Siasah Syariyyah Konsep Dan Penerapannya

بسم الله الرحمن الرحيم

SIASAH SYARIYYAH, KONSEP DAN PENERAPANNYA

OLEH
MOHD. NAKHAIE HJ. AHMAD


PENDAHULUAN

الحمد لله وحده صدق وعده ونصر عبده وأعز جنده وهزم الاحزاب وحده والصلاة والسلام على من نبي بعده وعلى اله وصحبه ومن تبعه ووالاه.

Saya telah diminta oleh Persatuan Ulamak Malaysia untuk mengupas tajuk di atas kerana pandangan berat persatuan itu terhadap perkembangan yang kebelakangan ini terhadap beberapa langkah oleh golongan tertentu hendak mengiakan setiap langkah dan tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia dan mengalaskan langkah dan tindakan itu dengan hujah siasah syariyyah untuk dianggap langkah-langkah dan tindakan itu sebagai bersifat Islam dan berlandaskan kaedah-kaedah Islamiyah.

2. Oleh kerana percubaan-percubaan untuk menjastifikasikan atau mengiakan langkah-langkah dan tindakan kerajaan itu dengan kaedah-kaedah Islam, pada hal orang-orang yang merancang dan meluluskan langkah-langkah dan tindakan itu sendiri tidak merujukkan kepada sumber-sumber hukum Islam dalam merancang dan meluluskan langkah-langkah dan tindakan itu, maka langkah-langkah mengiakannya, mengandungi bibit-bibit keterlaluan dan andaian yang sangat tipis untuk dipadankan dengan kebenaran. Sungguhpun demikian, pengiaan itu disebarkan dengan meluas yang boleh membawa kekeliruan kepada masyarakat umum.

3. Perkembangan ini tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa dicarigali kebenaran untuk menyuluh masyarakat mengikut kaedah-kaedah syare' yang sebenar dengan tujuan menyedarkan orang ramai dan memahamkan mereka mengenai sesuatu masalah keagamaan supaya mereka tidak terperangkap ke dalam diayah politik Mechiavelli yang boleh membawa mereka ke muara kesesatan.

4. Saya berterima kasih kepada Persatuan Ulamak Malaysia kerana memberi kepercayaan kepada hamba Allah yang dhaif ini dan berterima kasih pula kepada para ulamak dan Allamah yang sudi membincangkan tulisan ini sehingga dapatlah diteliti benar dan salahnya sebelum tulisan ini diketahui oleh orang ramai dan dapatlah pula penulis menghindarkan diri dari kesalahan dan kekeliruan.