Menerima Sistem Bank

MENERIMA SISTEM BANK

94. Sistem bank ialah sistem Barat yang telah berakar umbi dalam masyarakat dunia hari ini. Sistem ini telah menyediakan pengurusan kewangan yang cekap dan teratur. Sistem ini juga menyediakan berbagai-bagai kemudahan pertukaran wang, gadaian, janji-janji perdagangan, pelaburan dan sebagainya. Masyarakat Islam di peringkat negara, dan di peringkat kumpulan dan individu yang bergiat di lapangan ekonomi dan perdagangan serta orang-orang perseorangan kumpulan yang lain memerlukan institusi yang dapat mengurus transeksi kewangan dengan cekap, teratur dan terjamin. Keperluan ini ada kalanya kepada keperluan dharuriyyah. Ketiadaan institusi kewangan yang cekap, teratur dan terjamin, menimbulkan kesukaran yang besar, terutama di dalam mengurus kewangan negara. Apa lagi di dalam keadaan sekarang di mana negara-negara Islam memperolehi wang yang banyak sebagai pendapatan daripada sumber minyak. Keperluan kepada institusi kewangan yang cekap, teratur dan terjamin adalah keperluan dharuriyyah. Kerana sekiranya institusi yang seperti itu tidak ada, sudah pasti kekayaan umat Islam dan harta benda mereka akan terbuang dengan sia-sia.

95. Keperluan mendesak kepada institusi kewangan yang cekap, teratur dan terjamin pada waktu ini dapat disamakan dengan keperluan kepada dawawin di zaman Saiyidina Umar Ibn. Khattab, ketika kekayaan melimpah ruah masuk ke Baitu'l-Mal, hasil daripada kejayaan politik, ketenteraan dan ekonomi yang dicapai oleh pemerintahan Islam di zaman itu. Keperluan yang mendesak itu mendorong Umar menerima saranan supaya membentuk dawawin sepertimana yang dilakukan oleh orang-orang Rome. Penerimaan itu berlaku sesudah dipastikan bahawa institusi itu tidak bertentangan dengan Islam.

96. Menurut al-waqidi, Umar telah bermusyawarah dengan orang-orang Islam mengenai penubuhan Dawawin. Saidina Ali mencadangkan supaya harta benda yang di perolehi itu dibahagikan kepada kaum muslimin setiap tahun sekali dan jangan ada yang baki ditangan engkau(Umar). Othman pula berkata, "Saya lihat harta benda itu banyak sekali mencukupi bilangan manusia. Jika sekiranya tidak dicatitkan sehingga diketahui siapa yang mengambil dan siapa yang belum, saya takut perkara yang tidak teratur itu akan merebak". Lalu al-Walid bin Hisham bin al Mughirah berkata, "Saya pergi ke Syria saya lihat raja-raja mereka menubuhkan Dawawin dan mengambil tentera. Maka hendaklah kamu menubuhkan Dawawin dan mengambil tentera". Saidina Umar menerima cadangan itu."

97. Adakah keperluan masyarakat islam sekarang ini kepada institusi kewangan yang cekap, teratur dan terjamin itu membolehkan mereka menerima sistem bank Barat yang telah ada dan berakar umbi di dalam masyarakat dunia hari ini, termasuk masyarakat Islam sendiri. Jika ya, bagaimanakah bentuk penerimaan itu adakah cara mutlak dan mengambil sistem bank itu sebagaimana keadaannya atau sistem itu diolah kembali supaya serasi dan sebati dengan prinsip-prinsip Islam. Kerana di dalam sistem bank yang ada sekarang ini dapat di dalamnya unsur-unsur yang bertentangan dengan Islam seperti pengambilan riba yang di haramkan oleh Islam? Kebanyakkan hukum dunia Islam hari ini menerima sistem bank sebagaimana keadaannya yang mengamalkan riba yang di haramkan oleh Allah SWT. Dimana-mana sahaja dunia Islam, bank yang mengamalkan riba itu tumbuh bagai cendawan dimusim hujan. Dinegara kita, perkembangan yang sama terus wujud dan bank yang mengamal riba berkembang dengan pesatnya.

98. Di antara hujah-hujah yang di gunakan untuk menerima sistem bank itu keseluruhannya sebagaimana keadaannya, ialah kerana keadaan sekarang ini adalah cemas dan merupakan dharurat. Pengambilan faedah adalah untuk maslahah umat Islam, kerana sekiranya faedah itu tidak diterima oleh orang Islam, wangnya mengeluarkan faedah kepada bank atau institiusi lain. Jika bank itu bukan kepunyaan orang Islam, maka keuntungan dan faedah yang didapati itu akan pergi kepada orang bukan Islam Sebenarnya banyak bank Zionis mendapat untung dari menyimpan wang orang Islam dan keuntungan ini sebahagiannya tentulah di gunakan untuk kepentingan Israel.

99. Hujjah ini, walaupun ada lahirnya kelihatan bercorak keislaman dan bertujuan memelihara umat Islam dan maslahahnya, tetapi jika di perhatikan dengan cermat, hujah ini adalah hujah prag matis yang tidak berpandukan kepada kaedah-kaedah berfikir Islam di dalam menentukan sesuatu hukum dan ketetapan. Kerana kesimpulan yang dibuatnya semata-mata berdasarkan maslahah yang diandaikan sendiri dan andaian maslahah itu dijadikan sebagai sandaran untuk menolak nas yang mengharamkan riba.

100. Bahaya menyimpan wang di bank Zionis bukanlah bahaya yang kulliah, Qatiyyah dan dharuriyyah. Kerana menyimpan dibank-bank tersebut dapat dielakkan oleh orang-orang Islam dan sokongan bank-bank Zionis itu perlu diketahui sejauh mana ianya digunakan untuk tujuan-tujuan jahat. Oleh kerana menyimpan di bank-bank Zionis itu dapat dielakkan maka bahaya yang timbul daripadanya juga dapat dielakkan dan kerana itu ia tidak bersifat dharurat. Jika diandaikan menyimpan di bank-bank Zionis itu dharuri sekalipun, kemungkinan bank-bank itu membantu Israil yang membahayakan umat Islam tidak bersifat Qat'iyyah, kerana kemungkinan bantuan itu untuk tujuan-tujuan kemanusiaan dan pihak lain seperti kerajaan Amarika Syarikat yang membantunya dengan kekuatan senjata untuk menghancurkan umat islam. Kemungkinan seperti ini menjadikan mafsadah yang diandaikan itu tidak qat'i, sehingga maslahah itu dapat diutamakan keatas nas, dan menggunakan hujjah maslahah untuk mengharuskan riba yang diharamkan dengan keterangan nas.

101. Tetapi masyarakat Islam sangat memerlukan perkhidmatan sistem seperti bank itu yang cekap, teratur dan terjamin. Dan sistem yang seperti itu dapat pula diujudkan tanpa menggunakan riba. Mengujudkan sistem bank yang tidak mengamalkan riba merupakan jalan keluar yang dapat memenuhi keperluan umat Islam. Jalan keluar ini menunjukkan lagi bahawa menerima sistem bank barat dengan keadaannya yang mengamalkan riba, bukanlah kemestian yang bersifat dharuri.

102. Sebelum sistem bank yang tidak mengamalkan riba ini muncul dan berkembang sehingga dapat menampung keperluan umat Islam, perkhidmatan bank-bank yang ada ini, di dalam beberapa aktiviti yang tidak bercanggah dengan Islam, tetap boleh di gunakan sekiranya penggunaan itu membawa maslahah kepada individu atau masyarakat. Kerana pada ketika ini dan cara penggunaannya, tidaklah melahirkan pertentangan antara maslahah dan nas.

103. Sungguhpun demikian, bank yang mengamalkan riba tidak harus ditambah lagi dan usaha-usaha menukarkannya menjadi bank yang tidak mengamalkan riba itu mestilah dilakukan, disamping mengujudkan bank-bank baru yang tidak mengamalkan riba itu. Tindakan seperti inilah yang menggambarkan proses pengislaman yang sebenarnya dan dalam suasana yang demikian, kepentingan menerima sistem bank barat itu diakui setelah ia disebatikan dengan prinsip Islam dalam keadaannya yang serasi. Penerimaan secara menyerah kalah atau mengabaikannya terus, merupakan sikap yang membahayakan masyarakat Islam.