Prinsip-prinsip Umum Mengenai Negara

PRINSIP-PRINSIP UMUM MENGENAI NEGARA

42. Jika kita mengkaji ajaran-ajaran Islam mengenai negara dan pemerintahannya, kita dapati Islam hanya meletakan ajaran-ajaran yang umum mengenainya. Al-Quran misalnya, tidak menerangkan secara terperinci mengenai selok-belok pemerintahan Islam. Bahkan menggariskan dasar-dasar umum mengenainya yang menjadi garis-garis besar dalam menentukan corak pemerintahan Islam. Diantaranya al-Quran menggariskan sifat-sifat negara Islam itu iaitu negara yang terbentuk diatas prinsip keadilan, syura, persamaan, persaudaraan dan kekuatan yang dapat menjaminkan keselamatannya.

43. Apabila Rasulullah SAW membentuk negara Islam yang pertama yang melaksanakan prinsip-prinsip al-Quran, Baginda telah memperincikan dasar-dasar al-Quran itu dan melaksanakannya, sehingga mencapai tahap gemilang dan meletakkan garis-garis yang lebih luas mengenai pemerintahan negara Islam. Garis-garis yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW itu telah juga memperuntukan panduan-panduan yang memberi ruang bagi penggunaan ijtihad didalam suasana yang lebih berkembang dan menjadikan negara Islam itu mempunyai potensi yang besar untuk berkembang disetiap masa dan tempat.

44. Ruang yang luas untuk ijtihad yang digariskan oleh Rasulullah SAW dan panduan-panduan yang ditetapkannya telah diamalkan oleh sahabat-sahabat baginda dengan sebaik-baiknya bagi menghadapi perkembangan negara Islam dan penyebaran Islam diluar daripada kawasan yang didiami oleh orang-orang Arab dan diluar daripada Semenanjung Arab.

45. Perkembangan-perkembangan yang berikutnya telah menyuburkan lagi pemikiran Islam mengenai negara dan para mujtahidin telah meluaskan bidang pengkajian mengenai negara bagi menghadapi masalah-masalah yang dihadapi dizaman mereka demi untuk menjamin tujuan syari'at Islam memelihara maslahah manusia dan menghindari mereka daripada kerosakan dan keadaan yang menghilangkan maslahah mereka.

46. Demikianlah pemikiran Islam mengenai negara dan pemerintah negara sentiasa berkembang bagi menghadapi perubahan tempat dan masa, sehinggalah muncul zaman kebekuan pemikiran dan kelesuan ijtihad yang menyebabkan lemahnya para Ulama mencari penyelesaian syar'ie terhadap masalah-masalah yang dihadapi ummah dan negara. Kelemahan ini terutamanya merebak disaat ummat Islam menghadapi pertembungan dengan tamadun Barat selepas daripada tahap apa yang disebut oleh Malik bin Nabi sebagai zaman" Ma Ba'da'l-Muwahhidin." yang dianggap sebagai zaman kepincangan dan faudha.

47. Pada umumnya, dalam zaman keruntuhan ini pemerintahan mengikut syari'at Islam makin menyimpang daripada garis syari'at itu yang sebenarnya. Ibnu l-Qaim dalam kitabnya al-Turuqu'L-Hukmiyyah, menyatakan bagaimana salahfaham terhadap perjalanan syara' dan hakikatnya, telah menyebabkan berlakunya halangan-halangan terhadap jalan-jalan yang benar menuju kebenaran dan melaksanakannya, dengan anggapan bahawa jalan tersebut bertentangan dengan kaedah-kaedah syara' Pada hal ia tiada sama sekali bertentangan dengan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW walaupun mungkin bertentangan dengan ijtihad ulama dan kefahaman mereka terhadap syara' dengan ijtihad itu. Ini menyebabkan banyak masalah yang dihadapi oleh ummah tidak dapat diselesaikan atau pun mereka mengemukakan penyelesaian yang bertentangan dengan maslahah ummah. Apabila pemerintah melihat keadaan ummah tidak stabil melainkan melaksanakan tindakan yang diluar daripada penyelesaian yang dikemukakan oleh ulama-ulama, mereka telah memilih jalan yang lain daripada jalan syara' yang menyebabkan berlakunya kepincangan yang lebih teruk dan kerosakan yang lebih luas.

48. Bagaimanapun al-Quran dan al-Sunnah yang masih terpelihara kesuciannya dan hasil-hasil pemikirannya zaman kegemilangan Islam masih mampu memberikan kepada kita gambaran dan corak negara Islam yang membolehkan kita menerangkan disini dasar-dasar umum mengenainya berdasarkan penjelasan-penjelasan dan huraian-huraian yang mu'tabar yang terdapat didalam perbendaharaan pemikiran Islam mengenai negara dan pemerintahan negara. Dasar-dasar ini pada pokoknya menuju kearah memelihara maslahah ummah yang dapat menjamin keadilan dan menyedikan jalan menuju kesejahteraan dan kejayaan.

49. Pertama: negara dan pemerintahan Islam dibentuk atas dasar kedaulatan hukum-hukum Allah SWT.

إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ ... سورة يوسف 40

Ertinya: Tidak adalah hukum itu melainkan untuk Allah.

أَلَا لَهُ الْخَلْقُ وَالْأَمْرُ ... سورة الأعراف اية 54

Ertinya: Ketahuilah, untuknya ciptaan dan untuk-Nya jua, perintah.

وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَذَا حَلَالٌ وَهَذَا حَرَامٌ لِتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ . سورة النحل 116

Ertinya: Dan janganlah kamu berkata sepertimana yang dilukis gambarannya oleh lidah kamu yang dusta ini halal dan ini haram untuk kamu mereka-reka pendustaan keatas Allah.

50. Kedua: negara dan pemerintahan Islam ditegak diatas kekuasaan ummah, dengan pengertian bahawa negara Islam tidak akan wujud tanpa ummah dan pemimpin ummah iaitu pemerintah. Sedangkan pemerintah itu ada menerusi pilihan ummah dan bai'aah daripada ummah. Manurut al-Baghdady di dalam "Usuluddin" "Jumhur yang terbesar daripada mazhab kami (ahli sunnah) Mu'tazillah, Khawarij dan al-Najjariyyah berkata, jalan atau cara wujudnya Imamah itu ialah pilihan daripada ummah."

51. Ummah merupakan punca wujudnya Imamah yang adanya (imamah itu) adalah wajib dengan ijma'. Kata Ibn Khaldun didalam al-Muqaddimah, "Kemudian perlantikan Imam itu adalah wajib yang diketahui wajibnya daripadanya syara' menerusi ijma' Sohabah dan Tabi'in. Kerana sohabat-sohabat Rasulullah SAW ketika wafat baginda, segera membai'ah Abu Bakar r.a. dan menyerahkan urusan melihat urusan-urusan mereka kepadanya. Demikianlah keadaannya berlaku di zaman-zaman sesudah itu."

52. Ketiga: Negara dan pemerintahan Islam ditegak diatas dasar keadilan. Allah SWT berfirman,

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ... سورة النساء 57

Ertinya, Sesungguhnya Allah SWT menyuruh Kamu memberikan amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menghukum antara manusia hendaklah kamu menghukum dengan adil.

53. Keadilan merupakan prinsip penting pemerintahan Islam dan melibatkan berbagai-bagai aspek perjalanan dan pentadbiran negara serta perhubungan antara pemerintah dan ummah. Pendeknya, perjalanan pemerintahan dan hubungan pemerintahan dengan ummah itu mestilah berasaskan keadilan.

54. Diantara ciri-ciri keadilan yang menjadi prinsip pemerintahan Islam, ialah persamaan di hadapan undang-undang. Persamaan inilah yang diletakkan dengan nyatanya didalam pemerintahan Rasulullah SAW yang menegaskan, "Demi Allah sekiranya Fatimah mencuri, akan ku potong tangannya."

55. Selain daripada keadilan yang membawa erti persamaan dihadapan undang-undang, ahli-ahli fikir Islam telah menghuraikan pula keadilan dari aspek politik dan kemasyarakatan khususnya keadilan dibidang ekonomi.
Ibn Khaldun didalam bukunya al-Muqaddimah telah menguntukkan satu fasal tersendiri bagi menghuraikan akibat kezaliman kepada keruntuhan kemajuan dan tamaddun, Dalam fasal yang bertajuk, "Faslun Fi Anna'l-Dhulma Mu'zinun Bi Gharabi'l-Imran" beliau berkata, "Ketahuilah bahawa pencerobohan keatas harta benda manusia itu menghancurkan cita-cita mereka mendapat dan menghasilkannya, kerana keyakinan mereka pada ketika itu bahawa hartabenda itu kesudahannya akan dirampas dari tangan mereka. Sejauh mana pencerobohan itu berlaku sekadar itu pulalah tetahannya rakyat daripada berusaha dan bekerja untuk penghasilan ... kemajuan dan perkembangannya serta pengeluasan pasarannya adalah hasil daripada berkerja. Apabila usaha manusia mencari makan terhenti, akan melesetlah pasaran kemajuan dan akan bobroklah keadaan. Ketika itu rakyat berpindah keluar untuk mencari rezeki. Penduduk menjadi berkurangan, perkampungan menjadi sepi dan negeri akan hancur dan negara akan porak peranda dengan berlakunya keadaan-keadaan seperti itu".

56. Menerangkan tentang prinsip pembentukan negara yang penting ini al-Mawardy berkata, "Ada pun asas yang ketiga daripada asas yang menjadikan dunia dalam keadaan baik, sehingga suasananya tersusun dan urusannya rapi, ialah keadilan yang menyeluruh yang menyeru kepada kasih sayang dan mendorongkan ketaatan dan kemakmuran negara, yang mengembang harta benda, yang membanyakkan keturunan dan menjaminkan keselamatan pemerintahan. Hormoz pernah berkata kepada Sayyidina Umar Ibn Khattab, sewaktu melihatnya, "Aku berlaku adil, kerana itu engkau hidup dalam aman dan boleh tidur dengan nyenyak. Tidak ada faktor yang paling cepat membawa kehancuran dan kerosakan kepada nurani makhluk selain daripada kezaliman, kerana ia tidak berbatas dan tidak mempunyai tujuan, Setiap kezaliman itu ada mempunyai habuan daripada kerosakan sehinggalah ia zalim sepenuhnya."

57. Keempat: Negara Islam ditegakkan diatas sistem syura. Allah telah mewajibkan syura dengan perintahNya yang terang dan nyata. Allah SWT berfirman,

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ... سورة ال عمران159

Ertinya: Maka diantara rahmat Allah kepada kamu ialah Allah menjadikan kamu bersikap lembut kepada mereka, sekiranya kamu kasar dan berhati keras, nescaya mereka menjauhkan diri daripada kamu. Maka maafkanlah mereka, meminta ampunlah untuk mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka.

58. Kelima: Pemerintah bertanggungjawab dan ketaatan rakyat. Oleh kerana Imam itu tegak dengan perintah Allah dan memerintah dengan adil, melaksanakan syari'at Allah beriltizam dengan syara' dalam pekerjaan dan tingkah lakunya, memelihara dan menjaga amanah, dan ia pula memenuhi syarat-syarat yang ditentukan sewaktu menjawat jawatan tersebut, maka adalah seorang Imam yang adil yang wajib keatas ummah, dua perkara iaitu taat dan menolong serta menyokongnya, selagi sifat dan keadaannya tidak berubah.

59. Kata Dr. Dziau'd-Din Rais dalam bukunya, Al-Nadzariyyatu's-Siyasiyyah, "Oleh kerana kepimpinan itu adalah amanah dalam Islam dan setiap orang yang diamanahkan itu bertanggungjawab keatas perkara yang diamanahkan itu kepadanya dihadapan yang mempunyai hak, maka seorang Imam atau "ketua negara" itu bertanggungjawab juga keatas kuasa yang diamanahkan kepadanya. Tanggungjawab Imam didalam Islam, pertama, terhadap kepada ummah dan kedua terhadap kepada Allah SWT."

60. "Adapun tanggungjawab dihadapan ummah, kerana ia menjawat jawatan itu daripada ummah dengan Bai'ah yang dilakukan oleh ummah. Ummahlah yang memberikan kuasa untuk memerintah dan ia tidaklah lain melainkan sebagai wakil ummah. Oleh itu ummah berhak menyoalnya didalam apa jua perkara yang dilakukannya. Dan pehak yang mempunyai hak mengadakan 'akad itu berhak pula memansukhkannya apabila ada sebab-sebab untuk berbuat demikian. Kemudian ummah juga menjadi pengawas keatas terus menerus keatas perkara-perkara yang wajib dilaksanakan oleh Imam itu."

61. Itulah prinsip-prinsip umum pembentukan negara didalam Islam yang akan dapat dijadikan panduan didalam perbicaraan yang seterusnya mengenai apa yang sedang kita hadapi hari ini.