Tuntutan Kepada Kewujudan Harakah Islamiah

TUNTUTAN KEPADA KEWUJUDAN HARAKAH ISLAMIAH:

10. Kerja-kerja Islam atau amal Islami tidak mungkin dilaksanakan secara individu atau perseorangan kerana kerja perseorangan itu jarang yang mampu menghadapi berbagai cabaran. Kerana itu kita saksikan dari sejarah Islam bahawa Rasulullah (s.a.w.) telah berusaha membentuk gerakan dengan membina keimanan dan mengasuh mereka dengan tarbiyatul Islamiah di kalangan para sahabatnya. Ini membuktikan bahawa amal harakah atau kerja berharakah adalah memerlukan pengembelingan tenaga perseorangan yang terarah dan dipadukan segala kekuatan dan dibina kesuburannya supaya menjadi gelombang yang kuat mampu merempuh dan merobohkan dengan berkesan dalam usaha meruntuh dan membina. (4)

11. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah (s.a.w.) itu membuktikan tuntutan Islam yang memerlukan wujudnya harakah Islamiah bagi memikul tugas secara berjemaah atau amal jamaii. Harakah Islamiah amat diperlukan dalam usaha menegakkan yang ma'ruf dan mencegah munkar dan menterap nilai-nilai tauhid dan ajaran Islam ke dalam jiwa umat manusia dan seluruh institusi hidup mereka yang mencakupi seluruh bidangnya. Dalam hal ini Dr. Yusuf Al Qardhawi telah menegaskan tentang perlunya kerja berjemaah atau amal jamaii dilaksanakan melalui harakah Islamiah kerana ianya dituntut oleh agama secara wajib dan dibuktikan oleh kenyataan-kenyataan yang ada. Pendapat beliau dapat disimpulkan seperti berikut:

(a) Berdasarkan bahawa Islam memerintahkan umat manusia supaya bersatu padu dan bantu membantu di atas kebajikan dan taqwa, sedangkan amal jamaii adalah merupakan amal kebajikan dan taqwa yang terpenting.

(b) Di samping itu Al Quran pula menghendaki ummah Islamiah menjadi suatu ummah yang menegakkan amal ma'ruf dan nahi munkar seperti dalam ayat Ali Imran yang telah disebutkan.

(c) Menurut kaedah syariah bahawa sesuatu yang tidak sempurna yang wajib itu melainkan dengannya maka ianya adalah wajib. Oleh kerana menegakkan masyarakat Islam yang berasaskan aqidah dan syariah wajib sedangkan hukum ini tidak dapat dilaksanakan kecuali dengan jemaah maka dengan sendirinya amal jamaii itu wajib diwujudkan.

(d) Kenyataan yang ada kini menunjukkan bahawa segala tenaga dan usaha perseorangan walau bagaimana ikhlas dan bersungguh-sungguh namun ianya tidak mampu memberi kesan yang diharapkan - sedangkan amal jamaii mampu mengumpulkan segala tenaga dan melakukan segala usaha yang boleh memberi kesan secara mendalam dan lebih berkekalan bagi mencapai maksud yang dicita-citakan.

(e) Kita dapati bahawa kekuatan golongan yang menentang Islam bekerja dalam bentuk kolektif atau jamaii. Mereka bersatu dalam satu barisan atau ikatan yang padu. Maka secara lojik akal dan pandangan syara' sudah tentu sukar diterima bahawa kekuatan musuh secara berjemaah itu dapat ditentang dengan kekuatan individu yang bertaburan. Bahkan yang sepatutnya kekuatan jemaah yang tersusun itu hendaklah ditentang oleh kekuatan jemaah jua, sebagaimana yang pernah diamanatkan oleh Abu Bakar As Siddiq kepada Khalid bin Al Walid: "Perangilah mereka dengan senjata yang sama dengan yang mereka gunakan untuk memerangi kamu, pedang dengan pedang, lembing dengan lembing dan panah dengan panah". (5)