|
HARAKAH ISLAMIAH DAN ULAMA'
12. Untuk membentuk harakah Islamiah supaya memenuhi kehendak " خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ " maka cara yang dilakukan oleh Rasulullah (s.a.w.) dan jalan yang diikuti serta para sahabatnya adalah satu-satunya cara dan jalan yang mesti dilalui oleh sekelian para daie. Para ulama' adalah orang yang bertanggungjawab memainkan peranan utama bagi memimpin ummah ke arah melaksanakan segala kerja atau amal Islami secara jamaii mengikut jalan dan cara yang dilakukan dan ditunjukkan oleh Rasulullah (s.a.w.) itu dan melaksanakan tugas dakwahnya.
13. Para ulama' adalah mereka yang menerima tanggungjawab untuk memikul amanah Allah dan RasulNya untuk melanjutkan dakwah dan menyebarkan Islam melalui ilmunya, kerana para ulama' adalah mewarisi ilmu Rasulullah yang ditinggalkannya iaitu Al Kitab dan Sunnahnya. Sebagaimana sabda Rasulullah (s.a.w.):
(6) وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا وَلَكِنَّهُمْ وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ فَقَدْ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
Maksudnya: Para ulama' adalah pewaris para nabi-nabi dan sesungguhnya para nabi tidak meninggalkan wang emas atau perak tetapi mereka meninggalkan pusaka ilmu, sesiapa yang mengambilnya maka sesungguhnya ia telah mengambil habuan yang cukup".
14. Siapakah para ulama' yang menerima tanggungjawab dalam pusaka yang ditinggalkan oleh para rasul itu. Alangkah beruntungnya mereka yang menjadi ahli warisan nabi-nabi itu kerana para nabi adalah manusia yang mempunyai kedudukan yang paling tinggi di sisi Allah untuk memimpin ummah dan membimbing manusia ke arah hidup yang bahagia dan diredai Allah. Para nabi adalah kekasih Allah yang terpilih sebagai lambang "insan kamil" para ulama' menjadi pengganti para nabi untuk menyampaikan kebenaran di sepanjang zaman. Para nabi dan para Rasul menyampaikan perkara hak dan kebenaran dan membawa manusia kepada jalan yang benar. Tugas itulah yang diwarisi dan diambil oleh para ulama'.
15. Alangkah mulia dan tingginya menjadi pewaris nabi. Tetapi tidak semua orang yang menerima warisan itu menjadi mulia sekiranya ia tidak berhati-hati menjaga dan memelihara dengan cukup amanah pesaka yang diterimanya itu. Tidak kurang orang yang menerima barang pesaka itu boleh merosakan dan membinasakannya. Orang yang tidak tahu memelihara pesaka yang diterimanya dan tidak pandai menguruskannya bahkan berlaku curang dan tidak jujur pasti akan merosakkan pesaka yang diterimanya itu. Begitulah juga halnya para ulama' yang tidak amanah dan mengkhianati pesaka yang diterimanya dari Rasulullah (s.a.w.) akan menyebabkan ianya dipandang hina dan dilaknat Allah. Ulama' yang tidak jujur terhadap kebenaran ilmunya dan tidak bekerja memimpin ummah dan tidak sanggup mempertahankan kebenaran dan kesucian ugama Islam adalah tergolong sebagai ulama' yang mengkhianati dan mensia-siakan pesaka yang diwarisinya dari para nabi.
16. Jadi bukannya semua para ulama' layak menjadi pewaris nabi bahkan sebaliknya ada ulama' yang menjadi pengkhianat para nabi, kerana ada orang yang memiliki gelar ulama' tetapi akidahnya tidak sesuai dengan Al Quran dan Sunnah Rasul. Ada pula yang bergelar ulama' dan bercakap tentang menghayati Islam tetapi kelakuan dan amalnya sendiri tidak sesuai dengan Al-Quran dan Sunnah Rasul. Ada mereka yang bergelar ulama' dan mendabik-dabik dada untuk berbahas tentang Islam tetapi peribadinya tidak mencerminkan peribadi yang dituntut oleh Al-Quran dan Sunnah. Ada pula yang menjadi ulama' dan diberi jawatan untuk memimpin masjid supaya memakmurkannya mengikut tuntutan Al Quran dan Sunnah, pada hal mukanya setahun sekali pun jarang nampak di masjid kecuali kerana jumaat !! Lebih malang ada ulama' yang menjual ayat-ayat Allah untuk menjaga periok nasi. Ada ulama' yang takutnya kepada manusia lebih dari takutnya kepada Allah. Ulama' seperti inilah yang diperingatkan oleh Rasulullah dengan sabdanya:
(7) ويل لأمتى من علماء السوء يتخذون هذا العلم تجارة يبيعونها من امراء زمانهم ربما لانفسهم لا اربح الله تجارتهم
Maksudnya: celakalah bagi umatku dari perbuatan ulama' jahat, mereka memperdagangkan ilmu ini yang mereka menjualnya kepada para penguasa di zaman mereka dengan maksud untuk mencari keuntungan diri mereka sendiri semoga Allah tidak memberi keuntungan pada perdagangan mereka itu."
17. Jadi ulama' pewaris nabi adalah ulama' sebenar iaitu ulama' yang bersesuaian dengan apa yang dikehendaki oleh Al Quran dan Sunnah Rasul. Ulama' yang disifatkan oleh Al Quran sebagai:
(8) إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang takut kepada Allah dari kalangan hambanya hanya sanya para ulama'.." Berdasarkan maksud ayat maka ulama' yang tidak takut kepada Allah, bahkan lebih takut kepada manusia bukanlah ulama' pewaris nabi, kerana ulama' pewaris nabi adalah tidak takut kepada yang selain dari Allah kerana ilmunya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Sabda Rasulullah s.a.w. :
(9) العالم اذا اراد بعلمه وجه الله هابه كل شئ واذا اراد بعلمه الكنوز هاب من كل شئ
Maksudnya: orang yang alim itu jika ia menghendaki dengan ilmunya untuk mencari redha Allah maka dia akan ditakuti oleh segala sesuatu dan sekiranya dia menghendaki dengan ilmunya itu untuk memperbanyak perbendaharaan hartanya maka dia akan takut kepada segala benda.
|