebelakangan ini pula peranan dan kedudukan ulama' menjadi bahan atau isu perbincangan dan penulisan dalam berbagai media massa di seluruh dunia, terutama selepas Ayatullah Khumeini pemimpin ulama' Syiah Iran berjaya menumbangkan kekuasaan Shah Iran yang dianggap oleh gerakan Islam sebagai lambang kekuasaan Thaghut yang terulung di zaman jahiliah moden ini.

3. Tulisan-tulisan, ulasan dan siaran-siaran berita mengenai gerakan atau kebangkitan Islam di seluruh dunia tersiar melalui media massa lebih banyak berdasarkan kepada sumber-sumber dari Barat yang umumnya bersikap berat sebelah dan memusuhi gerakan Islam. Di negara-negara Islam sendiri terdapat penulis-penulis/ wartawan-wartawan yang terdiri dari orang-orang Islam yang menjadi pengikut setia yang bertaqlid kepada mazhab penulis Barat itu. Apa yang mereka kata benar, benarlah dan apa yang mereka kata salah, salahlah!!

4. Adalah tidak mengherankan bahawa istilah "pelampau Ugama" yang mula-mula sekali diperkenalkan oleh Israil telah begitu lumrah dipakai oleh orang-orang Islam sendiri terutama dalam ucapan para pemimpin atau umara' yang mensifatkan diri mereka sebagai golongan Islam sederhana atau libral. Istilah tersebut mula-mula sekali digunakan oleh Israil terhadap golongan pemuda-pemuda Islam yang insaf dan bangun berjuang membela hak-hak mereka di tanahairnya yang dirampas oleh Israil.

5. Istilah mengenai harakah atau gerakan Islam menjadi kabur kepada kebanyakan orang-orang Islam sendiri akibat kekeliruan yang berpunca dari tipu daya yang halus dari musuh-musuh Islam itu. Mengenai tanggungjawab dan peranan ulama' di dalam harakah pula pada umumnya masyarakat Islam sendiri semacam telah menerima kenyataan atau hakikat bahawa para ulama' itu cukup menjadi penasihat atau memberi fatwa sahaja. Oleh yang demikian dalam kertas ini akan dihuraikan apakah dia harakah Islamiah dan ciri-ciri serta tujuannya dan apakah pula tanggungjawab para ulama'.