|
MENEGAKKAN AMAL DAKWAH ISLAMIAH YANG SYAMIL:
19. Tanggungjawab melaksanakan perkara ini adalah menjadi tanggungjawab utama para ulama'. Dakwah Islamiah yang lengkap dan syamil adalah berarti memberikan kefahaman mengenai tasauwuur Islam atau pandangan hidup Islam yang hakiki. Para ulama' hendaklah menjelaskan bahawa dakwah Islamiah adalah mencakupi semua bidang kehidupan dan tanpa memisah-misahkan di antara bidang akidah, ibadat, akhlak, politik, ekonomi, sosial, kebudayaan, pendidikan dan sebagainya. Para ulama' hendaklah tegas dan berani melaksanakan dakwah yang syamil ini tanpa berbelit-belit dan berdolak dalik kerana yang demikian hanya akan mengelirukan ummah. Ulama'-ulama' hendaklah bersikap tegas dan mempunyai pendirian yang menolak sebarang anasir yang akan memisahkan di antara "ugama" dan lain-lain bidang kehidupan terutama bidang politik dan kekuasaan pemerintahan.
20. Kekeliruan dan kekacauan mengenai tasawwur Islam sudah terjadi begitu lama dan berleluasa serta sangat mempengaruhi fikiran dan pandangan hidup masyarakat Islam hingga ke hari ini. Kesemuanya ini berpunca dari pendirian setengah ulama' yang tidak berani atau tidak berdaya menolak atau menentang serangan pemikiran Barat yang berlatar belakangkan semangat salib dan fahaman sekular yang memusuhi Islam. Kekeliruan dan kekacauan di bidang dakwah Islamiah melahirkan kefahaman dan anggapan yang salah bahawa ugama itu tidak lebih dari urusan-urusan ibadat dan amalan-amalan ritual atau upacara-upacara tertentu dan hukum-hukum mengenai urusan syahsiah atau perseorangan semata-mata.
21. Kefahaman yang salah seperti ini yang mempengaruhi fikiran sebahagian ulama' menyebabkan mereka tidak dapat menghubungkan dakwah yang disampaikan itu dengan kehidupan sehari-hari. Jangankan hendak dihubungkan dengan persoalan-persoalan yang besar seperti sistem ekonomi, politik dan kebudayaan supaya mengikut syariat, bahkan persoalan yang mengenai makanan dan pakaian yang agak lebih senang dihayati pun jarang dihubungkan dengan dakwah. Tidak hairanlah jika kita saksikan para ulama' berkenaan itu sendiri tidak begitu peduli untuk mengelakkan perkara-perkara syubhat dalam makanan dan minuman atau tidak memperdulikan tentang pendedahan aurat ahli-ahlinya sendiri. Kadang-kadang lebih malang lagi ada di antara mereka itu yang merasa megah dengan sikapnya yang longgar terhadap hukum-hukum Islam itu kerana dipandang sebagai "ulama' moden" kononnya !!
22. Dalam konteks ini para ulama' pewaris para nabi hendaklah menjelaskan bahawa pemisahan ugama dari soal-soal kehidupan terutama politik dan kekuasaan pemerintahan adalah hasil dari usaha penjajah yang sekian lama berusaha hendak menghancurkan Islam sebagai Nidzamul Hayat atau doktrin cara hidup. Penjajah tidak bimbang kepada Islam sebagai "ugama" malah mereka memberi kerjasama untuk menjaga "ugama Islam yang hanya mencakupi urusan ibadat dan nikah cerai itu". Apa yang mereka sangat bimbangkan ialah Islam sebagai doktrin hidup.
23. Bukti sejarah penjajahan di sebelah sini dapat kita saksikan daripada usaha penjajah Belanda melalui Snouck Hurgronje seorang ahli oreintalis Belanda yang bertugas sebagai penyelidik dan pensyarah di Universiti Lieden Belanda pada awal tahun 1980an. Snouck Hurgronje telah menjalankan penyelidikan mengenai umat Islam Indonesia dan ulama'nya pada sekitar tahun 1884. Dia masuk Islam dan memakai nama "Abdul Ghafar Al Holandi" lalu pergi ke Mekah dan menjalankan kajiannya secara halus untuk menghancurkan harakah Islamiah di Indonesia terutama di Aceh yang pada masa itu para ulama' dan kaum muslimin berjuang menentang penjajahan Belanda. Hasil dari kajian tersebut Snouck Hurgronje telah berjaya memberikan saranan sebagai dasar pemerintahan Belanda terhadap Islam di Indonesia. Di antara 8 perkara saranan itu ialah: "Tidak perlu takut kepada Islam sebagai ugama , tetapi yang perlu ditakuti ialah Islam sebagai doktrin politik. Biasanya gerakan ini dipimpin oleh golongan kecil yang fanatik, ya'ni para ulama' yang berjuang terhadap cita-cita Pan Islamism. Golongan ini akan lebih berbahaya kalau pengaruhnya meluas kepada petani di desa-desa. Kerana itu disarankan supaya pemerintah bersikap neutral terhadap Islam sebagai ugama dan bertindak tegas terhadap Islam sebagai doktrin politik." (10)
24. Para ulama' di dalam melaksanakan dakwah melalui harakah Islamiah hendaklah sentiasa memberikan kesedaran bahawa polisi atau dasar Belanda terhadap Islam yang dianjurkan oleh Snouck Hurgronje itu terus diamalkan oleh golongan yang mewarisi pemikiran dan falsafah politik yang ditinggalkan oleh penjajah kepada orang-orang Islam sendiri. Para ulama' yang gagal memahami dan menyedarkan ummah atas hal ini adalah mereka yang tidak berperanan dalam harakah Islamiah. Mereka selalunya akan bersikap salbi atau negatif dan apolajetik terhadap isu-isu yang mencabar Islam. Dakwah mereka hanya berkisar di sekitar ibadat khusus secara lahiriah dan amalan-amalan sufiah yang terpencil dari roh jihad Islam.
|