SIASAH SYAR'IYYAH
7. Dari segi bahasa perkataan siasah itu bermakna cara dan bentuk sesuatu perkara yang dilaksana dan diuruskan dan fungsi ini berkaitan dengan tugas ketua mengendalikan urusan orang-orang yang diketuainya. Di sini bermakna bahawa siasah itu ialah cara dan keadaan serta bentuk seseorang ketua mengendalikan urusan orang-orang yang diketuainya. Oleh kerana hubungan antara ketua dengan orang yang diketuainya merupakan hubungan dalam suatu jama'ah, maka pengertian yang lain ialah siasah itu merupakan keadaan atau corak atau cara pemimpin jama'ah mengendalikan urusan jama'ahnya untuk mencapai tujuan dan matlamat jama'ah itu atau mendapatkan maslahat bagi orang-orang yang menjadi anggota jama'ah itu. Kemudian digunakan di dalam kaedah perundangan sebagai undang-undang dan peraturan yang dibentuk oleh pemerintah untuk menjaga kelakuan, kepentingan atau maslahah dan ketenteraman serta keadaan yang stabil.
8. Siasah Syar'iyyah ialah cara-cara dan bentuk pengendalian urusan ummah dengan peraturan-peraturan dan undang-undang yang mengikut kehendak syara' yang dapat memenuhi kehendak kepentingan manusia dan keperluan mereka. Perkara yang paling utama di dalam siasah ialah maslahah atau kepentingan orang ramai dan penyediaan keperluan hidup mereka. Untuk mencapai tujuan menjaga dan memelihara kepentingan manusia tidak ada siasah yang lebih bijaksana selain daripada melaksanakan syari'at Allah, kerana syari'at itulah yang paling sempurna dan lengkap yang dapat menjamin maslahah manusia di dunia dan akhirat. Bahkan tujuan Allah mengutus rasul dan menurunkan al-Kitab sebagai petunjuk kepada manusia adalah untuk memelihara maslahah manusia, Allah SWT berfirman: Ertinya Dan tidak kami utuskan engkau wahai Muhammad, melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam. Dan lagi firmannya:
íõÑöíÏõ Çááøóåõ Èößõãõ ÇáúíõÓúÑó æóáóÇ íõÑöíÏõ Èößõãõ ÇáúÚõÓúÑó .... ÓæÑÉ ÇáÈÞÑÉ 185
Ertinya Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak berkehendakkan kepayahan bagi kamu.
9. Dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah yang menjelaskan pemeliharaan maslahah manusia itu sebagai matlamat dan tujuan syara' memang banyak untuk dihuraikan satu persatu di sini dan memadailah ditegaskan bahawa sesuatu yang membawa kepada maslahah manusia adalah syar'i dan sesuatu yang bertentangan dengan maslahah manusia adalah tidak syar'i dan apabila sesuatu langkah diambil dan langkah itu membawa maslahah kepada manusia, maka langkah itu dikatakan siasah yang syar'i dan tindakan yang diambil untuk melaksanakan syariat Allah adalah untuk menjaga maslahah manusia.
10. Di antara syari'at dan maslahah mempunyai pertalian yang berkaitan. Sementara tujuan syari'at itu menjaga maslahah manusia, maka maslahah yang terdapat pada sesuatu tindakan dan langkah itu menjadikan langkah itu syar'i. Sesuatu hukum syari'at yang tidak dapat dikesan maslahahnya atau tidak diketahui, tetap mengandungi maslahah. Kerana manusia tidak mengetahui adanya maslahah dalam hukum itu, tidak bererti tidak ada maslahah dalam hukum itu. Dalam hal ini kemestian mematuhi hukum itu tetap wujud dan dipatuhi secara Ta'abbudi, kerana Allah SWT yang amat mengetahui maslahah manusia yang terkandung di dalam hukum itu.
11. Apabila tindakan pemerintah di dalam mengendalikan urusan ummah untuk menjaga maslahah mereka dilaksanakan mengikut kehendak syari'at atau untuk memenuhi maslahah yang nyata, maka tindakan itu adalah tindakan yang memenuhi siasah syar'iyyah. Jika tidak, maka tindakan itu dinamakan siasah dhalimah yang syari'at mengharamkannya.