KESIMPULAN
127. Negara kita sekarang ini bukanlah negara yang ditegak di atas prinsip-prinsip negara Islam. Ia adalah sebuah negara yang dibentuk di atas dasar-dasar negara sekular dan mempunyai perlembagaan yang dibentuk oleh sebuah Suruhajaya yang tidak bercadang sedikit pun untuk menjadikannya negara sebagai negara Islam. Rancangan-rancangan yang diatur untuk pembangunan negara dan undang-undang yang diluluskan adalah mengikut proses perundangan Barat dan tidak berpandukan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Walaupun terdapat sekarang ini beberapa rancangan yang berfaedah dari segi Islam dan ditegaskan diatas nama Islam seperti Bank Islam, namun ia tidak dapat mengubah sifat dan struktur negara ini sebagai negara sekular yang tidak mendaulatkan hukum-hukum Allah.
128. Usaha-usaha untuk mengiakan setiap langkah yang diambil oleh kerajaan diambil oleh kerajaan di dalam pentadbiran negara sebagai langkah yang bersesuaian dengan Islam belaka, adalah merupakan perbuatan yang sangat mengelirukan yang boleh menghalang usaha-usaha hendak menerapkan dasar-dasar Islam yang sebenarnya di dalam negara.
129. Ulama-ulama hendaklah menjauhkan diri mereka daripada sikap hendak mengambil hati pemerintah sehingga mereka digunakan menampalkan nama-nama Islam kepada polisi-polisi dan dasar-dasar, undang-undang dan rangcangan-rancangan yang sebenarnya tidak memenuhi kehendak ajaran Islam yang sebenarnya. Bahkan ulama-ulama hendaklah menerangkan hakikat Islam yang sebenarnya dengan penelitian yang mendalam terhadap sesuatu masaalah yang dihadapi oleh masyarakat dengan berdasarkan dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah dengan fahaman yang mengikut kaedah-kaedah yang mu'tabar yang telah diperincikan oleh ulama-ulama yang mu'tabar.
130. Bukanlah terdapat sesuatu maslahah dengan mengenepikan hukum-hukum Allah dan menggunakan hujjah masalahah untuk mengenepikan hukum-hukum Allah adalah hujjah yang palsu dari segi syara'. Kerana maslahah hamba yang sebenarnya ialah dengan melaksanakan hukum-hukum Allah.
131. Umat Islam wajib memperjuangkan pembentukan negara berdasarkan kepada syari'at Islam. Sungguhpun demikian perlaksanaan hukum-hukum Allah itu mestilah dilakukan menerusi perancangan yang teliti dan penerapan yang saksama yang berasaskan kepada siasah syar'iyyah yang benar-benar memenuhi kehendak dan tujuan syara' iaitu memberi kebahagiaan dan kesejahteraan kepada masyarakat.
132. Dalam rangka perlaksanaan syari'at Allah itu, mestilah juga diambil kira tentang sistem-sistem dan keperluan-keperluan masa yang tidak bercanggah dengan hukum syara' dan penerapan sistem-sistem serta keperluan semasa yang sesuai hendaklah dilakukan dengan roh Islam dan disebatikan di dalam sibghah Islamiyyah sebagaimana sahabat-sahabat menafaatkan sistem-sistem asing dengan pengolahan yang dapat menyesuaikannya dengan ajaran-ajaran Islam yang suci.
Wallahu a'lam.