SIASAH SYAR'IYYAH DAN NEGARA MALAYSIA
62. Pemerintahan Malaysia dan pembentukan negara itu sebagaimana negara-negara lain yang baru merdeka dan kebanyakan negara di dunia hari ini, dibentuk diatas perlembagaan bertulis. Perlembagaan itu merupakan undang-undang tertinggi yang menentukan corak dan perjalanan negara tersebut. Sungguhpun ia dianggap undang-undang tertinggi, namun ia boleh dipinda-pinda dan kuasa meminda perlembagaan itu terletak di Parlimen atau ahli-ahli Parlimen dengan kekuatan dua pertiga daripada ahli-ahli tersebut.
63. Dilihat daripada siasah syari'iyyah, mengadakan perlembagaan untuk menjadi panduan kepada perjalanan pemerintahan bukanlah merupakan perkara yang dianggap salah dengan syarat perlembagaan itu mengandungi butiran-butiran yang tidak bertentangan dengan Islam. Perubahan-perubahan zaman dan perkembangan yang dilalui oleh masyarakat manusia memerlukan perubahan corak pemerintahan dan kelainan tugas serta peranan yang dimainkan oleh negara-negara pada masa sekarang. Walaupun perubahan bentuk itu tidak memerlukan kepada perubahan prinsip-prinsip negara dan pemerintahan. Prinsip-prinsip pembentukan dan pentadbiran negara tidak boleh diubah dan jika diubah ia akan hilang sifat keislamannya.
64. Untuk menghadapi keadaan yang berubah itu dan untuk menentukan suatu corak yang sesuai dengan kehendak Islam, bagi mengujudkan suatu panduan untuk pemerintahan menjalankan tugasnya dengan saksama dan teratur, demi untuk menjaga maslahah manusia, maka pemerintahan Islam juga memerlukan kepada perlembagaan yang, seperti dikatakan, mengandungi butiran-butiran yang tidak bercanggah dengan hukum-hukum Islam dan berlawanan dengan prinsip-prinsipnya. Membuat perlembagaan untuk sebuah negara Islam mengandungi maslahah yang besar terutama dari segi mengelak faudha dan kepincangan dalam pemerintahan, dan dilihat dari segi kesukaran mendapatkan orang-orang yang boleh merujuk secara langsung kepada sumber-sumber perundangan Islam pada masa ini.
65. Soalan sekarang apakah perlembagaan Malaysia itu dibentuk dengan memenuhi kehendak siasah syar'iyyah atau siasah dhalimah? Inilah yang akan kita kaji sekarang. Perbincangan kita akan bermula dengan membicarakan tujuan perlembagaan itu dibuat adakah untuk Islam atau pun untuk tujuan lainnya. Persoalan ini penting di dalam Islam sepertimana sabda Rasulallah SAW
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّياتِ وَإِنَّمَا لكل ِامْرِئٍ مَا نَوَى
Ertinya, "Sesungguhnya setiap pekerjaan itu dengan niat dan bagi setiap orang itu mendapat ganjaran berdasarkan niatnya".
66. Untuk mengetahui apakah matlamat dan qasad pembuat-pembuat perlembagaan itu, kita dapat lihat daripada susunan Jawatankuasa yang menggubal perlembagaan tersebut yang terdiri daripada orang-orang bukan Islam, kecuali seorang daripadanya iaitu Hakim Abdul Hamid dari Pakistan dan kesemua mereka bukan daripada rakyat Malaysia.
67. Susunan anggota-anggota Suruhanjaya Reid yang menggubal perlembagaan itu sendiri telah memberikan kesukaran kepada kita untuk mempercayai bahawa qasad dan tujuan mereka ialah menegakkan pemerintahan Islam yang berdasarkan perjalanannya kepada siasah syar'iyyah. Apalagi di dalam lapuran Suruhanjaya itu sendiri telah memberikan penjelasan mengenai peruntukan Islam sebagai agama negara bahawa peruntukan itu tidak sedikitpun bererti negara Malaysia yang dibentuk itu hilang sifatnya sebagai negara sekular.
68. Mengetahui faktor tujuan ini adalah penting untuk kita memahami bahawa jika terdapat di dalam peruntukan perlembagaan itu perkara-perkara yang tidak bercanggah dengan Islam, ia berlaku secara kebetulan sahaja dan tidaklah merupakan penghayatan kepada ajaran Islam yang memerlukan qasad di dalam penghayatan.
69. Pembentukan negara Malaysia, menurut Perlembagaan yang digubal oleh penggubalnya, tidak di atas prinsip-prinsip keislaman yang paling utama, iaitu kedaulatan hukum-hukum Allah SWT. Peruntukan Fasal 3 Perlembagaan Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama negara tidak bermakna meletakkan hukum-hukum Allah di tempat yang tertinggi. Bahkan, Perlembagaan itu sendirilah yang dikira undang-undang yang utama dan Parlimen atau Dewan-dewan Undangan Negeri menjadi badan-badan yang menentukan undang tanpa tertakluk kepada hukum-hukum Allah.
70. Dalam hal ini, konsep keadilan yang diamalkan juga tidak sama dengan konsep dan perjalanan keadilan dalam Islam. Keadilan menurut sistem sekular ialah mengenakan hukuman berdasarkan kepada undang-undang yang diputuskan oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Hakim tidak boleh mempersoalkan sama ada undang-undang yang diluluskan itu adil atau tidak. Parlimen, di dalam meluluskan undang-undang tidak terikat kepada mana-mana kaedah, melainkan kepada kehendak majoriti ahli-ahlinya. Kaedah-kaedah syara' bagi mempastikan sesuatu peraturan dan undang-undang yang lain daripada yang ditentukan dengan nas yang soreh itu menepati kehendak keadilan dan masalah manusia, tidak mendapat tempat langsung di dalam Parlimen. Ini bermakna, nilai keadilan yang dikehendaki oleh Islam, dan menjadi asas kepada pembentukan negara dalam Islam, tidak diperhitungkan didalam perjalanan undang-undang negara ini.
71. Bolehkah dihujjahkan bahawa keadaan yang ditetapkan di dalam Perlembagaan Malaysia yang menentukan negara ini ialah negara sekular dan kedudukan perundangan dan undang-undang seperti yang dinyatakan itu adalah kerana maslahah. Kerana itu ia dilakukan menurut kehendak yang diakui oleh Islam yang itu menjaga maslahah manusia?
72. Di antara alasan yang dikemukan oleh golongan yang mengiakan kedudukan seperti yang dinyatakan tadi ialah, negara ini penduduknya terdiri daripada berbagai-bagai bangsa dan agama. Bilangan orang-orang Islam dengan orang bukan Islam pula adalah sama. Masyarakat Islam pula berada di dalam keadaan ekonomi, pelajaran dan kemasyarakatan yang lemah, walaupun mereka menguasai bidang politik dan ketenteraan. Jika sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan, sudah tentulah akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk yang beragama lain dan ini akan membawa kepada huruhara dan pertumpahan darah yang akan merugikan semua pihak. Oleh yang demikian, adalah suatu maslahah yang perlu untuk mengenepikan perlaksanaan undang-undang Islam dalam negara ini iaitu suatu keharusan dilihat daripada siasah syar'iyyah berdasarkan kepada kaedah
تصرف الامام منوط بالمصلحة
Ertinya, tindakan dan langkah Imam itu tertakluk kepada maslahah.
73. Alasan inilah yang cuba digunakan oleh kalangan yang mengiakan keadaan yang wujud sekarang yang terdiri dari kalangan yang dikatakan ulama. Walaupun mereka sedar bahawa orang yang merangka dan menentukan kedudukan yang ada itu sedikit pun tidak mengimbangkan faktor-faktor maslahah, dilihat dari sudut Islam dan tidak sedikit pun meletakkan kaedah dan nilai-nilai serta prinsip-prinsip Islam sebagai neraca untuk membentuk perlembagaan negara ini yang menentukan corak pemerintahannya.
74. Dalam huraian sebelum ini saya telah menerangkan keadaan di mana maslahah itu diutamakan daripada nas iaitu apabila sesuatu tindakan atau langkah yang dinyatakan oleh syara' hukumnya dan terdapat pada tindakan atau langkah itu suatu gambaran maslahah yang sesuai untuk hukum yang lain atau tidak dinyatakan hukum ke atas langkah atau tindakan itu, tetapi gambaran maslahah yang terdapat di dalam langkah itu sesuai untuk sesuatu hukum yang tertentu dan gambaran maslahah itu diakui oleh syara' dengan dalil-dalil daripada nas-nas yang lain. Maka keadaan ini menjadi harus bagi mujtahid menjadikannya illah untuk menentukan suatu hukum mengikut illah itu, walaupun hukum itu berlawanan dengan nas tertentu, dengan syarat gambaran yang terdapat dalam langkah dan tindakan itu sesuai bagi maslahah dharuriyyah.
75. Bolehkah langkah yang diambil oleh kerajaan mengenepikan hukum-hukum Allah dengan alasan untuk menjaga maslahah, dapat dibandingkan dengan kaedah dan suasana yang terkandung di dalam kaedah yang mengharuskan mengutamakan maslahah ke atas nas, seperti yang telah diterangkan?
76. Jawapannya tidak! Kerana keadaan yang digambarkan di dalam kaedah yang mengharuskan mengutamakan maslahah ke atas nas ialah keadaan dan suasana tertentu iaitu mengenai perkara atau tindakan dan langkah yang dinyatakan hukumnya dan terdapat di dalam langkah dan perkara itu gambaran yang sesuai dengan hukum yang lain atau tidak dinyatakan hukum ke atas perkara itu tetapi terdapat di dalamnya gambaran yang sesuai dengan hukum yang tertentu dan gambaran itu pula diakui oleh syara' dengan dalil-dalil daripada nas. Seterusnya gambaran-gambaran yang dinyatakan itu sesuai dengan maslahah dharuriyyah. Sedangkan langkah yang diambil oleh kerajaan pula mengenepikan kesemua nas dan hukum-hukum syara', melainkan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan Ahwal Syakhsiyyah . Termasuk yang diketepikan itu nas dan hukum yang soreh yang diterangkan illahnya dan hukum-hukum yang lain yang tidak boleh diutamakan maslahah yang dilihat dan diandaikan oleh mujtahid ke atas nas. Kerana nas itu mengandungi hukum yang telah nyata maslahahnya, sedangkan maslahah yang dilihat oleh mujtahid itu dhanni.
77. Lagi pun kesimpulan yang dibuat mengenainya berhasilnya maslahah iaitu tidak berlakunya pertumpahan darah dengan langkah mengenepikan kesemua hukum-hukum syara' adalah suatu kesimpulan yang bersifat Wahmiyyah dan batilah (palsu). Ia menafikan adanya maslahah di dalam perlaksanaan syari'at Allah. Ini bermakna hilang langsung kepercayaan terhadap hukum-hukum Allah itu. Dan sebenarnya ialah hakikat yang tersirat di dalam langkah dan tindakan mengenepikan perlaksanaan hukum-hukum Allah itu.
78. Perlaksanaan hukum-hukum Allah SWT sebenarnya akan membawa kebaikan kepada masyarakat manusia di Malaysia ini yang terdiri dari berbagai-bagai bangsa dan agama. Kerana hukum-hukum itu mengandungi jaminan keadilan, kebenaran dan pemeliharaan hak masing-masing dengan lebih tegas lagi. Yang boleh menimbulkan keadaan yang membawa kepada sesuatu hasil yang negatif daripada perlaksanaan hukum-hukum Allah ialah kecurigaan dan kesangsian orang-orang bukan Islam terhadap Islam itu. Mereka mungkin mengambil langkah-langkah yang tidak waras jika hukum-hukum Islam dilaksanakan. Tetapi andaian itu belum tentu benar dan lebih lagi dapat dihindarkan sekiranya undang-undang dan hukum-hukum Allah itu dilaksanakan secara beransur-ansur dengan mengutamakan aspek-aspek yang dapat disaksikan kebaikan dan keadilannya dengan segera dan nyata. Apabila keadilan hukum-hukum Allah itu dapat dilihat dan dirasi dengan segera, kecurigaan dan kesangsian yang membawa rasa tidak puas hati itu akan hilang dan tindakan-tindakan tidak waras akan dapat dihindarkan.
79. Oleh yang demikian adalah nyata sekali bahawa langkah mengiakan peruntukan perlembagaan yang mengenepikan hukum-hukum Allah dengan menggunakan kaedah siasah syar'iyyah, merupakan langkah yang dapat diibaratkan sebagai "Baitu'l-'ankabut" yang tidak dapat menutup hakikat bahawa peruntukan tersebut dilahirkan daripada hati yang tidak mempunyai keyakinan terhadap kesempurnaan dan kewibawaan hukum-hukum Allah SWT.
80. Masalah utama yang dihadapi oleh negara kita dalam hubungannya dengan hukum-hukum Allah ialah masaalah keyakinan terhadap hukum-hukum Allah itu. Gambaran dan hakikat ketiadaan keyakinan itu menjadi perkara yang sebati dengan perlembagaan negara. Selagi usaha ke arah mengikis fahaman ini tidak dijalankan, selama itulah perjalanan negara ini terus menerus dikendalikan mengikut siasah dhalimah. Langkah-langkah mengiakan tindakan pemerintah dengan kaedah-kaedah syara' dengan tujuan menjadikan tindakan tersebut sebagai siasah syar'iyyah, bukan sahaja sia-sia, tetapi juga jahat.
81. Jika krisis keyakinan ini dapat diselesaikan dan gambaran yang jelas mengenai Islam, akidah dan kaedahnya, dapat dibentuk, maka langkah-langkah untuk mengatur strategi penghayatan Islam itu sudah tentu dapat digariskan dengan saksama dan cermat sehingga penghayatan ajaran-ajaran Islam di dalam segenap bidang tidak menimbulkan kerunsingan dan kecurigaan, baik kepada orang Islam, mau pun kepada bukan Islam. Dalam keadaan ini akan lenyaplah segala hujjah bahawa penyingkiran undang-undang dan hukum-hukum Allah secara keseluruhannya sekarang ini adalah untuk menjaga maslahah.
82. Sungguh pun demikian usaha-usaha menghapuskan krisis keyakinan dan menanam gambaran yang jelas mengenai Islam dari segi akidah dan kaedahnya, bukanlah merupakan perkara yang mudah. Cabaran-cabaran dan liku-liku perjuangan terpaksa ditempuh. Termasuklah kesediaan menerima kecaman dan tuduhan sebagai pemecah-belah masyarakat, pelampau dan sebagainya.