Harakah Islamiah

HARAKAH ISLAMIAH:

6. Harakah Islamiah atau gerakan Islam adalah berarti gerakan perubahan dan pembaharuan masyarakat yang "syamil" atau lengkap dan menyeluruh berdasarkan kepada iman dan nilai ketuhanan yang luhur dan tinggi bagi menegakkan matalamat atau pemerintahan Islam di atas muka bumi ini. Harakah Islamiah adalah memikul tugasnya sepanjang zaman bagi melaksanakan perintah Allah sebagaimana yang ditegaskan dalam ayatNya:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ.

Yang bermaksud: Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dilahirkan bagi manusia kerana kamu menyuruh kepada ma'ruf dan menegah daripada melakukan munkar serta kamu beriman kepada Allah ... " (1)

7. Tujuan Harakah Islamiah dapat disimpulkan seperti berikut:

Pertama  :  Menyampaikan dakwah Islamiah kepada seluruh manusia dalam bentuknya yang murni dan sentiasa mempunyai hubungan dengan zamannya dan permasaalahan semasa dan keperluan-keperluannya.
 
Kedua  :  Menggabungkan orang-orang yang menyahut dakwah Islamiah dan memberikan mereka kefahaman Islam serta mendidiknya menurut tarbiyah Islamiah bagi melayakkan mereka memikul tugas dakwah. Tenaga mereka hendaklah disusun pada menjalankan kerja dakwah dan berjihad untuknya.
 
Ketiga  :  Menghadapi dan menentang cabaran zaman moden samada dari pemikiran, sosial, politik, ekonomi dan akhlak di samping membina syakhsiah Islamiah atau keperibadian Islam yang mampu menghayati Islam dalam kehidupannya sehari-hari.
 
Keempat  :  Menegakkan masyarakat Islam yang berhukum kepada Syariat Islamiah dan memancarkan roh tauhid kepada segala ejensi dan urusan bernegara.
 
Kelima  :  Berkenalan dengan gerakan dan pertubuhan serta badan-badan Islam di seluruh dunia dan bekerjasama ke arah melaksanakan cita-cita kefahaman Islam yang bersatu dan memikul risalah Islam kepada seluruh Insan.
 

8. Bagi melaksanakan tujuan-tujuan harakah Islamiah ini maka gerakan Islamiah hendaklah bersifat "syamil" dan bersepadu bukan "juzii" atau serpehan yang terbahagi-bahagi. Ianya hendaklah berterusan bukan sementara atau mengikut keperluan mengatasi masaalah tertentu dalam sesuatu zaman sahaja. Bagi menentukan sesuatu gerakan itu dikenal sebagai harakah Islamiah ianya hendaklah mempunyai ciri-ciri berikut:

Pertama  :  Gerakan tersebut hendaklah mempunyai kefahaman yang syamil terhadap Islam sebagai addin, samada kefahaman dari segi akidah, kefahaman dari segi minhaj atau sistem yang dapat melaksanakan akidah tersebut. Tanpa mempunyai kefahaman yang sepenuhnya terhadap sifat fitrah Islam, (tasauwuur)- akidah dan sistemnya maka sukar untuk menegakkan hakikat kebenaran Islam di atas muka bumi ini.
 
Kedua  :  Ianya hendaklah mempunyai iltizam atau komitmen yang sepenuhnya terhadap tuntutan Islam samada dari segi akidah dan manhaj. Sekalipun kadang-kadang perlu melalui tempuh perjuangan yang panjang di antara percubaan dan kejayaan yang dicapai kemudiannya. Dalam hal ini gerakan itu hendaklah berterusan melakukan percubaan-percubaan dan meningkatkan tahapnya kepada ketinggian puncak Islam serta mampu mengatasi tuntutan-tuntutan kelemahan insan.
 
Ketiga  :  Gerakan tersebut hendaklah mempunyai kefahaman terhadap kenyataan atau realiti masyarakat manusia semasa khususnya kenyataan hidup masyarakat Islam dan sejauh mana mereka telah menyeleweng dan terpisah daripada nilai-nilai hidup Islam kerana terjerumus ke dalam lembah kehidupan jahiliah dan kesesatan. Tanpa mengetahui dengan jelasnya kedudukan ini sukarlah untuk menentukan cara-cara dakwah dan pendekatan yang sesuai bagi mereka.
 
Keempat  :  Ianya juga hendaklah mengetahui konsep dan sistem jahiliyah yang wujud di sekelilingnya serta mempelajari sistem dan kaedahnya. Segala tektik dan tipu-daya jahiliah terhadap Islam perlu juga diketahui. Tanpa mengetahui hal-hal tersebut sesuatu gerakan Islam sukar hendak melepaskan dirinya dari terjebak ke dalam perangkap jahiliyah samada sengaja atau tidak sengaja. Saiyidina Umar pernah mengatakan:

لا يعرف الاسلام من لم يعرف الجاهلية

Maksudnya: Orang-orang yang tidak mengetahui jahiliyah adalah tidak mengetahui Islam.


 
Kelima  :  Gerakan tersebut hendaklah menyusun langkah-langkah yang setanding dengan ancaman dan langkah gerakan jahiliyah dalam memusuhi Islam dan kaum muslimin selaras dengan firman Allah:

(2) وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ

9. Apabila ciri-ciri harakah Islamiah ini lengkap maka harapan kemenangan dan kejayaan gerakan Islamiah itu adalah lebih besar (dengan kehendak Allah jua) bagi mencapai cita-cita mengembalikan semula pemerintahan dan kedaulatan Islam dan mengembalikan manusia yang sesat ke dalam pangkuan agama Islam. Firman Allah:

(3) وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا

Maksudnya: Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai Muhammad) bahawa demi akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa dan ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (ugama Islam) yang telah diredhainya untuk mereka dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh-musuh), mereka terus beribadah kepadaKu dengan tidak menyengutukan sesuatu yang lain denganKu...."