MASLAHAH DAN IJTIHAD
22. Kedudukan maslahah sebagai tujuan syara' telah menyediakan ruang yang luas bagi penggunaan fikiran dalam menentukan hukum. Ini adalah kerana syara' telah menetapkan dasar-dasar dan kaedah-kaedah hukum yang boleh memenuhi keperluan dan maslahah manusia di setiap zaman dan tempat menerusi penggunaan akal dan panduan dasar-dasar dan kaedah-kaedah syara' bagi menyelesaikan masalah manusia yang sentiasa berubah-ubah. Maslahah yang menjadi tujuan syara' yang terdapat di dalam sesuatu perkara baru yang dihadapi oleh manusia itu, dapat dijadikan ukuran dan pertimbangan dalam menentukan hukum dan menghuraikan hukum tersebut secara terperinci mengenainya.
23. Pertimbangan terhadap maslahah secara nyata dan pasti dapat dilihat didalam penggunaan QIYAS sebagai satu daripada sumber-sumber hukum dalam Islam, selepas al-QURAN, al-SUNNAH dan IJMA'. Justeru salah satu daripada rukun Qiyas itu ialah persamaan ialah yang terdapat didalam perkara yang telah ditentukan hukumnya oleh nas dengan illah dalam perkara yang hendak diketahui hukumnya. Sedangkan illah itu sendiri merupakan hikmah yang mendorong sesuatu hukum itu disyariatkan iaitu maslahah yang hendak dicapai dan mafsadah yang hendak dihindarkan atau dikurangkan. Atau gambaran yang nyata dan tepat yang diandaikan adanya hikmah tersebut dalam sesuatu perkara yang hendak ditentukan menerusi Qiyas itu.
24. Penggunaan fikiran dengan cara ijtihad berdasarkan penggunaan Qiyas menunjukkan bagaimana ruang yang luas telah diberikan kepada penggunaan fikiran yang matang dan memberikan gambaran yang nyata bagaimana pentingnya maslahah didalam menentukan hukum dan penyelesaian maslahah didalam menentukan hukum dan penyelesaian masalah manusia mengikut kaedah Islam.
25. Penggunaan ijtihad menerusi Qiyas bagi menentukan dalam perkara-perkara yang tidak ditentukan hukumnya oleh nas dan ijma' memerlukan pemahaman yang betul terhadap illah yang terdapat didalam perkara yang telah ditentukan hukumnya oleh nas dan illah yang terdapat dalam perkara baru yang hendak diqiyaskan hukumnya dengan hukum perkara yang telah ditentukan oleh nas. Pemahaman ini memerlukan kita mengkaji penomena illah itu dari berbagai-bagai aspek dan mengkaji pula aspek mana yang diakui oleh syara' yang dapat digunakan dalam kaedah anoligi atau Qiyas ini.
26. Aspek pertama ialah aspek tujuan, iaitu mengkaji illah itu sama ada ia merupakan maslahah daruriyyah, hajiyyah atau kamaliyyah. Aspek kedua, ialah kualiti illah itu dalam mencapai tujuan iaitu maslahah, adakah illah itu dapat mencapai tujuan secara pasti, atau secara dzan atau secara ragu (syak) atau secara waham atau tidak mencapai tujuan secara pasti. Aspek ketiga ialah aspek penerimaan syara' terhadap illah itu sendiri atau aspek iktibar.
27. Kajian-kajian yang dibuat keatas hukum-hukum yang terdapat didalam al-Quran dan al-Sunnah, menunjukkan bahawa diantara hukum-hukum itu telah dijelaskan illah itu sama ada dengan soreh (terang) atau kinayah (tidak langsung) dengan cara yang dapat dilihat didalam nas itu sendiri. Terdapat pula hukum terhadap sesuatu perkara, tetapi tidak diterangkan illah hukum itu.
28. Dalam hukum yang lain pula, terdapat hukum yang bersama dengan gambaran illah, tetapi gambaran itu tidak pula menunjukkan ianya diakui oleh syara' dan ada pula sesuatu perkara itu telah disebut hukumnya oleh syara' dan terdapat pula didalam yang ditetapkan itu suatu gambaran yang sesuai dengan hukum yang lain atau tidak syara' tidak menyebut suatu hukum mengenai perkara tetapi gambaran yang terdapat dalam perkara itu sesuai dengan suatu hukum tertentu dan gambaran itu diakui oleh syara' dengan dalil-dalilnya.
29. Semua aspek-aspek ini perlu dikaji didalam menggunakan ijtihad menerusi dasar Qiyas dan didalam memberikan pertimbangan terhadap maslahah untuk menentukan sesuatu hukum mengenai perkara-perkara yang dihadapi oleh manusia yang tidak ditentukan hukumnya didalam al-Quran. Jika sesuatu hukum yang telah ditentukan oleh nas keatas sesuatu perkara, telah dijelaskan illahnya, penentuan hukum yang dilakukan ialah dengan menetapkan hukum yang sama keatas perkara-perkara lain yang tidak disebutkan oleh nas yang mempunyai illah yang sama dengan perkara yang disebutkan hukumnya oleh nas.
30. Sekiranya sesuatu perkara itu disebutkan hukumnya, tanpa disebutkan illahnya, maka illah itu hendaklah dicari menerusi ijtihad. Kemudian hukum itu dikenakan keatas perkara-perkara lain yang mempunyai illah yang dikira menjadi illah kepada hukum yang ditentukan. Tetapi illah yang dicari itu bukannya sekadar adanya munasabah antaranya dengan hukum, tetapi mestilah ada alasan daripada nas-nas yang lain yang menunjukkan illah yang didapati menerusi ijtihad itu, diakui oleh syara'.
31. Hukum yang disebut bersama-sama dengan gambar illah tetapi tidak ada bukti yang menunjukkan syara' memperakukan illah itu, seperti hukum membatalkan hak warisan bagi waris yang membunuh orang yang akan diwarisi hartanya, ulama Usul berbeza pendapat mengenai sama ada ia boleh digunakan untuk mengqiyaskannya dengan perkara lain untuk ditentukan hukumnya. Menurut sebahagian daripada mereka, hukum seperti ini termasuk dalam hukum ta'abbudi.
32. Jika hukum yang disebutkan oleh syara' keatas sesuatu perkara dan terdapat dalam perkara itu suatu gambaran illah yang sesuai dengan hukum yang lain daripada hukum yang ditentukan dan gambaran illah itu pula diakui oleh syara' dengan nas-nas syara' yang lain atau jika perkara itu tidak disebutkan hukum oleh syara' tetapi gambaran illah yang terdapat didalamnya sesuai dengan sesuatu hukum dan gambaran itu juga terbukti dengan dalil-dalil sebagai gambaran yang diakui syara', maka hendaklah dilihat sama ada gambaran itu maslahah daruriyyah atau hajiyyah atau kamaliyyah. Kalau gambaran itu menepati maslahah daruriyyah, ia harus dijadikan illah yang dapat ditentukan hukum keatas perkara-perkara lain mengikut keadaan yang terdapat dalam hukum itu. Walaupun hukum itu bertentangan dengan nas tertentu.
33. Keadaan hukum yang terakhir ini dinamakan masalah mursalah atau dinamakan oleh al-Ghazaly sebagai istislah. Bidang inilah merupakan bidang hukum yang terpenting didalam siasah syar'iyyah. Kerana seperti yang dikatakan oleh Khallaf bahawa siasah syar'iyyah itu ialah beramal dengan masalah mursalah dan kerana mentadbir dan mengendalikan urusan untuk mendapatkan maslahah itu tidak dapat dicapai dengan sempurna kecuali pemerintah itu mempunyai ruang yang luas untuk mengamalkan prinsip masaleh mursalah.
34. Menentukan langkah-langkah tertentu untuk menjaga dan memelihara maslahah yang bersifat daruriyyah dan maslahah itu suatu maslahah yang pasti dicapai menerusi tindakan itu, pernah diambil oleh sahabat-sahabat, terutama, Sayyidina Umar Ibn Khattab r.a. walaupun tindakan-tindakan dan langkah-langkah itu bertentangan dengan nas-nas tertentu. Kata Imam al-Qurafy, "Ketahuilah bahawa kelonggaran kepada pemerintah didalam hukum-hukum siasah tidak bertentangan dengan syara' bahkan diperakukan oleh kaedah-kaedah syara' dari berbagai-bagai segi.
35. Pertama: Kerosakan telah banyak berlaku dan merebak dengan meluas. Tidak seperti mana zaman awalan Islam. Akibat daripada itu berlakunya perbezaan hukum dengan cara yang tidak terkeluar daripada syara' secara keseluruhannya. Kerana Rasulullah SAW ada berkata,
Ertinya: tidak ada madharat dan dimadharatkan.
Meninggalkan undang-undang ini akan membawa kepada madharat. Nas-nas yang disebut berthabit dengan penafian terhadap kepayahan, memperkuatkan kenyataan ini.
36. Kedua: Maslahah mursalah telah diperkatakan oleh segolongan ulama, iaitu maslahah yang tidak terdapat didalam syara' pengakuan keatasnya atau penolakan terhadapnya. Penegasan tentang penggunaan maslahah mursalah ini dipastikan daripada sahabat-sahabat Rasulullah yang mengamalkan beberapa tindakan berdasarkan semata-mata kepada maslahah, bukan berdasarkan perakuan dalil. Misalnya pembukuan al-Quran, perlantikan Umar oleh Abu Bakar, penyusunan jabatan-jabatan, membuat jalan-jalan, mengadakan penjara dan lain-lain daripada perkara-perkara yang tidak terdapat sebelumnya contoh-contoh bahkan dilakukan perkara-perkara itu, semata-mata kerana maslahah.
37. Ketiga: Syara' telah mengetatkan kesaksian didalam banyak riwayat mengenainya dan mensyaratkan dalam syahadah bilangan tertentu dan kemerdekaan. Sedangkan diperluaskan amalan-amalan yang berkaitan dengan akad seperti 'ariyah dan musaqah kerana keperluan daruri. Kesaksian dalam perbuatan zina tidak diterima melainkan empat orang dan diterima kesaksian dalam pembunuhan dengan dua orang sahaja, kerana tujuan tujuannya ialah untuk menutup kemungkaran itu. Walaupun perbuatan membunuh itu lebih besar. Perbezaan dan kepelbagaian ini adalah di antara perkara-perkara yang diakui seperti yang dapat dilihat daripada kaedah-kaedah syara'."
38. Tetapi, baik didalam melihat persesuaian, maupun didalam menilai maslahah dan menentukannya untuk menjadi sandaran hukum, bukanlah boleh dilakukan sewenang-wenangnya sahaja, Begitu juga bukanlah boleh ditolak atau diabaikan langsung pertimbangan maslahah itu dan membataskannya didalam perkara-perkara yang tersebut dalam nas sahaja, sehingga apabila terdapat perkembangan-perkembangan baru dan perubahan-perubahan dalam keadaan tempat dan masa, perubahan-perubahan itu tidak diambil kira didalam menentukan hukum sehingga menjadikan hukum itu sempit dan tidak sesuai dengan keadaan. Apabila hukum yang ditentukan itu tidak sesuai, maka berlakulah perkara yang bertentangan dengan maslahah hamba dan menimbulkan keadaan yang tidak stabil. Ini sudah tentu berlawanan dengan tujuan syara'.
39. Sebab itu, batas-batas yang membolehkan penggunaan maslahah itu mestilah ditentukan dan difahami secara yang benar untuk menjadikan langkah yang diambil itu sebagai siasah yang syar'i dan tidak memasukkan siasah dhalimah ke dalam siasah yang syar'ie secara sewenang-wenangnya seperti yang dilakukan oleh setengah-tengah golongan yang cuba mengiayakan apa-apa juga tindakan dan langkah yang diambil oleh pemerintah, walaupun sewaktu tindakan dan langkah itu diambil pehak pemerintah itu sedikitpun tidak memberi perhatian kepada kaedah-kaedah syara' dan juga dasar-dasarnya yang umum dan yang khusus.
40. Imam al-Ghazaly telah menghuraikan beberapa contoh didalam penggunaan alasan maslahah untuk menentukan hukum. Nas-nas al-Quran menunjukkan larangan membunuh melainkan didalam melaksanakan hukuman qisas dan membunuh musuh didalam peperangan mempertahankan kebenaran. Atau dengan perkataan yang umum, melarang pembunuhan secara tidak hak. Kemudian berlaku suatu keadaan didalam suatu peperangan dimana beberapa orang Islam yang ditawan musuh telah dijadikan perisai itu akan membolehkan musuh-musuh itu mara kehadapan dan menawan negara Islam serta meletakkan semua orang Islam didalam negara itu dibawah kasihan belasnya dan kemungkinan besar akan berlaku pembunuhan yang lebih hebat keatas orang Islam. Tetapi jika sekiranya musuh itu diserang tentera Islam terpaksa membunuh orang Islam yang dijadikan perisai yang tidak berdosa dan tidak sepatutnya dibunuh. Dalam keadaan ini, maslahah yang bersifat dharuriyyah jelas menunjukkan perlunya musuh itu diserang untuk memepertahankan negara Islam dan majoriti ummah. Kerana itu serangan keatas musuh itu harus, sekalipun membawa kepada pembunuhan orang-orang Islam yang tidak berdosa yang dijadikan perisai oleh musuh.
41. Tetapi jika peristiwa itu merupakan hanya seperti satu kumpulan yang berada didalam sebuah perahu yang akan karam, melainkan sekiranya dicampakkan salah seorang daripada mereka kelaut untuk mengujudkan perimbangan dan menyelamatkan yang baki, perbuatan itu tidak diharuskan. Demikian juga jika sekiranya musuh menahan dan menjadikan tawanan Islam sebagai perisai didalam kubu mereka untuk mengelak serangan orang-orang Islam bagi menawan kubu itu. Kerana pada ketika itu penawanan kubu tersebut bukanlah merupakan tuntutan dharuri.