PENJELASAN MENGENAI MASLAHAH
12. Maslahah dilihat oleh manusia dengan berbagai-bagai pandangan. Apa yang dilihat oleh segolongan manusia sebagai maslahah, mungkin tidak dilihat demikian oleh golongan yang lain. Bukan sahaja pandangan terhadap maslahah itu berbeza menurut pandangan orang yang melihatnya, bahkan pandangan terhadapnya mungkin berbeza oleh faktor masa dan tempat dan cara melihatnya. Maslahah yang dilihat dengan ukuran manakah yang diakui oleh syari'at dan tindakan yang membawa kepada maslahah itu diakui sebagai syar'i kerana dapat memenuhi matlamat syari'at dan sehingga siasah yang dilaksanakan untuk memelihara maslahah itu dapat diakui sebagai siasah syar'iyyah?.
13. Maslahah yang dilihat oleh syari'at sebagai maslahah yang sebenar dengan cara kaedahnya sahaja yang dikira sebagai maslahah yang diakui dapat dijadikan tindakan mencapainya sebagai tindakan syar'i. Dan apa yang dilihat oleh syara' sebagai mafsadah adalah perkara yang tidak mempunyai maslahah walaupun dipandang oleh manusia sebagai maslahah. Contohnya, setengah pihak melihat bahawa mengekalkan penjualan arak dan perjudian itu mempunyai maslahah tertentu dari segi ekonomi dan menyediakan pekerjaan kepada orang ramai. Atau, seperti mana masaalah yang ditimbulkan sekarang ini mengenai ura-ura melarang orang Islam bekerja di Kasino Genting dan berjudi di sana. Diantara pertimbangan yang diambil kira sebagai maslahah ialah jika larangan itu dilaksanakan orang Islam akan kehilangan pekerjaan. Kehilangan pekerjaan, bagi orang-orang Islam di tempat perjudian itu dianggap tidak mempunyai maslahah kepada mereka pada pandangan kerajaan. Tetapi berhentinya orang-orang Islam dari tempat maksiat itu di lihat oleh syara' sebagai maslahah, kerana pekerjaan mereka di tempat itu membawa mafsadah kepada agama dan mendedahkan mereka kepada kemaksiatan. Jadi apa yang di lihat sebagai tidak mempunyai maslahah dan kerana itu Islam dibiarkan terus bekerja ditempat haram itu, tidak diakui oleh syara' bahkan syara' melihat sebaliknya. Kerana maslahah yang diakui itu ialah perkara yang dilihat oleh syara' sebagai maslahah, maka tepat sekali maksud ini dirumuskan oleh al-Ghazali di dalam difinasi maslahah sebagai
المحافظة على مقصود الشرع
yakni memelihara maksud syara'.
14. Tujuan syara' yang dikehendaki supaya dipelihara itu ialah agama, diri, akal, keturunan dan harta benda. Keselamatan dan kesempurnaan kelima-lima perkara ini adalah menjadi matlamat syara' daripada hukum-hukum yang di tentukannya. Yang dimaksudkan dengan agama di sini ialah seluruh ajaran agama yang berbentuk akidah dan sistem kehidupan, termasuk juga sistem negara. Dengan itu memelihara agama itu tidak sahaja menyediakan suasana yang sesuai untuk setiap orang beribadat dan berpegang kepada akidah yang betul, tetapi juga memelihara dan mempertahankan sistem Islam yang berjalan di dalam sesebuah negara adalah juga termasuk di dalam lingkungan memelihara agama.
15. Perkara-perkara yang mengandungi maslahah itu mempunyai kadar dan kualiti atau nilai maslahah yang tidak sama. Kerana itu maratabat maslahah itu dibahagikan kepada tiga,
1. Maslahah daruruyyah,
2. Maslahah hajiyyah,
3. Maslahah kamaliyyah atau tahsiniyyah.
Pembahagian ini adalah penting bagi menentukan hukum yang di bina di atas maslahah. Kerana hukum keatas perkara yang mempunyai maslahah daruriyyah tidak sama dengan perkara yang mempunyai maslahah hajiyyah atau kamaliyyah dan demikian juga di dalam menentukan atau mendahulukan maslahah keatas nas di dalam membina hukum mengenai sesuatu perkara.
16. Maslahah daruriyyah ialah sesuatu yang mesti ada atau mesti dilaksanakan atau mesti ditiadakan untuk memelihara agama, diri, akal, keturunan dan harta benda. Mengambil langkah-langkah supaya berjalan penghayatan agama dengan selamat dan sempurna adalah langkah yang tergulung di dalam perkara maslahah daruriyyah. Demikian juga melaksanakan hukum-hukum islam mengenai pemeliharaan keselamatan diri, akal, keturunan dan harta benda merupakan maslahah daruriyyah, kerana syari'at Islam itu bertujuan menjaga maslahah manusia di dunia dan akhirat.
17. Maslahah hajiyyah pula ialah perkara-perkara yang di perlukan bagi mendapat kelonggaran dan mengangkat atau menghapuskan kesempitan yang membawa kepada kesusahan dan kepayahan yang menghilangkan maksud syara'. Apabila perkara itu diabaikan orang akan menghadapi kesulitan dan kepayahan yang tidaklah sampai keperingkat bincana umum.
18. Maslahah kamaliyyah ialah perkara yang memperelokkan kehidupan dan memperindahkannya. Perkara-perkara memperelokkan penghayatan agama, memperindahkan kelakuan diri dan lain-lain adalah termasuk di dalam perkara yang mengandungi maslahah kamaliyyah.
19. Peraturan-peraturan syara', jika diteliti, mengandungi maslahah-maslahah ini. Ia mengandungi peraturan-peraturan dan hukum-hukum yang memelihara maslahah daruriyyah seperti hukum memelihara akidah, memelihara keturunan dengan adanya peraturan yang lengkap mengenai perkahwinan, memelihara diri dengan peraturan-peraturannya yang berkaitan dengan menjaga makanan, minuman dan pakaian.
Demikian juga ia mengandungi maslahah hajiyyah seperti mengqasarkan sembahyang bagi orang musafir, mengharuskan qaradh, musaqah dan jual beli dengan cara al-salam dan membayar diyah bagi pembunuhan tidak niat melakukan pembunuhan dan lain-lain. Maslahah kamaliyyah pula seperti syari'at mengenai kebersihan, adab-adab makan dam minum dan lain-lain.
20. Maslahah daruriyyah adalah maslahah yang asas dan pangkal kepada maslahah yang lain. Maslahah yang lain itu merupakan maslahah yang lengkap ada menyempurnakan maslahah daruriyyah itu dan kedua-duanya bergantung kepada nya. Kerana itu sekiranya hilang maslahah daruri'yyah, maka maslahah yang lain tidak diambil kira lagi. Sebabnya maslahah daruriyyah itu menjadi asas ialah kerana maslahah-maslahah agama dan dunia bergantung kepada pemeliharaan kelima-lima perkara yang tersebut dahulu, sehingga jika perkara-perkara itu binasa, tidak bermakna lagi ujudnya dunia ini. Demikian juga kehidupan ukhrawi bersandar kepada pemeliharaan kepentingan itu, Andai kata tidak ada agama, tidak ada pembalasan yang diharapkan di akhirat. Jika tidak ada diri orang mukallaf, tidak ada orang yang beragama, jika tidak ada akal, akan tiadalah kewajipan beragama, jika tidak ada keturunan, tidak ada adat resam yang akan kekal dan jika tidak ada harta benda, tidak tinggal lagi kehidupan di bumi. Semuanya ini merupakan kenyataan yang tidak lagi memerlukan dalil.
21. Sungguh pun demikian, mencarikkan maslahah hajiyyah dan kamaliyyah, akan memberi kesan dan menjejaskan maslahah daruriyyah, kerana maslahah-maslahah ini berkaitan diantara satu sama lain. Keberanian mencarik-carikkan maslahah yang lebih rendah martabatnya, adalah sebagai persediaan untuk mencarik-carikkan maslahah yang lebih tinggi. jadinya maslahah yang lebih rengan dan rendah nilainya itu menjadi pengawal dan penjaga kepada maslahah yang lebih tinggi.