Penerimaan Sistem Barat

PENERIMAAN SISTEM BARAT

83. Dalam huraian yang lalu, saya telah menerangkan peringkat-peringkat pertembungan masyarakat Islam dengan tamaddun asing. Dalam huraian ini saya hendak mengkhususkan pembicaraan mengenai pertembungan masyarakat Islam dengan tamaddun dan kebudayaan barat yang secara langsung berkaitan dengan masalah yang kita hadapi hari ini dan bagaimanakah siasah yang sewajarnya yang akan diambil bagi menghadapi masaalah ini.

84. Sungguh malang, masyarakat Islam mulai pertengahan kurun kesembilan belas masihi, menghadapi atau bertembung dengan dunia barat yang muncul dengan gagahnya, dalam keadaannya yang lemah dan hancur. Masyarakat Islam sedang menghadapi keruntuhan peribadinya sejak kejatuhan kerajaan Muwahhidin. Agama yang memainkan peranan sebagai pembentuk nilai-nilai kemasyarakatan, di saat masyarakat Islam sedang naik dan mara ke hadapan, beransur-ansur menjadi terasing di dalam diri individu. Keimanan yang dipupuk oleh Islam tidak lagi bersinar menjadi roh masyarakat. Sebaliknya menjadi nuz'ah fardiyyah dan tidak lagi menggerakkan tamaddun. Kerana keimanan ini telah menjadi keimanan pendita yang memutuskan hubungan dengan kehidupan dan meninggalkan kewajipan dan tanggungjawab kemasyarakatan.

85. Dalam keadaan inilah masyarakat Islam bertembung dengan tamaddun Barat yang sedang berkembang. Tamaddun Barat ini, dibentuk daripada akidah, corak pemikiran, falsafah, sistem politik dan ekonomi, ilmu-ilmu tabie, kemasyarakatan dan teknologi. Ia juga dibentuk di atas kemajuan ilmu kemanusiaan, sains dan teknik yang melahirkan suatu corak tamaddun tersendiri.

86. Keistimewaan tamaddun Barat ini ialah gambarannya yang memperlihatkan hakikatnya yang merupakan percampuran yang anih berbagai-bagai corak dan bahagian-bahagiannya yang tidak dapat diberikan penilaian yang serupa. Di lihat dari kacamata Islam, ia mengandungi percampuran yang baik dan buruk, yang betul dan salah yang berbentuk di atas fakta yang benar dan yang dibentuk di atas andaian-andaian pemikiran dan pengetahuan. Ada pula bahagiannya yang masih diperingkat perkembangan dan percubaan. Keadaan ini memerlukan kita menyelidiki dan berhati-hati di dalam menerima atau menolak tamaddun Barat itu dan hasil-hasil yang dilahirkannya.

87. Serangan tamaddun Barat ke atas masyarakat Islam mengancam kedaulatan dan keselamatan agama dan merosakkan akidah Islam. Serangan itu, seterusnya, telah membawa nilai-nilai yang bertentangan dengan Islam dan merupakan bahaya yang memusnahkan kehidupan beragama dalam masyarakat Islam. Tetapi disamping itu tamaddun Barat juga menghasilkan kemajuan ilmu sains dan teknologi yang jika diabaikan oleh masyarakat Islam, akan menyebabkan masyarakat Islam menjadi lemah dan terdedah kepada bahaya kehancuran dan keruntuhan Umpamanya, di negara kita, perkembangan cara hidup dan nilai-nilai Barat di dalam masyarakat elite membawa kepada keruntuhan hidup beragama dan kehancuran keperibadian Islam di kalangan mereka. Tetapi pengasingan masyarakat Islam daripada kemajuan yang dihasilkan oleh tamaddun Barat itu, menyebabkan masyarakat Islam di desa-desa tidak hidup di zamannya dan menjadi lemah sehingga mudah dipedayakan oleh masyarakat lain.

88. Kenyataan ini membawa kepada pentingnya masyarakat Islam mempunyai perencanaan yang teliti bagi menerima atau menolak hasil-hasil yang dikeluarkan oleh tamaddun Barat itu. Perencanaan yang teliti ini wajib dibuat memandangkan sikap menyerah kepada tamaddun Barat sehingga menerima hasil-hasil yang dikeluarkannya tanpa dikira untung dan rugi, mengakibatkan kehancuran kepada kehidupan beragama dan merebaknya gejala riddah di dalam masyarakat Islam. Demikian pula sikap yang negatif terhadap tamaddun Barat dengan menolak apa sahaja yang datang daripada Barat, menyebabkan kita terasing daripada kemajuan ilmu pengetahuan, kecekapan dan kemahiran serta penggunaan alat-alat teknologi yang mendedahkan kita kepada ancaman kelemahan dan mangsa penindasan dan pembunuhan.

89. Perancangan yang teratur itu, hendaklah memberikan penekanan yang penting kepada pembinaan kembali insan muslim yang mempunyai kekuatan iman yang menggerakkan amal dan jihad yang melahirkan penghayatan agama sebagai mana yang dikatakan oleh Malik bin Nabi "Murakkbu'l-Qiyami'l-Ijtima'iyyah, atau pembentukan nilai-nilai kemasyarakatan dan bukan keimanan yang terasing di dalam diri individu semata-mata yang hilang daya tarikannya dan cahaya pancarannya di dalam masyarakat. Keimanan kependitaan ini tidak melambangkan keperibadian Islam yang sebenarnya, bahkan ia menggambarkan penghayatan keagamaan dalam masyarakat sekular.

90. Perancangan tanpa memberikan perhatian penting kepada pembentukan kembali manusia muslim yang iltizam dengan neraca-neraca pertimbangan dan ukuran Islam, tidak akan berjaya membentuk kekuatan yang dapat menyelamatkan agama dan tidak akan dapat mengelak masyarakat Islam dari bahaya. Bahkan penerimaan hasil-hasil teknologi Barat itu akan melahirkan gejala keanihan seperti yang terdapat dalam kehidupan anak-anak para jutawan di kalangan orang-orang Arab yang kehidupan lahir mereka menggambarkan manusia maju dengan memiliki segala kemudahan teknologi. Tetapi akhlaknya, kecenderungan serta pemikiran dan kecekapannya tetap mewarisi manusia muslim di zaman keruntuhan dan kemunduran.

91. Keperluan kita kepada tenaga-tenaga mahir dan kepakaran untuk memperkatakan masyarakat kita, mendorongkan kita menghantar anak-anak kita ke luar negeri bagi mempelajari kepakaran orang-orang Barat dan orang-orang Jepun. Ini adalah perlu. Tetapi jika perancangan menghantar anak-anak kita ke luar negeri tidak dimulakan dengan pembinaan kembali manusia muslim, anak-anak kita itu pergi ke sana dengan jiwa yang masih diselubungi jiwa anak jajahan, maka kemahiran dan kepakaran yang diperolehi itu tidak dapat berfungsi sebagai kekuasaan yang dapat memelihara kekuatan masyarakat Islam dan masyarakat Islam akan terus terdedah kepada penyelewengan dan keruntuhan. Sekiranya anak-anak yang dihantar ke negara-negara Barat itu kembali dengan akhlak anak jajahan, pemikiran anak-anak jajahan dan keperibadian manusia muslim selepas zaman Muwahhidin jua. Bahkan keadaan akan lebih merbahaya lagi sekiranya anak-anak yang dihantar ke negara-negara Barat itu, masih mentah dan kosong pemikirannya.

92. Menghadapi tamaddun Barat tanpa perancangan yang teliti dan tanpa mementingkan pembinaan kembali manusia muslim, akan membawa kepada penerimaan sikap menyerah-kalah yang membahayakan masyarakat Islam, kerana hakikat kekuatan Islam itu bukan gambaran lahirnya yang dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan teknologi semata-mata, tetapi ialah juga bentuk dan corak kehidupan, akhlak dan keimanan yang dimiliki oleh masyarakat itu yang terpelihara dengan kukuh dan teguh. Penerimaan kekuatan teknologi dan kemahiran teknik, perlu diolah supaya sebati dan sesuai dengan keperibadian Islam itu sendiri dan di saat itulah ia berfungsi sebagai kekuatan yang dapat mempertahankan masyarakat Islam.

93. Dengan adanya daya pengolahan itu, barulah penerimaan hasil-hasil tamaddun asing itu dapat disamakan dengan penerimaan Umar Ibn Khattab sistem Dawawin orang-orang Parsi dan lain-lain sistem asing yang diserapkan ke dalam sistem Islam itu. Penerimaan sistem-sistem ini dan penyerapannya ke dalam sistem Islam dilakukan dengan menundukkannya kepada neraca Islam dan berlaku pengolahan yang menjadikannya sebati dan serasi dengan keperibadian Islam.